Disember 04, 2009

Panduan memberi makan kepada anak yang sakit

Artikel ini merupakan petikan dari email seorang rakan kerja. Bagus untuk dijadikan panduan bersama.

Makanan yang mencukupi dan berzat adalah penting untuk bayi dan kanak-kanak bagi menjamin kesihatan mereka. Tetapi apabila seseorang anak itu menghidap sesuatu penyakit seleranya selalunya menjadi kurang dan ini menyebabkan ibu bapa berasa gelisah terutamanya jika penyakit itu berterusan dengan lamanya.Penyakit-penyakit seperti batuk selesema, sakit tekak, sakit perut dan penyakit-penyakit yang menyebabkan seseorang anak itu selalu muntah atau cirit akan memerlukan pengubahsuaian kepada cara memberi makanan serta komposisi makanan sehingga anak itu sihat semula.

DEMAM
Jangkitan virus yang biasa terdapat di kalangan bayi atau kanak-kanak selalu menyebabkannya demam dan kurang selera. Bukan mudah bagi seseorang ibu memberi anak mereka makan ubat kerana ini selalu diluahkan keluar. Bagi kanak-kanak yang sudah besar dan boleh memahami tentang pentingnya ubat untuk menyembuhkan penyakitnya masalah memberi ubat mungkin mudah diatasi. Tetapi bagi bayi-bayi dan kanak-kanak kecil yang tidak mahu bekerjasama, ubat-ubat yang diberi oleh doktor-doktor mungkin perlu dicampurkan dengan minuman yang digemari oleh mereka. Ada kalanya pula cara ini menyebabkan sekumpulan kanak-kanak kecil hilang minat kepada jenis minuman yang digunakan. Oleh itu, ada pendapat yang mengatakan ibu-ibu tidak patut mencampurkan ubat dengan minuman yang kanak - kanak itu suka atau biasa minum seperti susu atau jus oren. Ubat-ubat yang berbentuk tablet boleh dihancurkan dan dicampurkan dengan bahan minuman yang enak rasanya.Kanak-kanak yang demam selalu hilang selera untuk makan pepejal atau makanan keras.

Kanak-kanak yang demam banyak kehilangan air dari badannya, oleh itu adalah penting kanak-kanak itu digalakkan meminum air dengan lebih. Kanak-kanak yang kekeringan tidak banyak kencing dan kencingnya berwarna kuning pekat. Oleh hal yang demikian itu, mereka mesti digalakkan untuk banyak meminum air, seperti jus oren, jus nanas, jus blackcurrant atau barli.Minuman-minuman lain seperti jus anggur, air kacang soya dan air teh manis juga boleh diberi mengikut kemahuan mereka. Jika dipaksa kanak-kanak meminum air dengan banyaknya kadangkala mereka akan muntah, oleh itu adalah lebih sesuai jika mereka digalakkan meminum sedikit demi sedikit dengan kerapnya. Kanak-kanak yang besar selalunya lebih gemar menghisap dengan straw atau menghisap air batu yang telah dihancurkan.

Pada hari pertama atau kedua kanak-kanak biasanya tidak berselera untuk makan makanan pepejal tetapi bila mereka mula mengeluh lapar, atau bila selera mereka mula kembali mereka bolehlah diberi bahan - bahan makanan seperti bahan-bahan makanan yang direndam dalam sup seperti sup ayam atau roti tos yang disapu dengan jem, kaya atau susu manis. Roti yang dicampur dengan telur setengah masak bersama kicap atau sos dan bubur nasi bercampur ikan atau daging juga disaran supaya diberikan.Memang diakui ada kanak-kanak yang sukar diberi apa-apa sahaja makanan semasa dia demam. Bagi kanak-kanak seperti itu memaksa mereka makan mungkin menambahkan masalah seperti muntah.

MUNTAH-MUNTAH
Kanak-kanak yang muntah selalunya rumit diberi minuman atau makanan, lebih-lebih lagi ubat-ubat yang diberi oleh doktor. Mereka boleh digalakkan untuk menghisap air batu atau air batu yang telah dihancurkan. Jika boleh mereka hendaklah digalakkan menghisap air melalui straw sedikit demi sedikit. Apabila jelas yang mereka tidak lagi muntah bolehlah mereka minum air dengan banyaknya. Pada hari pertamanya adalah baik jika jumlah air yang diberi pada satu-satu masa itu tidak melebihi 3 atau 4 auns.Kadangkala kanak-kanak yang sakit itu selalu meminta minuman tetapi bila dia diberikan air, dia muntah semula. Jika keadaan ini berlaku, dicadangkan air tidak diberi antara 2-3 jam kerana besar kemungkinan ini akan dimuntahkan juga. Adalah lebih baik jika kanak-kanak diberi air atau air batu yang hancur untuk dihisap. selepas itu jumlah air yang diberi bolehlah dilebihkan. Muntah-muntah didapati dalam berbagai-bagai jenis penyakit. Oleh itu ibu bapa perlu diingatkan supaya membawa anak mereka berjumpa doktor untuk menentukan punca penyakit dikenalpasti dan ubat yang sewajarnya dibekalkan.

