Disember 04, 2009

Panduan memberi makan kepada anak yang sakit

Artikel ini merupakan petikan dari email seorang rakan kerja. Bagus untuk dijadikan panduan bersama.

Makanan yang mencukupi dan berzat adalah penting untuk bayi dan kanak-kanak bagi menjamin kesihatan mereka. Tetapi apabila seseorang anak itu menghidap sesuatu penyakit seleranya selalunya menjadi kurang dan ini menyebabkan ibu bapa berasa gelisah terutamanya jika penyakit itu berterusan dengan lamanya.Penyakit-penyakit seperti batuk selesema, sakit tekak, sakit perut dan penyakit-penyakit yang menyebabkan seseorang anak itu selalu muntah atau cirit akan memerlukan pengubahsuaian kepada cara memberi makanan serta komposisi makanan sehingga anak itu sihat semula.

DEMAM
Jangkitan virus yang biasa terdapat di kalangan bayi atau kanak-kanak selalu menyebabkannya demam dan kurang selera. Bukan mudah bagi seseorang ibu memberi anak mereka makan ubat kerana ini selalu diluahkan keluar. Bagi kanak-kanak yang sudah besar dan boleh memahami tentang pentingnya ubat untuk menyembuhkan penyakitnya masalah memberi ubat mungkin mudah diatasi. Tetapi bagi bayi-bayi dan kanak-kanak kecil yang tidak mahu bekerjasama, ubat-ubat yang diberi oleh doktor-doktor mungkin perlu dicampurkan dengan minuman yang digemari oleh mereka. Ada kalanya pula cara ini menyebabkan sekumpulan kanak-kanak kecil hilang minat kepada jenis minuman yang digunakan. Oleh itu, ada pendapat yang mengatakan ibu-ibu tidak patut mencampurkan ubat dengan minuman yang kanak - kanak itu suka atau biasa minum seperti susu atau jus oren. Ubat-ubat yang berbentuk tablet boleh dihancurkan dan dicampurkan dengan bahan minuman yang enak rasanya.Kanak-kanak yang demam selalu hilang selera untuk makan pepejal atau makanan keras.

Kanak-kanak yang demam banyak kehilangan air dari badannya, oleh itu adalah penting kanak-kanak itu digalakkan meminum air dengan lebih. Kanak-kanak yang kekeringan tidak banyak kencing dan kencingnya berwarna kuning pekat. Oleh hal yang demikian itu, mereka mesti digalakkan untuk banyak meminum air, seperti jus oren, jus nanas, jus blackcurrant atau barli.Minuman-minuman lain seperti jus anggur, air kacang soya dan air teh manis juga boleh diberi mengikut kemahuan mereka. Jika dipaksa kanak-kanak meminum air dengan banyaknya kadangkala mereka akan muntah, oleh itu adalah lebih sesuai jika mereka digalakkan meminum sedikit demi sedikit dengan kerapnya. Kanak-kanak yang besar selalunya lebih gemar menghisap dengan straw atau menghisap air batu yang telah dihancurkan.

Pada hari pertama atau kedua kanak-kanak biasanya tidak berselera untuk makan makanan pepejal tetapi bila mereka mula mengeluh lapar, atau bila selera mereka mula kembali mereka bolehlah diberi bahan - bahan makanan seperti bahan-bahan makanan yang direndam dalam sup seperti sup ayam atau roti tos yang disapu dengan jem, kaya atau susu manis. Roti yang dicampur dengan telur setengah masak bersama kicap atau sos dan bubur nasi bercampur ikan atau daging juga disaran supaya diberikan.Memang diakui ada kanak-kanak yang sukar diberi apa-apa sahaja makanan semasa dia demam. Bagi kanak-kanak seperti itu memaksa mereka makan mungkin menambahkan masalah seperti muntah.

MUNTAH-MUNTAH
Kanak-kanak yang muntah selalunya rumit diberi minuman atau makanan, lebih-lebih lagi ubat-ubat yang diberi oleh doktor. Mereka boleh digalakkan untuk menghisap air batu atau air batu yang telah dihancurkan. Jika boleh mereka hendaklah digalakkan menghisap air melalui straw sedikit demi sedikit. Apabila jelas yang mereka tidak lagi muntah bolehlah mereka minum air dengan banyaknya. Pada hari pertamanya adalah baik jika jumlah air yang diberi pada satu-satu masa itu tidak melebihi 3 atau 4 auns.Kadangkala kanak-kanak yang sakit itu selalu meminta minuman tetapi bila dia diberikan air, dia muntah semula. Jika keadaan ini berlaku, dicadangkan air tidak diberi antara 2-3 jam kerana besar kemungkinan ini akan dimuntahkan juga. Adalah lebih baik jika kanak-kanak diberi air atau air batu yang hancur untuk dihisap. selepas itu jumlah air yang diberi bolehlah dilebihkan. Muntah-muntah didapati dalam berbagai-bagai jenis penyakit. Oleh itu ibu bapa perlu diingatkan supaya membawa anak mereka berjumpa doktor untuk menentukan punca penyakit dikenalpasti dan ubat yang sewajarnya dibekalkan.

CIRIT-BIRIT
Bayi-bayi yang menghidap penyakit cirit-birit dan muntah-muntah mengalami kekeringan yang boleh membahayakan. Jika bayi kelihatan letih, bernafas dengan kencangnya, mata seolah-olah tenggelam atau ternampak darah atau nanah di dalam najis dia perlu dibawa dengan segera berjumpa doktor. Penyakit cirit-birit yang menyerang bayi biasanya disebabkan oleh kuman virus dan boleh dirawat dengan memberinya minuman larutan gula bercampur garam. Bagi bayi-bayi yang sedang diberi susu badan ini boleh diteruskan. Jika bayi diberi susu formula ini boleh dicairkan dan jika masih tidak berkesan diberhentikan terus. Bayi harus diberi hanya larutan air yang dicampur dengan gula serta garam. Kadangkala air yang hilang dari cirit itu boleh melebihi jumlah air yang diminum oleh seseorang bayi menyebabkan dia mudah mendapat kekeringan. Bayi menjadi kering, kurang kencing dan lampung badannya apabila diangkat.Jika keadaan ini berlaku eloklah bayi itu dibawa untuk diperiksa oleh doktor kerana tahap kekeringannya mungkin mmbimbangkan dan dia perlu diberi air melalui saluran darah.Kanak-kanak dari umur dua tahun ke atas yang mendapat penyakit cirit-birit biasanya akan gemar meminum air seperti jus buah-buahan, air soda atau coca cola. Jika mereka mengeluh kelaparan dan ingin makan bubur nasi, pisang, roti tos atau ubi boleh dicuba.

SAKIT TEKAK
Kanak-kanak yang menghidap penyakit lebam tonsil (tonsilitis) berasa sakit apabila menelan sesuatu jenis makanan. Minuman panas seperti teh, jus epal, ais krim atau susu ais, air tembikai yang telah dihancurkan selalu digemari oleh kanak-kanak seperti ini. Penyakit ini mungkin surut dalam beberapa hari dan diet yang biasa boleh dimulakan beransur-ansur memandang kepada minat dan keperluan kanak-kanak itu.

BATUK SELESEMA
Kanak-kanak yang menghidap penyakit batuk selesema akibat kuman virus selalu kurang berselera. Keadaan ini selalunya tidak membawa apa-apa kesan jika ibu bapa terus cuba memujuk anak-anak ini makan. Adalah lebih eloknya jika ibu sendiri mengunakan pengalamannya tentang minat anak-anak mereka supaya dapat menyediakan makanan yang bukan hanya berzat tetapi sesuai dengan minat anak mereka.Penyakit-penyakit seperti kencing manis, penyakit alahan dan penyakit-penyakit yang lain yang berpanjangan akan memerlukan komposisi makanan atau pemakanan yang khas yang sesuai bagi seseorang kanak-kanak itu. Ini biasanya akan diaturkan oleh seorang dietician yang akan bekerjasama dengan doktor yang merawat kanak-kanak ini.

KESIMPULAN
Walaupun penyakit-penyakit yang dihidapi oleh bayi atau kanak-kanak masing-masing mungkin memerlukan cara rawatan yang tersendiri , penyakit - penyakit ini mungkin mengakibatkan kanak-kanak atau bayi kurang selera.Dalam usaha untuk menjamin supaya tahap pemakanan (nutritional status) tidak terlalu terjejas akibat penyakit-penyakit ini ibu bapa perlu berikhtiar dengan seberapa daya untuk memberi makanan yang berzat yang boleh diminati oleh bayi atau anak-anak mereka pada waktu mereka sakit. Ini kadangkala tidak mudah dikendali apatah lagi mengikut arahan doktor untuk memberi anak-anak ubat yang tertentu kerana ini selalu diluah , dimuntahkan atau dibantah dengan kuat oleh kanak-kanak. Mujurlah kebanyakkan penyakit-penyakit yang menyerang bayi-bayi atau kanak-kanak hanya sementara dan tempoh mereka kurang berselera jarang berterusan.Untuk menjamin kesihatan seseorang kanak-kanak makanan yang mencukupi dan berzat, latihan jasmani yang mencukupi adalah perlu. Kanak-kanak yang sihat dengan sendirinya akan mempunyai ketahanan yang tinggi untuk mengatasi jangkitan-jangkitan.

Disember 02, 2009

Raya Korban

Hari raya Aidiladha lebih sedap didengar berbanding menyebut raya korban. Namun, rata-rata orang sekarang sebut raya korban, termasuklah keluarga aku. Tahun ini, aku beraya di rumah Hj. Athman Bin Musa, pak mertua aku. Awal- awal lagi pak mertua dah bagi tahu yang tahun ni nak buat korban lembu sekor. Tak ramai ipar duai yang balik, hanya ada keluarga Along, Abang Lan dan adik-adik ipar.


Pagi Sabtu, lebih kurang jam 10 pagi akhirnya tumbanglah seekor lembu. Lembu ni kira baik budi sebab dibela dengan kaedah feedlot. Ia memang tak aktif kerana makanannya semua disediakan oleh tuan di dalam kandang. Menyerah saja...mungkin ia tahu akan mati sekejap lagi. Melihat detik-detik hembusan terakhir, cukup menyeksakan. Itu binatang yang tiada dosa. Kalau manusia yang bergelumang dengan dosa ni, Ya Allah...bagaimana agaknya?

Aku fikir, semua patut melihat saat-sat kematian lembu ni agar lebih menginsafi diri. Agar semua orang ingat, tentang kematian yang pasti. Sudah ketentuan Ilahi, mati itu memang teramat sakit.

PTK, jumpa lagi tahun depan


Bulan April yang lalu, buat pertama kalinya aku menduduki peperiksaan PTK 1. Agak susah juga bagi aku yang malas nak study ni. Terus terang aku katakan, malam sebelum exam barulah aku sibuk membuka buku itu, ini. Ayang sediakan semua bahan bacaan. Bila melihat buku yang boleh tahan tebal, aku mula mengantuk dan akhirnya sempat la aku baca beberapa bab sahaja. Lepas tu, aku terus ngorok!

Keputusan yang ditunggu-tunggu akhirnya telah keluar dan keputusannya? Jeng, jeng, jeng... paper khusus (bidang kepustakawanan) aku dapat 4. Kira hebat la sebab dapat cemerlang (masuk bakul angkat sendiri, ekekekek ...) dan kalahkan ayang. Namun, yang tak sedapnya paper umum (perintah am, universiti, dsb) aku 'fail' dan hanya dapat 1. Kalau dinilai semula, orang yang dapat 1 ni adalah orang yang tak study langsung. Serupalah aku ...

Jadi, tahun hadapan nampak gayanya aku akan mengulang sekali lagi PTK paper umum. Insya Allah, tahun hadapan aku akan usaha lebih dan memperoleh paling tidakpun 4. Angan-angan ataupun azam? Tunggu tahun hadapan ...

November 16, 2009

Kematian Suatu Yang Pasti

Pagi tadi, aku menerima satu sms dari rakan sepengajian di UiTM dahulu. Berita yang disampaikan sungguh mengejutkan "Rakan kita, Faizal pustakawan IPTI Kuala Lipis, Pahang meninggal dunia pagi tadi kerana kemalangan." Arwah ni kenalan tidak berapa rapat, tetapi amat aku kenal. Teringat semasa aku Part 5 dahulu, waktu tu aku tak dapat kolej. Buat sementara waktu, aku menyewa bersama kawan- kawan di Seksyen 18. Salah seorang yang senasib dengan aku ialah arwah. Kami sama- sama susah. Malam pertama tidur hanya beralaskan surat khabar dan berbantalkan beg yang digalas.


Bila difikirkan, dia ni masih muda lagi. Baru 31 tahun. Perjalanan masih panjang ...namun, Allah lebih mengetahui dan sayangkannya. Nasib aku? Wallahualam! Aku juga ingin tahu jika diberi kuasa mengetahui. Namun apakan daya, aku juga hanyalah manusia biasa.

Kematian suatu yang pasti. Kematian tidak mengira sama ada kita muda, tua, sihat mahupun sakit. Menginsafi diri selagi berupaya, bertaubatlah selagi ada.

November 09, 2009

Antara 2: Dilema?

Ya Allah, berilah petunjuk kepada aku untuk memilih satu diantara dua yang terbaik. Redhailah pilihanku dan tetapkanlah pendirianku. Amin ...

Aku tak pasti, dan aku binggung! Aku terlalu sayangkan UiTM. Apa yang pasti, UiTM telah mengubah hidup aku dari seorang anak Felda menjadi seorang manusia. Aku membina kerjaya dari bawah walaupun aku lulusan ijazah. Mengimbas kembali kenangan selepas graduate dahulu, cukup susah untuk mendapat pekerjaan. Aku bermula dengan menjadi Pen. Peg. Perpustakaan (Kontrak) di PSI selama 2 tahun, kemudian aku beralih arah bekerja sebagai Pen. Peg. Perpustakaan di Balai Seni Lukis Negara, seterusnya ke YPJ sebagai Pustakawan (Kontrak) selama 2 tahun. Kini, genap 3 tahun aku berkhidmat di UiTM. Dalam diam, dah 8 tahun aku bekerja di bidang kepustakawanan.
Adakah aku juga akan beralih arah selepas ini? Wallahualam ...

November 02, 2009

Happy birthday adik

Birthday girl "Alya -2 tahun"

31 Oktober 2007, Alya telah dilahirkan di Hospital Tun Aminah, Johor Bahru. Mengingati detik-detik kelahirannya membuatkan aku menginsafi tentang asal usul diriku. Kepayahan mak melahirkan aku, membesarkan aku hingga dewasa. Sungguh hebat kebesaran Allah...
Tak sabar nak makan kek
Sabtu lepas, Alya genap 2 tahun. Celik sahaja mata, terus aku nyanyikan lagu "Happy birthday adik" hingga habis. Alya tersenyum, tanda faham. Selepas itu, seharian dia asyik menyanyikan lagu tu. Suka sangat bila melihat dia menyanyi lagu tu. Comel... Ayang membelikan Alya kek dan kami meraikannya dirumah sahaja anak beranak.
Anak manja - Irfan menyuapkan kek ke mulut mama

Petang itu, tanpa aku sedari ...Alya menuruti mamanya solat asar. Dalam hatiku berdoa, mudah-mudahan dia menjadi anak yang soleh. Inilah tanda, bahawa Alya kini semakin membesar.

Oktober 28, 2009

Buat Sang Arjuna

Kau kata kau cinta
Tapi kau tak cinta
Kau kata kau sayang
Tapi kau tak sayang
Kau kata kau kasih
Tapi kau tak kasih
Kerna aku jarang melihat
Sinar cinta dari matamu
Kerna aku jarang merasa
Belai sayang dari tindak tandukmu
Kerna aku sering terpana
Dengan tutur katamu
Bagai hilang kasih
Sang arjuna…
Kerna…
Kekadang diri merasa
Bagai hilang cinta
Bila tutur menikam kalbu
Bila jiwa dibiar kaku
Kekadang diri merasa
Bagai hilang sayang
Bila tidak seia kata
Bila sengketa sering menjelma
Kekadang diri merasa
Bagai hilang kasih
Bila hati sering merintih
Bila diri kekadang tersisih
Arjunaku laksana raja
Bila kata turutkan jua
Andai ditegah keruhlah suasana
Tahukah diri jua manusiawi
Ada jiwa, rasa dan hati
Perlu dahan bertaut diri
Melayari bahtera impian…
Dikaulah nakhoda penunjuk jalan
Sedang aku bukan dilahir untuk itu
Usah biar sesat dihujung jalan
Usah biar karam ditengah laut!
Dengar dengarkan rintihan ini
Selam selami dengan mata hati
Agar jiwaku tidak layu…
mati…..

Oktober 27, 2009

Bertemu Datuk Bandar Johor Bahru

Hari ini aku bertemu Datuk Bandar Johor Bahru. Dahulu, aku selalu jumpa Dato' Jo masa meting kat MBJB, lama dah tahun 2002. Jauh beza MBJB tahun 2002 dengan 2009. Sekarang dah semakin maju...
Antara soalan yang ditanya kepada aku? Berapa orang anak? Anak lelaki berapa? Anak perempuan berapa? Keje kat mana? Semua soalan peribadi sahaja yang ditanya kat aku. Last soalan, minat keje kemasyarakatan tak?

Oktober 21, 2009

Fail oh fail

Minggu lepas aku pergi ke kursus pengurusan fail di Shah Alam. Rata-rata yang hadir adalah staf perempuan dan terdiri dari kerani fail. Wahh...aku silap hadir kursus ke ni. "Bentak hatiku..." So nak cover balik gundah dalam hati ni...Bila orang tanya aku, keje apa ? So, aku selamba je cakap...Pembantu Perpustakaan dan tugasannya menjaga fail. ekekeke...
Apa tu fail? Fail merupakan satu folder yang mengandungi surat, nombor fail dan tajuk mengikut perkara, kertas minit, kad keluar fail dan disusun mengikut sesuatu tatacara yang tertentu.
Sebenarnya, dalam hati aku memang ikhlas pergi ke kursus untuk belajar. Setelah habis kursus barulah aku sedar betapa aku tak tahu apa-apa tentang pengurusan fail. Apa, tidaknya ...selama ini aku serahkan kepercayaan aku kepada Huda dan Jun untuk menguruskan fail. Aku tidak cuba untuk mendalami kerja-kerja fail kerna pada aku kerja itu memang terlalu enteng. "Sombongnya, kan?" Bila tak siap fail, mulalah aku sok sek membebel dan korang jugalah yang kena dengar sok sek aku ni. Kesian ...
Balik kursus ni, aku tekad ...aku akan bantu staf aku menguruskan fail dengan betul. Walaupun ada usikan dari kekawan "ish idris, awak jadi kerani fail ke?" Aku tak ambik hati pun dan aku anggap ianya sebagai satu cabaran ke arah mewujudkan sistem fail perpustakaan yang kemas, standard dan bersistematik. heheheh...
"think positive!"

Oktober 19, 2009

HFMD - Sakit kaki tangan mulut : Satu ujian Allah

Penyakit tangan, kaki dan mulut ialah sejenis jangkitan virus yang disebabkan oleh beberapa kumpulan virus termasuklah enterovirus (setakat ini terdapat 66 jenis telah dikenalpasti). Jangkitan ini menyebabkan timbulnya ruam berserta lepuh di tekak, tonsil, tangan (tapak tangan), kaki (pada tapak kaki) dan di sekitar kawasan lampin. Biasanya penyakit ini hanya sekadar sakit ringan dan ruam yang timbul itu akan hilang dalam tempuh 5 hingga 7 hari.
Terdapat beberapa jenis virus yang menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut. Virus yang biasa menjadi penyebab penyakit ini ialah virus Coxsackie A16. Kadang-kala terdapat jenis kuman virus lain seperti virus Coxsackie A atau enterovirus 71 yang boleh mencetuskan penyakit ini. Virus Coxsackie merupakan salah satu dari jenis virus yang terdapat di dalam kelompok virus yang dikenali sebagai enterovirus seperti virus Polio, virus Coxsackie dan Echovirus. Di Malaysia, kuman Echovirus 7 atau Echo7 telah dikenalpasti sebagai virus yang menjadi punca kematian seorang kanak-kanak dan mungkin juga tiga kanak-kanak yang lain. Wabak penyakit HFM yang berlaku tempoh hari (Sarawak 1997) adalah disebabkan oleh virus Coxsackie dan Enterovirus 71 (EV71). EV71 telah disah menyebabkan 4 dari 31 kematian akibat penyakit ini di Sarawak pada 1997.

Penyakit tangan, kaki dan mulut ialah penyakit berjangkit yang sederhana. Ia merebak melalui sentuhan atau kontak secara langsung dengan lelehan yang keluar dari hidung dan tekak atau najis mereka yang telah dijangkiti kuman ini. Penyakit ini amat mudah berjangkit pada minggu pertama pesakit menghidapinya. Penyakit tangan, kaki dan mulut tidak boleh merebak kepada atau daripada binatang peliharaan ataupun binatang-binatang lain.

Selepas seseorang itu dijangkiti kuman virus ini tempoh pengeramannya adalah di antara 2 hingga 6 hari. Gejala seperti demam dan ketidakselesaan pada mulut biasanya akan hilang pada hari ketiga atau keempat. Ulser mulut akan hilang pada hari ke 5 hingga 7 tetapi lepuh dan bintik-bintik merah di tangan, kaki akan hanya hilang dalam tempuh 10 hari. Demam berkemungkinan mencapai panas sehingga 39 C.

Kanak-kanak yang berumur di bawah 5 tahun amat mudah dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut. Walau bagaimanapun, penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur. Jangkitan ini akan menghasilkan daya tahan (imuniti) terhadap virus tertentu tetapi serangan atau episod yang kedua mungkin akan berlaku berikutan jangkitan dari beberapa jenis virus yang lain dalam kelompok enterovirus.

Biasanya penyakit ini menjangkiti kanak-kanak yang berumur di antara 2 minggu hingga 3 tahun. Virus Coxsackie 16A ialah agen penyakit tangan, kaki dan mulut yang mencetuskan endemik di Malaysia dan biasanya berlaku pada tahap yang sederhana. Pada bulan September 2000, lebih daripada 1000 kanak-kanak di Singapura telah didiagnoskan mengidap penyakit tangan, kaki dan mulut. Di Malaysia, pada bulan Oktober 2000, sebanyak 137 kes telah dilaporkan di negeri Johor sahaja yang merupakan 40% dari keseluruhan jumlah kes (362) yang dilaporkan sepanjang tahun 2000.

Tanda-Tanda Dan Gejala

Di antara gejala jangkitan ialah:
• Demam
• Sakit tekak
• Ulser pada tekak dan mulut
• Sakit kepala
• Ruam bersama lepuh terdapat di tangan, kaki dan di kawasan lampin
• Hilang selera makan
Ya Allah, berilah kekuatan dan semangat kepada Irfan dan Danish untuk menempuh penyakit ini. Sembuhkanlah penyakit kedua- dua anak ini, tak sanggup lagi aku melihat Irfan dan Danish menahan kesakitan setiap kali mahu minum apatah lagi menelan makanan.

Oktober 12, 2009

Happy Birthday Geng

Dari kiri Paan, Siti, Izzah dan Aishah

Asrol - 26 tahun

Paan -23 tahun

Petang Jumaat lepas, kami geng PTDI mengadakan jamuan ringkas untuk menyambut Birthday Paan dan Asrul. Majlis ringkas saja tanda ingatan ikhlas dari semua rakan sekerja. Kek Coklat pula di sponsor oleh Cik Aishah.

Happy birthday geng!

Bro...umur dah semakin bertambah, kena ubah la apa yang patut. Bagi yang dari tahun-tahun lepas tak ubah lagi sikap lama, eloknya diubah.

Jangan kecik hati bro, aku nasihat je ...

Jom gi taman joging...

Cuti minggu lepas, kami tak balik kampung. Jadi 2 hari ni memang aku tumpukan kepada anak-anak. Irfan asyik mengajak, "Jom la gi taman joging..." Alhamdulillah, petang semalam cuaca elok dan tak hujan. Selepas asar, sebelum ke taman kami singgah sebentar di rumah sebelah. Anak-anak memanggil tuan rumah tu nenek dan hubungan kami memang baik. Adakalanya, anak-anak terjerit-jerit memanggil nenek dan dia tak jemu-jemu menjawab panggilan anak-anak aku.

Taman joging yang dimaksudkan Irfan adalah Taman Riadah di Taman Setia Indah. 5 minit je dari rumah aku ... Tempat tu memang best, ada taman permainan kanak-kanak, ada track jogging, alat senaman dan refleksologi. Pengunjungnya, rata-rata adalah bangsa cina. Orang melayu yang datang ke situ boleh dikira. Nampak sanggat, pembeli rumah di kawasan ni majoritinya adalah cina. Mana perginya bangsa melayu?

Oktober 08, 2009

Sambutan Raya Di UiTM Segamat

Masa kat Dewan Seri Temenggong, UiTM Johor.

Semalam, seawal jam 4.30 pagi aku dah bangun. Ada undangan ke Majlis Sambutan Hari Raya UiTM Johor. Kebiasaannya, aku yang paling lewat sampai jika bertolak awal pagi ni. Tetapi, kerna rasa malu kepada penganjur aku cuba perbaiki kelemahan tersebut. Meriah sungguh sambutan di sana. Macam- macam makanan ada. Satey, ketupat, lemang ... makan sahaja, semuanya percuma!
Insya Allah, 19 hb ni kat tempat kami pulak.

Oktober 06, 2009

Sedapnya Alya berurut

Mak Cik Midah sedang mengurut Alya

Lepas raya, dah 2 kali aku bawa Alya ke klinik sebab demamnya seperti biskut, kejap on kejap off. Dr Wan di klinik Maimunah hanya bagi ubat demam dan antibiotik seperti biasa, namun demam Alya tak kebah juga. Akhirnya aku bawa Alya ke klinik i-Care di Mount Austin. Doktor cina, amoi lagi. Baik sungguh layanan doktor cina tu ...dan dia memperkenalkan ubat demam yang tak pernah Klinik Maimunah bagi.

Katanya, ini ubat tradisional cina yang paling baik untuk budak-budak demam. Ubat moden yang diberi hanyalah prebiotik iaitu sejenis bakteria baik untuk kanak-kanak. Biasanya prebiotik ni dicampur dalam susu. Alhamdulillah ...2 hari je makan ubat tu dan kini Alya sudah sihat.

Nak cukupkan syarat, aku bawa Alya berjumpa Mak Cik Midah. Dia ni bidan kat kampung aku. Habis satu badan dia urutkan Alya. Pada mulanya Alya diam sahaja, tapi bila diurut bahagian kaki, Alya mula gelisah. Sakit agaknya ... dalam hati aku selalu doakan, mudah-mudahan Alya sihat.

September 29, 2009

Suka duka 'Beraya'

Danish bersalaman dengan Atok Abah di pagi raya.

Danish dan Irfan di pagi raya ... hensome!

Sehari sebelum raya, aku balik rumah abah. Memang telah ku duga, rumah abah tak siap lagi. Jadi dalam masa sehari tu, aku terkejar-kejar mengecat, mengemas rumah dan memanggil orang untuk wirering rumah abah. Syukur, malam tu kami dah boleh tidur dalam rumah baru tu.
Malam raya, Danish ku beri kebebasan untuk bermain bunga api bersama sepupu dan sedara mara yang ada kat rumah abah. Danish sungguh gembira! Irfan pulak, masih sama seperti tahun-tahun yang lepas. Masih lagi takut dengan bunyi mercun, takut dengan bunga api dan masih lagi memaksa aku duduk mengadap televisyen. Entah bila Irfan nak jadi berani macam Danish. Alya pulak, antara berani dan tidak untuk bermain bunga api.

Pagi raya, wajah kegembiraan terpancar diwajah semua. Danish bangun awal seawal jam 6.45 pagi. Kami semua memakai baju sedondon warna merah hati. Tahun ni semua adik beradik ada di rumah, mungkin nak merasa beraya dirumah baru abah agaknya. Tak seperti tahun lepas, tahun ni aku dapat bersalaman dan meminta maaf di pagi raya dengan mak, abah dan semua adik beradik. Anak-anak pun turut bersalaman dengan Atok Abah dan Atok Mak mereka. Mak menangis bila kami bersalaman manakala abah tetap cool macam biasa. Control macho! ekekekeke...

Lepas tu, aku ke rumah Pak Mertua. Dekat je, dalam 15 minit kalau naik keta vios. Kalau naik Kenari, dekat 30 minit. ekekekeke... tak sempat nak masuk rumah, semua adik beradik ipar nak beraya di Pontian dan rumah nenek di Simpang Renggam. Akupun join sekaki la ... seronok tau sekali sekala berjalan ni. Namun, yang tak seronoknya apabila anak-anak mulai bosan dan rimas. Apatidaknya, dari pagi hingga jam 10.00 malam beraya tanpa henti dari sebuah rumah ke sebuah rumah.
Malam tu Alya menangis sakan dalam keta, sedangkan nenek masih nak beraya. Waduh, macam mana ni? ...dan akhirnya, nenek merajuk dan meninggalkan kami sekeluarga dalam kereta dalam keadaan terpingga-pingga. Tak tahan dengan rengetan Alya agaknya. Tiba-tiba perasaan sedih pulak menerpa dalam hati dan dalam perjalanan pulang tu, kami senyap je.

Balik raya, dugaan lagi ... anak demam pulak!

September 17, 2009

Salam lebaran hadiah kemenangan


Dalam diam, hampir sebulan kita berpuasa. Mengikut perkiraan, 3 hari lagi kita akan menyambut kemenangan setelah penat menahan nafsu dan kelaparan.

Tahniah aku ucapkan kepada semua yang berpuasa penuh, sesungguhnya hari lebaran ini merupakan hadiah untuk semua insan. Untuk ayang, jangan kecewa kerana tidak dapat berpuasa penuh. Itu tanda kasih Nya kepada kaum hawa sehingga memberikan mu cuti selama seminggu.

Dikesempatan ini, aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Aku juga insan kamil dan tidak terlepas dari melakukan kekhilafan.

maka itu, ampunilah segala dosa-dosaku ...

September 15, 2009

Di hujung Ramadhan 1430 Hijrah

Sekarang, semua pasar raya penuh! Persiapan rayalah katakan, memang semua orang berpusu-pusu membeli persiapan terakhir untuk berhari raya.

Alhamdulillah, tahun ni aku dah belikan 3 pasang pakaian biasa dan sepasang baju melayu untuk anak-anak. Ayang, aku tak belikan apa-apa. Hanya sedikit hiasan tangan untuk dipakai di Aidilfitri kelak. Aku pulak, ala kadar sahaja.

Kekadang aku terfikir, kalau aku susah ...ada lagi yang lebih susah dari aku. Bagaimana agaknya persiapan mereka untuk beraya. Aku selalu berpesan ngan anak-anak,

"Beruntung awak ni, nak apa semuanya ada. Jadi, kita mesti selalu bersyukur."

Kehidupan aku masa kanak-kanak agak susah kerana aku hanyalah anak peneroka Felda. Abah keje teruk, tapi rezeki cukup apa yang ada sahaja. Kesian abah. Persiapan raya dulu cukup dengan sehelai baju dan sehelai seluar serta sepasang kasut Power. Maklumlah, anak ramai.

Tapi, aku tetap bersyukur dan gembira.

September 11, 2009

Berakhirnya Ihya Ramadhan

Antara VIP yang hadir, Ustaz Zalud, YB Adam dan Dr Mat



Geng bakar lemang


Berakhirnya Ihya Ramadhan di UiTM Johor Bahru.

Sepanjang majlis ini, aku dan staf Perpustakaan ditugaskan untuk menjadi AJK Protokol. Pehhh...inilah kali pertama kami ditugaskan begitu. Sebelum majlis bermula, aku mengatur kedudukan keseluruhan dewan termasuklah kedudukan VIP. Semasa majlis berjalan, aku pula kena pastikan setiap VIP ada ushernya. Tetamu VIP pula ada yang menyambutnya.

Nampak enteng, tetapi agak susah juga untuk pertama kalinya ini.

Hari itu juga pertama kali aku tidak berbuka bersama isteri untuk tahun ini. Sesudah berbuka aku ada bertanya ayang, perihal berbuka puasa tanpa aku. "Tak lalu makan la bang..., nasi lemak tadi tak sedap." ...dalam hati aku mengerti, tak seronok berbuka puasa tanpa aku bersama.

September 08, 2009

Ketupat Ihya Ramadhan

Khairol dengan Ketupat Bantal

Dari kiri: Paan, Jun dan Asrol



Kata orang, berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing.

Hari ni, aku dan semua staf PTDI menerima daun kelapa untuk dibuat ketupat sempena program Ihya Ramadhan yang akan diadakan pada hari esok.

Dah lama aku tinggalkan dunia membuat ketupat ni, al-maklumlah ... sejak beristeri ni, semuanya aku serah kat isteri. Hampir lima kali aku mencuba dan akhirnya aku berjaya menyiapkan beberapa ketupat satey. Yeahh...

Staf aku lagi teror, macam-macam ketupat dibuatnya. Ketupat jantung, ketupat bawang dan paling istimewa sekali ialah ketupat bantal. Saiz ketupat ni besar, 2 kali ganda dari saiz ketupat biasa dan menggunakan 4 helai daun kelapa. Kata Asrol, arwah ayah dia yang ajar dan ayah dia pulak belajar dari orang asli pahang.

"Kalau macam ni, seketul pun dah kenyang."

September 04, 2009

September 02, 2009

Berbuka di KFC - Sedapnyer!


Semalam, 11 Ramadhan. Balik keje... aku, ayang dan danish terus ke Giant Plentong. Giant ni memang destinasi wajib kami setiap bulan sebab disinilah kami dapatkan keperluan rumah. Penuh satu troli kami shoping barang dapur. Maklumlah, 5 orang nak makan. Hari semalam tidak seperti selalu sebab giant yang besar tu kelihatan agak lengang dan kurang pengunjung. Mungkin disebabkan bulan puasa dan mungkin juga disebabkan oleh H1N1. Wallahualam...

Jam 6.45 petang kami keluar dari membeli belah dan destinasi seterusnya ialah KFC. Sebenarnya dah lama aku tak makan KFC, adalah dekat 3 bulan. Danish nak makan burger dan kami pula makan ayam KFC. Hmmm...nyum, nyum, sedap nyer!

Semasa berbuka aku terfikir anak-anak kat rumah Kak Long...Alya dan Irfan. Biasanya, kami berbuka dalam keadaan yang agak kecoh dengan anak-anak yang pelbagai kerenah.

Semalam, keadaan berbeza sekali. Aman ...

September 01, 2009

Merdeka 2009

Dari kiri: Aku, Asrol, Haikal, Razif, Samsol, Awe dan Daus

Skuad UiTM Johor Bahru berbaris

Tahun ni, buat pertama kalinya aku menyertai perbarisan kemerdekaan di peringkat Johor Bahru di Stadium Larkin mewakili UiTM Johor Bahru. Sambutan ini dilakukan secara ringkas sahaja sempena menghormati bulan Ramadhan. Seramai 33 orang yang terdiri dari pelbagai unit di UiTM Johor Bahru telah menyertai perbarisan ini.

Ogos 28, 2009

Kerja vs Peribadi



Kerja ...

Sewaktu aku tamat pengajian di UiTM dahulu, cukup susah untuk mendapat perkerjaan. Tambahan pula bidang pengajian yang aku ikuti ini tidak banyak peluang pekerjaannya. 3 bulan aku menganggur dan akhirnya dengan berkat doa mak dan abah, aku mendapat pekerjaan sebagai Penolong Pegawai Perpustakaan. Aku bersyukur walaupun dalam hati aku ada sedikit perasaan irihati dengan kawan-kawan yang berjaya menyandang jawatan pegawai.

Hampir 5 tahun aku bekerja, mengaut pengalaman, suka duka dalam kerjaya di bidang perpustakaan. Akhirnya, aku ditawarkan juga jawatan pegawai di UiTM walaupun pada mulanya aku berjauhan dengan keluarga. Betapa gembiranya hati aku, isteri, mak dan abah melihat anaknya ini kini telah berjaya. Aku tak akan lupakan betapa besarnya harapan mereka semua kepada aku.

Peribadi ...

Tetapi kenapa? Kenapa? Ada juga insan yang terlupa betapa beruntungnya dia kerana dapat bekerja di UiTM. UiTM bukan organisasi yang 'gambang' tetapi sebuah institusi pengajian awam yang dipandang tinggi oleh masyarakat Malaysia, masyarakat melayu bumiputera khususnya.

Namun, amanah dan tanggungjawab yang diberikan diketepikan lantaran masalah peribadi yang mengusik jiwa. Apakah lagi nasihat yang harus aku berikan kepada insan ini agar melaksanakan tanggungjawabnya dengan amanah dan penuh keikhlasan? Sudah puas aku nasihati dan mungkin ketegasan adalah pengubat kepada kealpaan ini.

Insan, berubahlah ...

Ogos 26, 2009

Alya ku sayang


Malam tadi, begitu letih rasanya badan. Lepas berbuka puasa kami berkejar ke Tesco membeli keperluan anak yang telah habis. Agak lewat kami balik dalam jam 10.00 malam dan akhirnya aku tertidor awal sedangkan anak- anakku, masih rancak bergurau senda.

Waduh ...

Dalam aku mamai nak tidor, irfan dan danish turut terlelap sama dan yang tinggal hanya Alya seorang. Alya ni memang kami layan istimewa sebab dialah sahaja anak perempuan kami. Dia memang manja dengan aku. Adakalanya keletahnya bagaikan budak berumur 5 tahun membuatkan aku suka melihatnya. Tapi, adakalanya juga dia menjadi sukar dikawal dan terlalu aktif membuatkan aku begitu gusar.

Malam tadi, mungkin kerana keletihan ... tanpa sengaja aku telah 'memiat' telingga Alya hanya kerana dia menganggu aku tidor. Tak sedar, jam berapa baru Alya tertidor tetapi kebiasaanya dia akan tidor jam 12.00 malam. Bangun sahur pagi tadi, aku melihat wajah Alya. Manisnya muka Alya dalam keadaan tidor. Aku sedar bahawa aku sangat sayangkan dia.

Alya, maafkan ayah ye sayang!



Ogos 25, 2009

Pemandu berkhemah


Adakah anda seorang pemandu? Aku juga pemandu seperti kamu.

Namun, adakalanya kita lupa dengan apa yang cikgu memandu kita ajar. Dulu...semasa aku belajar mengambil lesen kereta, aku tumpukan perhatian dan jangan terkejut aku hanya belajar 4 kali sahaja dan lepas itu aku tekad untuk mengambil ujian JPJ.

Alhamdulillah, aku lulus ...

Hingga sekarang aku masih ingat cikgu aku kata ..."Bila memandu ni, ingat kat orang lain dan memandulah dengan berkhemah."

Tetapi semalam aku berasa amat malu untuk menaiki kenderaan tempat aku bekerja. Bukan kerana kenderaan dan bukan juga kerana pemandu. Sebaliknya kerana sikap pemandunya yang seakan-akan sudah lupa istilah " pemanduan berkhemah". Apa yang dikejarkan? Sudah lupakah dia bahawa ada orang lain yang menaiki kenderaan tersebut.

Sahabatku berkata, " Kalau kita periksa darah sekarang, nescaya kena darah tinggi." Aku bersetuju dengan dia. Masakan tidak, dilebuh raya pun boleh memotong mengikut lorong kecemasan. Bukan sekali ... dah banyak kali dibuatnya.

Berubahlah ...berubahlah sahabatku agar menjadi pemandu berkhemah dan ingatlah bahawa malang tidak berbau. Walau sehebat manapun pemandu, walau lama manapun pengalaman kita memandu apabila sekali kita alpa maka malapetaka akan menemui kita. Jika malapetaka berlaku kepada kita, bagai manakah perasaan orang yang sayangkan kita?

Otak Kanan - Shicida Methods



Pagi tadi aku terbaca tentang Shicida Methods? Pabila di baca, wahhh ... menarik betol dan aku fikir bolehlah aku cuba praktikkan kepada anak-anak aku kelak.
Ni artikelnya ...

Sewaktu anak nak tidur atau tidur-tidur ayam, cakap kat die sepenuh hati dan sejujurnya yang kita sayang kat dia, dia budak baik, dia anak soleh, dia budak kuat, tak sakit, dia budak pandai dsb. Sbb during tidur-tidur ayam ni otak kanan sedang bekerja, otak kiri dah tidur dah, tapi kena buat seikhlashati… kalau tengah marah ..tak jadi. kalau anak korang tu dah tidur,ramas- ramas jari atau tangan dia, macam picitlah supaya dia kembali berada dalam tidur2 ayam punya situation. Aku buat kat anak aku sebab die bangun pagi lambat pas tu siap melalak-lalak lagi, aku cakap hari-hari kat dia, dia budak baik, dia suka pergi sekolah, dia budak sihat, dia nak bangunawal… sekarang 6.30 dah bukak mata termasuk sabtu n Ahad.


Start guna cards untuk ajar anak. Aku ajar ABC-Z guna card seminggu je,sekarang dah kenal semua huruf dah siap boleh eja perkataan pendek-pendek. .buat card banyak-banyak dan tunjuk kat dia orang cepat-cepat. .macam..a. .b..c..d. .e, insya Allah cepat die dapat sebab bila kita tunjuk kad laju-laju atau cepat-cepatotak kanan die bekerja keras untuk tangkap apa benda yang kite tunjuk tu…kita boleh buat card 1,2,3, gambar-gambar. .. potonglah gambar kat mana-mana dsb.


Gerak kerja tangan adalah hasil dari otak kanan, so ajar anak korang main tanah liat, main water colour, melukis, gunting kertas, origami dsb. memang le kite yang kene mengemas tapi takpe...satu lagi cuba korang lukis gambar,contohnye rama2, tapi sebelah sahaja dan suruh die orang sambung lukis ikut apa yg korang lukis tu kat sebelah lagi…ini pun dapat mengaktifkan penggunaanotak kanan….Korang tau kenapa cine, ngan jepun pandai-pandai. …sebab depa makan guna chopstik….chopstik tu mengaktifkan kerja tangan and as well gerakkan otak kanan.


Jgn marah-marah atau tengking anak... sebab depa boleh simpan semuanya dalam otak kiri…kalau termarah depa, pi balik kat cara no 1 tadi, and mintak maaf kat die…


Satu lagi develop they all punya imagination by start bercerita kat die orang dan suruh depa sambung cerite tu, walaupun cerita tu memang lah merapu takpa…kita pun bukan tak biasa merapu. Main teka-teki ngan they all, taruk satu barang dalam kotak tissue and suruh depa teka apa benda tu. First few times boleh bagi option macam…..bagi tau colour, bunyi, lama-lama depa boleh develop six sence by concentrating depa boleh teka apa benda dlm kotak tissue tu……..ni semua utk aktifkanotak sebelah kanan. Tapi ingat…..semua game yg hangpa nak buat ngan dia tu cuma boleh buat setengah jam sehari..tak payah lama-lama. Sebelum buat exercise ni, kena tarik nafas dalam-dalam and relaks…tak boleh buat time tengah nak masak ka, basuh kain ka tengok tv ka, tak jadi….Buat kena ikhlas, and merendah diri sikitlah bila dah terror ini semua satu cara yang Tuhan lagi Maha Mengetahui kalau Dia izin anak kite nak pandai Alhamdulillah tapi kita kena berusaha, dan bersyukur kalau dah berhasil sebab bila2 Dia boleh tarik balik..betui dak…Aku pun tengah try lagi ni…


Lagi satu untuk berkongsi sesama pembaca…


Kaunselor UTM, Dr, Syed Mohd. Shafek pun ada cakap benda yang sama dan dia ada ckp ttg perkataan jangan kat anak-anak. kalau kita banyak sangat guna perkataan jangan kat anak-anak… .. itu lah yang anak akan buat…..so lepas nie kena ganti perkataan jangan tu kepada perkataan lain plak…contohnya. …Tolongsenyap Abang,,,berbanding Jangan bising bang..Dlm Islam sendiripun menggalakkan kita ibubapa bercakap2/berdoa dgn anak2 ketika mrk dlm proses nak tidur sbb pada ketika itulah di antara waktu2 doa dimakbulkan.


Ogos 24, 2009

Rumah Abah


"Atok, kenapa rumah atok macam rumah semut?"
Danish berseloroh dengan Atok Abah bila kami balik kampung bulan lepas.
Apa tidaknya, rumah abah yang boleh tahan besar tu dah menjadi kecil dan tinggal bahagian belakang dengan 2 bilik dan dapur sahaja. Bahagian depan telah dirobohkan untuk dibina rumah yang baru.

Mengimbas memori ketika aku dan abah membina rumah dulu, memang sukar dilupakan. Waktu tu, aku baru sahaja cabut dari belajar di Universiti Malaya. Waktu tu juga abah nak buat majlis kahwin akak. Dalam masa 2 bulan sahaja abah boleh siapkan rumah. Satu peristiwa aneh yang aku tak percaya hingga sekarang adalah tiang rumah yang pendek boleh menjadi panjang dalam masa semalaman. Aneh cukup aneh ...ilmu apa yang abah pakai ni boleh panjangkan tiang rumah?

Abah, sempat ke nak siap rumah ni sebelum raya? Soalan itu pastinya menambahkan lagi berkecamuk di kepala orang tua ku. Namun, itulah soalan yang kerap kali ku tanya apabila menelefon abah. Bukan apa, aku risau kalau- kalau raya nanti rumah tu tak siap lagi. Namun, abah dengan yakin tetap menjawab
"Siap, ko jangan risau."
Namun dalam hati, aku sentiasa berdoa mudah-mudahan rumah itu akan siap sebelum raya nanti. Jadi, bolehlah abah dan mak beraya dengan rumah baru yang lebih selesa. Tambahan pula, tahun ni aku boleh merasa malam raya di rumah abah.

Nabi bersabda, “Selalulah engkau berada di dekat keduanya. Karena sesungguhnya surga berada di bawah kaki keduanya.” (HR. Thabrani, al-Mundziri mengatakan sanadnya jayyid).


Meniti Ramadhan 1430H

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah:183)

Pagi Sabtu lepas tidak seperti hari-hari yang lalu. Seawal jam 4.30 pagi, aku dan isteriku telah bangun untuk bersahur untuk pertama Ramadhan. Sunyi sepi malam tu, maklumlah sekarang ni aku duduk dalam kejiranan cina.

Firman Allah, " Makan dan minumlah kamu sehingga terang bagimu benang putih dari benang hitam iaitu (masuk waktu subuh). Al-Baqarah 2: 187

Kalau dulu semuanya mak yang sediakan tapi kini semuanya ayang yang sediakan. Aku? Bangun tido, apa yang aku tahu adalah makan. Hari pertama bersahur, aku ada bisikkan kat telingga dia .. " Terima kasih ye sebab bangun pagi dan siapkan makanan untuk abang." Ayang senyum je, dan aku harap dia faham.

Petang itu, ayang masak mee hoon goreng special. Special sebab dalam mee hoon tu ada udang saiz XL dan yang paling penting adalah aku, danish dan irfan tolong sekali ayang masak kat dapur. Lepas tu, aku siapkan ikan bakar cicah dengan air asam. Sedap...2 kali aku mengulang makan. Isteriku ni memang pandai masak, lagi-lagi kalau masak mee goreng, nasi goreng udang, asam pedas dan paling teror sekali masak tom yam campur. Pehhh...terliur!

Ogos 20, 2009

Zakat Pendapatan


Hari ini aku mengetahui bahawa aku wajib menolak zakat pendapatan sebanyak RM 44.81 sebulan. Dalam benak fikiranku, agak besar jugak ni ... sedangkan nak makan pun cukup- cukup sahaja. Tapi sedarkah kita bahawa membayar zakat itu wajib. Maka, tepuk dada tanya hati ...

Tapi, tahukah kita apakah zakat pendapatan?

Menurut Wikipedia, zakat merupakan perolehan yang merangkumi pendapatan gaji (gaji pokok+elaun) dan pendapatan bebas (part time masuk sekali kot) seperti pendapatan ahli profesional. Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pula memutuskan bahawa gaji dan pendapatan wajib dikeluarkan zakat bila mana cukup syaratnya. Syarat wajib berzakat adalah:
1. Beragama islam
2. Merdeka
3. Harta yang sempurna milik
4. Cukup nisab
5. Cukup haul bekerja.

Kadar pengeluaran zakat adalah sebanyak 2.5% daripada pendapatan yang sempurna syarat- syarat wajib zakat. Anda pula? Sudahkah anda membayar zakat pendapatan?

Ogos 19, 2009

Janji ayah!

Irfan dan Zirafah


Mama dan Alya


Janji? Kata orang, kalau dah berjanji mesti di tunaikan. Tapi, bagaimana pula kalau kita berjanji dengan anak-anak? Ada orang kata, wajib tunaikan dan ada pula orang berkata, ala budak-budak ... bukan tahu apapun.

"Anak-anak ayah baik budi ye, cuti nanti ayah bawak jalan-jalan ke Melaka."
Dalam diam, hampir 2 bulan jugak anak aku bertanya bila nak pergi Melaka. Asal cuti je, Ifran dan Danish tanya, bila nak pergi melaka. Jenuh nak jawab! Makanya, jangan mudah berjanji walaupun dengan anak kecil. Pasti dituntutnya ...

Alhamdulillah, akhirnya aku dapat juga tunaikan janji tersebut. Habis sekitar Ayer Keroh dan Bandar Hilir kami ronda-ronda. Hari pertama kami pergi ke Zoo Melaka. Ada zirafah, gajah dan yang paling seronok melihat show dari orang hutan. Malam, kami jalan-jalan di Bandar Hilir. Kami stay 2 hari 1 malam kat Hotel Seri Costa.
Seronok!!!



Ramadhan datang lagi


Esok, 20 Ogos (Khamis) kita akan melihat anak bulan dan sekiranya anak bulan kelihatan maka kita akan berpuasa hari Jumaat dan jika sebaliknya maka hari Sabtu barulah kita berpuasa. Tahun ni, Danish dah 5 tahun dan aku berazam untuk mengajarnya berpuasa. Insya Allah, tak dapat puasa satu hari setengah hari pun jadilah.
Aku? Dapatkah aku berpuasa penuh? Atau aku akan terus alpa?

Doa malaikit Jibril di bulan Ramadhan,

"Ya Allah, tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal- hal berikut :

Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada ke dua orang tuanya. (Jika masih ada)
Tidak bermaafan terdahulu antara suami isteri.
Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang sekitarnya.

Wallahualam ...



Ogos 18, 2009

Cat rumah! Fuhhh...boleh ke aku siapkan?


Raya tahun ni, genap setahun aku menduduki rumah yang aku beli di Taman JP Perdana. Rumah ni aku beli tahun 2005, masa aku keje kat YPJ dulu. Pembinaannya tergendala menyebabkan aku sengsara giler! Tiap-tiap bulan nak bayar rumah sewa, rumah ni lagi...

Alhamdulillah, bulan 10 tahun lepas aku dapat kunci dan sekarang rumah itu milik aku sekeluarga. Sebelum raya menjelma, isteri aku beriya-iya menyuruh aku cat rumah. "Pehhh...aku ni mana ada skil mengecat, keje dengan buku boleh le. " Dengan semangat nak raya, aku kuatkan jugak azam mengecat rumah tu, walaupun pada mulanya aku anggap adalah suatu yang mustahil. Lagipun nak jugak aku tunjuk kat bini aku yang aku ni teror mengecat. ekekekeke...

Siap mengecat, Yap jiran sebelah rumah ku memuji..." wahh! cantik rumah."

Hehehehe, aku jawab selamba je, tengoklah siapa yang mengecat.

Ayah...irfan demam!



Malam tadi, jam 3.30 aku dikejutkan oleh abang Irfan. "Ayah, irfan demam. Kepala Irfan panas."

Irfan ni anak yang baik, dan comel. Antara 3 orang anak aku, Irfan adalah yang paling banyak keletah dan mengomel. Hari ini, dia demam ... sedih melihat dia, tapi bila tanya ...irfan ok? Dia pasti jawab, "Irfan ok!" dengan penuh semangat.

Tengah hari tadi, terpaksa aku keluar 2 jam. Bawa Irfan ke klinik. Risau, sekarang ni tengah musim H1N1. Selisih, mintak dijauhkan dari penyakit tersebut.

"Ya Allah, sembuhkanlah demam anakku, lindungi Irfan dari terkena penyakit H1N1...amin"






Ogos 17, 2009

Kursus Pemantapan Staf di Summerset Hotel, Rompin

Air mata 'panglima'

Isteriku, Juriah


Pada mulanya, berat hati nak mengikuti kursus ni. Bukan apa, nak meninggalkan anak-anak ni suatu cabaran buat kami. Hampir seminggu kami fikirkan (maklumlah, kalau tak p, kena ngadap Dr. Mat my big bos) dan akhirnya Allah buka jalan agar dipermudahkan untuk hadir juga ke kursus tersebut. Kursus ni pelik sikit sebab dibenarkan membawa isteri dan isteri tu pula dibenarkan menjadi peserta kursus. Bayaran hanya RM 5 je dikenakan untuk bini aku dimana makan 5 kali sehari, bilik hotel standard room.



Tempat lain mana ada?



Secara keseluruhannya, aku rankingkan kursus ni Berjaya, 98% aku bagi kat penganjur. Ceramah dari Ustaz Ismail UTM pun berkesan dan yang paling aku ingat adalah cara mengenali peribadi seseorang dari bentuk jarinya. "Baik-baik, lepas ni aku leh nilai korang tau ..."

Hari kedua, sebelah petang ada sukaneka. Macam -macam game aku main. Sebelah malam, ada pop kuiz. Tapi, aku tak join sebab perut dah lapar. Habis pop kuiz dalam jam 9.30 malam barulah kami 'balun' BBQ.

Sedap, makan ikan bakar, ketam bakar, udang bakar ... jangan tak caya, 3 pinggan aku sental habis. ekekekek!















Aku pun mahu ada blog jugak!

Hari ini, bila aku buka ym ...aku tengok member buat tag nurkasih.blogspot.com. Aku pun perli la, jiwang gak mamat ni tengok nurkasih. Sebenarnya, aku pun suka gak tengok cite tu. Akupun apa lagi, klik la kat link tu. Ku sangkakan blog cerita nurkasih slot drama TV3 yang disiarkan setiap Jumaat malam sabtu tu.



Rupanya, kawanku ini punya blog ... wahhhh, kalau macam tu, aku juga mahu ada blog!