CIRIT-BIRIT
Bayi-bayi yang menghidap penyakit cirit-birit dan muntah-muntah mengalami kekeringan yang boleh membahayakan. Jika bayi kelihatan letih, bernafas dengan kencangnya, mata seolah-olah tenggelam atau ternampak darah atau nanah di dalam najis dia perlu dibawa dengan segera berjumpa doktor. Penyakit cirit-birit yang menyerang bayi biasanya disebabkan oleh kuman virus dan boleh dirawat dengan memberinya minuman larutan gula bercampur garam. Bagi bayi-bayi yang sedang diberi susu badan ini boleh diteruskan. Jika bayi diberi susu formula ini boleh dicairkan dan jika masih tidak berkesan diberhentikan terus. Bayi harus diberi hanya larutan air yang dicampur dengan gula serta garam. Kadangkala air yang hilang dari cirit itu boleh melebihi jumlah air yang diminum oleh seseorang bayi menyebabkan dia mudah mendapat kekeringan. Bayi menjadi kering, kurang kencing dan lampung badannya apabila diangkat.Jika keadaan ini berlaku eloklah bayi itu dibawa untuk diperiksa oleh doktor kerana tahap kekeringannya mungkin mmbimbangkan dan dia perlu diberi air melalui saluran darah.Kanak-kanak dari umur dua tahun ke atas yang mendapat penyakit cirit-birit biasanya akan gemar meminum air seperti jus buah-buahan, air soda atau coca cola. Jika mereka mengeluh kelaparan dan ingin makan bubur nasi, pisang, roti tos atau ubi boleh dicuba.

SAKIT TEKAK
Kanak-kanak yang menghidap penyakit lebam tonsil (tonsilitis) berasa sakit apabila menelan sesuatu jenis makanan. Minuman panas seperti teh, jus epal, ais krim atau susu ais, air tembikai yang telah dihancurkan selalu digemari oleh kanak-kanak seperti ini. Penyakit ini mungkin surut dalam beberapa hari dan diet yang biasa boleh dimulakan beransur-ansur memandang kepada minat dan keperluan kanak-kanak itu.

BATUK SELESEMA
Kanak-kanak yang menghidap penyakit batuk selesema akibat kuman virus selalu kurang berselera. Keadaan ini selalunya tidak membawa apa-apa kesan jika ibu bapa terus cuba memujuk anak-anak ini makan. Adalah lebih eloknya jika ibu sendiri mengunakan pengalamannya tentang minat anak-anak mereka supaya dapat menyediakan makanan yang bukan hanya berzat tetapi sesuai dengan minat anak mereka.Penyakit-penyakit seperti kencing manis, penyakit alahan dan penyakit-penyakit yang lain yang berpanjangan akan memerlukan komposisi makanan atau pemakanan yang khas yang sesuai bagi seseorang kanak-kanak itu. Ini biasanya akan diaturkan oleh seorang dietician yang akan bekerjasama dengan doktor yang merawat kanak-kanak ini.

KESIMPULAN
Walaupun penyakit-penyakit yang dihidapi oleh bayi atau kanak-kanak masing-masing mungkin memerlukan cara rawatan yang tersendiri , penyakit - penyakit ini mungkin mengakibatkan kanak-kanak atau bayi kurang selera.Dalam usaha untuk menjamin supaya tahap pemakanan (nutritional status) tidak terlalu terjejas akibat penyakit-penyakit ini ibu bapa perlu berikhtiar dengan seberapa daya untuk memberi makanan yang berzat yang boleh diminati oleh bayi atau anak-anak mereka pada waktu mereka sakit. Ini kadangkala tidak mudah dikendali apatah lagi mengikut arahan doktor untuk memberi anak-anak ubat yang tertentu kerana ini selalu diluah , dimuntahkan atau dibantah dengan kuat oleh kanak-kanak. Mujurlah kebanyakkan penyakit-penyakit yang menyerang bayi-bayi atau kanak-kanak hanya sementara dan tempoh mereka kurang berselera jarang berterusan.Untuk menjamin kesihatan seseorang kanak-kanak makanan yang mencukupi dan berzat, latihan jasmani yang mencukupi adalah perlu. Kanak-kanak yang sihat dengan sendirinya akan mempunyai ketahanan yang tinggi untuk mengatasi jangkitan-jangkitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan