Disember 30, 2010

Nasi goreng udang

Semalam balik dari office kami singgah di Pasar Smart Pandan, teringin lak nak makan nasi goreng udang. Selain tomyam, kari ayam, nasi goreng udang memang salah satu makanan kegemaran aku. "Abang beli udang ni, masakkan abang nasi goreng udang." Ayang diam je, mungkin dia faham.

Pagi tadi, agak awal ayang bangun. Dari atas aku terdengar kelentang kelentung bunyi lesung batu. Sah la tu, mesti masak nasi goreng udang. Beruntung la aku, dah lama benar tak makan nasi goreng udang.



 
Biasanya, hari- hari aku makan di kedai je hingga jemu dengan menu yang ada. Port biasa, kedai Mansur depan UiTM pekena roti bom @ roti telor, jauh sikit ke kedai Assalammualaikum...gitulah hari- hari.

Terima kasih ayang, sesungguhnya besar ganjaran Allah beri kepada isteri yang menyediakan makanan untuk suami dan anak- anak ni.

Disember 29, 2010

Hijrah : percaya dan berjaya

Istimewa sungguh hari ini, dapat bertemu dan mendengar ceramah dari Prof. Kamil bertajuk Hijrah: Percaya dan Berjaya. Maklumlah, bukan senang nak jumpa dan mendengar secara langsung begini.

Di awal ceramah beliau bertanya siapa yang boleh membaca surah "Alamnasrah ..." tergamam juga aku, sebab surah tu dulu aku hafal tetapi sekarang sebab tidak diamalkan, aku menjadi lupa dan akhirnya aku membisu tanpa bicara. Nasib baik Kak Hajar menjadi penyelamat dan membacakan surah tersebut.

Menurut Prof, anggaran hidup kita ini hanyalah 74 tahun sahaja. Mungkin ajal datang lebih cepat dan mungkin juga lewat. Wallahualam... Namun, sejauh mana kita bersedia untuk menempuh kehidupan diakhirat kelak? Selama ini manusia hanya bergembira dengan kehidupan di dunia yang hanya sementara tanpa membuat persediaan untuk kehidupan diakhirat yang kekal selamanya.

Diakhir pertemuan, dapat juga aku bersalaman dengan beliau. "Terima kasih Prof."

Disember 28, 2010

Rendang arnab vs sup ayam hutan

Sabtu lepas, kami adik beradik berkumpul di rumah abah. Kali ni hampir semua ada kecuali Dayah je yang tak balik, tak dapat cuti.

Istimewa sungguh cuti kali ni sebab dapat makan makanan yang enak dan lazat. Ayang masak arnab rendang, adah pulak masak sup ayam hutan. Pehhh..memang lazat. Daging arnab sedap kerana dagingnya agak manis dan lembut, ayam hutan pulak agak keras dan liat tetapi sedap.

Arnab ni mak dan abah bela sendiri kat kampung. Buat hiburan cucu- cucunya bila balik kampung terutamanya anak- anak aku yang membesar dibandar ni. Danish dan Alya tidak makan daging arnab, mungkin dia terbayang arnab yang comel tu agaknya.

Ayam hutan ni lagi special, asli tiada sebarang ubatan yang diberi kepada ayam ni.

Disember 22, 2010

Bicara hati

Hari ini, Ustaz Azri menziarah sambil memberi tazkirah ringkas mengenai hati. Menurut ustaz, manusia mempunyai seketul daging dalam badan yang unik iaitu hati dan hati inilah yang akan menentukan sama ada manusia itu baik atau buruk. Jika baik hatinya, maka baiklah keseluruhan badannya dan jika buruk hatinya maka buruklah juga badannya.

Setiap dosa-dosa yang dilakukan akan dititik dengan setitik warna hitam dihatinya. Jika dosa berterusan dilakukan maka dari setitik hitam akan merubah menjadi setompok hitam hinggalah akhirnya menyebabkan hati berkarat.

Bagaimana untuk mengubati hati yang berkarat? "Beristigfarlah dan bertaubatlah..." ujar ustaz. Nampak mudah tetapi adakah semudah yang kita lafazkan untuk mengilap semula hati agar menjadi bersih, putih?

Ustaz juga berpesan agar sentiasa mengecas hati seperti juga handphone yang perlu dicas setiap masa. Bagaimana nak mengecas hati tu ustaz? "Berzikirlah kepada Allah", ujar ustaz.

Disember 21, 2010

Belanja sekolah anak- anak

Tahun depan, Danish akan memasuki Darjah 1 manakala Irfan akan melangkah ke alam Pra Sekolah. Minggu lepas, ketika kami adik beradik berkumpul di rumah akak, mak ada bertanya ..." Dah siap persiapan sekolah anak ko Deris? " Belum mak. " Jawab ku selamba. Saja dia mengingatkan aku agaknya.

Jadi lepas makan tengah hari tu, kami bergegas ke bandar Kota Tinggi. Shoping baju sekolah, kasut, beg untuk Danish dan Irfan. Semua seorang 2 pasang. Janji semua puas hati.

" Semua sekali RM 350.00 je." Kata cashier. Siap beli beg sekolah dan aksesori lainnya, hampir 500 hinggit habis petang tu saja.
 
Ayang tersenyum sinis melihat aku, mungkin dia faham apa dalam hati aku agaknya. Tiba- tiba teringat kata- kata mak tadi. " Dulu mak 8 orang anak sekolah serentak. Ko bayangkan betapa susahnya mak nak sekolahkan ko dulu hingga menjadi orang."

Sedih mengenangkan kesusahan mak dan abah dulu. Pernah 2 tahun aku tak membayar yuran sekolah. Sekali ketika darjah 5 dan sekali ketika aku di tingkatan 2. Ketika itu aku tidak faham erti kesusahan. Aku hanya pandai meminta tanpa berusaha. Namun, kini aku faham. Terima kasih mak dan abah yang telah menyekolahkan aku sehingga ke menara gading.

Lihatlah wahai anak- anak ayah yang tersayang..sungguh besar nikmat yang Allah berikan kepada kita, hatta kita banyak kelemahannya. Banyak yang tak sempurna. Bersyukurlah wahai anak-anakku.. Rezeki dan nikmat kita melimpah ruah.

Siapa staf baru?

Sejak UiTM membuka jawatan kosong Pembantu Perpustakaan, kerusi Pustakawan yang tidak glamour dan tidak dipandang ini mula menjadi panas dikejar orang sana sini. Apa tidaknya, ramai yang meminta tolong agar sedara mara mereka dipilih untuk menyandang jawatan tersebut.

Jawatan hanya satu, tetapi yang memohon terlalu banyak. Ramai pula yang menggunakan kabel dari sekecil- kecil kabel sehinggalah sebesar kabel. Pening juga mahu memilihnya. Aku tetap berpegang kepada prinsip, telus dalam pemilihan. Tiada istilah kabel dalam kamus hidup aku kerna aku percaya rezeki itu Allah yang tentukan. Rezeki bukan aku yang tentukan, sebaliknya aku hanya menjalankan amanah yang diberikan.

Percayalah, calon yang terpilih adalah antara yang terbaik dan setiap rezeki mereka telah dijanjikan Allah.

Disember 16, 2010

PTK 1

Sejak kebelakangan ini, apabila aku buka sahaja i-staf portal UiTM perkara pertama yang aku lihat adalah keputusan PTK. Hampir sebulan aku menanti dan akhirnya hari ini penantian aku berakhir.


Syukur alhamdulillah, aku lulus walaupun tak dapat cemerlang. Mudah- mudahan ada peluang untuk naik S44 di masa akan datang. Insya Allah..

Disember 14, 2010

Indahnya Perkahwinan

Dalam diam, 12 Disember 2010 tiba lagi dan ini bermakna sudah 8 tahun aku berkahwin dengan ayang. Ayang ni sebenarnya kekasih hati aku yang paling setia dan kami bercinta sejak tahun 1996 lagi iaitu sewaktu aku bersekolah di tingkatan 6 Rendah di Sekolah Tun Habab, Kota Tinggi. Dari sekolah hingga ke universiti kami bercinta dan akhirnya pada 12 Disember 2002 kami sepakat untuk berkahwin.

Pagi itu, habis satu rumah aku berkemas mencari album kahwin yang dah agak lama tak kelihatan. Maklumlah, semenjak pindah rumah baru ni tak semua barang dalam kotak yang kami kemaskan. Hampir sejam aku mengemas stor dan akhirnya aku temui juga album tersebut di dalam sebuah kotak. Agak uzur albumnya, maklumlah dah lapan tahun. Insya Allah akan aku gantikan dengan album yang baru kelak.
 
Ku belek satu persatu sambil ku tunjukkan kepada anak- anak kisah 12 Disember 2002. Pada mulanya mereka hairan, kenapa tiada gambar Alya, Irfan dan Danish dalam gambar tersebut.
 
Selamba je Irfan berkata, " Masa ni, Irfan, danish dan alya ada dalam perut mama."
 
 
 
 

Disember 10, 2010

Jom ke Mersing

Cuti minggu yang lepas, aku bercuti agak panjang mengambil kesempatan dari cuti Awal Muharam yang jatuh pada hari Selasa.

Pada asalnya, kami merancang untuk ke Summerset di Rompin tetapi memandangkan lokasi yang agak jauh kami batalkan sahaja niat ke sana. Memandangkan hari pun dah agak lewat, akhirnya aku membuat keputusan untuk menginap sahaja di Hotel Seri Malaysia Mersing. Agak ramai pengunjung berkeluarga yang bercuti disitu selain kami anak beranak. Hotel bajet la katakan ...


Petang itu, aku membawa anak- anak ke taman permainan di tepi pantai. Seronok melayan anak bermain buaian dan permainan. Lewat petang, aku membawa anak ke tempat memproses keropok dan membeli sedikit sata untuk 'mentong' petang di tepi laut.

Keesokkannya, aku berikan satu pengalaman baru kepada Alya dan abang-abangnya. Kalau dulu, memang aku tak bagi mereka mandi kolam. Sekarang, inilah kesempatan mereka untuk berendam. Alya yang memang suka main air, kelihatan sangat suka. "Ayah, besttt sangat mandi kolam ni." Terkedu aku mendengar Alya berkata begitu. Hampir sejam berendam dan semua pun dah mengigil kesejukan. "Baik naik, nanti semput pulak Alya." Bisik hatiku.

Sebelum meninggalkan hotel, Irfan berkata... "Cuti nanti kita pergi Mersing lagi ye Ayah." Insya Allah, tetapi bukan di Hotel Seri Malaysia tetapi di hotel lain yang juga mempunyai kolam seperti ini. Mudah- mudahan ada rezeki lebih di lain hari.

Itu tekadku. Biar anak gembira sekali sekala bercuti makan angin.

Awal Muharram

Awal Muharram atau juga dikenali sebagai Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam.

Ini adalah kerana ia memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Ia berlaku pada 1 Muharam dimana ia merupakan hari pertama Takwim Hijrah.

2 Muharram juga merupakan ulangtahun kelahiran Danish mengikut kalendar islam.



Disember 01, 2010

Sport Masage

Hari ini, aku rasa sungguh bertuah. Satu ilmu baru tentang teknik urutan yang mudah dan tidak menyakitkan melalui Sports Massage. Teknik urutan ini digunakan atlet sebelum dan selepas pertandingan dijalankan.



Urutannya nampak mudah, kerana ada 4 langkah sahaja yang perlu dilakukan secara berulang- ulang. Tujuannya, adalah untuk meredekan stress dan menghilangkan ketegangan pada otot- otot yang penat bekerja.

November 18, 2010

Aidil Adha

Hari Raya Haji atau Hari Raya AidilAdha merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Tahun ini kami sekeluarga menyambut Aidiladha dengan kesederhanaan namun penuh kesyukuran. Tidak seperti Aidilfitri yang lalu, dan kini episod duka Aidilfitri telah berlalu. Kami adik beradik berkumpul bersama- sama dan beruntung sekali dapat makan masakan emak yang sedap. Hanya kari ayam mak saja yang kurang power tahun ni, mungkin akibat campur tangan resipi masakan adah dan akak.  Dayah dan Jamaliah tidak balik, mungkin kerna mereka jauh nun di Kuala Lumpur. Cuti pula hanya sehari.



 

November 09, 2010

Berakhirnya Pra Sekolah

"Ayah, tahun depan Danish ke sekolah baru kat Tasek Utara. Danish dah besar." Itulah seloroh Danish setalah tamat pengajian di Pra Sekolah. 2 tahun Danish di Pra Sekolah, banyak perkembangan yang boleh dilihat. Teringat hari pertama Danish menjejakkan kaki ke sekolah, dia terjatuh terhantuk meja. Lesung pipit di pipi kiri dia tu bukan original tapi kesan hentakan meja itulah.

Minggu pertama, agak sukar untuk Danish menerima alam persekolahan. Dari bab bangun pagi, nak mandi hinggalah nak pakai baju, memang cukup liat. Sampai sekolah Danish akan menyorok di belakang pintu, menangis sepuas hati.

Minggu kedua, hatinya mula lembut dan sudah menerima alam persekolahan. Dia mula bergaul dan tidak menangis lagi. Syukur alhamdulillah ...

Dua tahun Danish di Pra Sekolah dan hari ini Danish konvokesyen. Majlisnya ringkas tapi ala-ala konvokesyen di universiti. Beruntung budak sekarang. Zaman aku kecik dulu mana ada.


Danish duduk kiri sekali

Danish duduk kanan sekali
Pagi tadi sambil memandu, aku menasihati Danish. "Anak ayah ni tahun depan dah besar. Kena ubah sikap dan yang penting dah kena mula sembahyang." Danish diam, mungkin dia antara faham dan tidak. Insya Allah, bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya.

November 03, 2010

Alya dah besar

31hb Oktober, kami menyambut ulangtahun kelahiran Alya yang ke 3 tahun. Anak ayah ni semakin besar tetapi manjanya masih belum hilang malah semakin manja hingga tidak boleh dimarah. Jika ditegur, dia cepat merajuk dan biasalah ... berdondang sayanglah kami dengan pekikannya. Namun, inilah buah hati yang selalu juga membuat kami terhibur.

Birthday Girl- Alya 3 Tahun



Oktober 19, 2010

Pembedahan Alya ditangguhkan

20hb Oktober 2010, sepatutnya Alya dikehendaki memasuki Dewan Bedah di HSA. Namun, kita sebagai manusia hanya mampu merancang dan Allah jualah yang menentukan segala- galanya. Memang di dalam hati ini tidak merelakan pembedahan dijalankan lantaran aku belum bersedia untuk menerima kenyataan tersebut.

Semalam, pihak hospital menelefon dan tanpa diduga pembedahan Alya terpaksa dtangguhkan. Mungkin ada hikmah atas apa yang berlaku. Ditakdirkan juga semalam aku bertemu dengan Tok Mat yang katanya boleh membantu Alya secara tradisional. Ikhtiar selagi terdaya, mudah- mudahan diperkenankan Allah untuk sembuh.

Oktober 07, 2010

Bertemu doktor bius

Setelah hampir setahun, tarikh yang ditetapkan hampir tiba. Semalam, aku berjumpa doktor pakar bius di HSA. Dari malam lagi Alya seakan tahu aku akan membawanya ke hospital. Rajuknya semakin menjadi- jadi dari malam hari lagi. Hampir sejam dia menangis, mungkin mengigau sesuatu yang menakutkan. Namun, aku cuba kuatkan semangatnya dengan memujuk agar dia berani menghadapi semua kenyataan ini.

Doktor banyak memberi maklumat mengenai proses pembedahan yang akan dijalankan pada 20hb Oktober ini nanti. Doktor juga menasihati kami agar jangan bimbang kerana ini hanyalah pembedahan biasa. Pembedahan ini akan mengambil masa paling kurang sejam dan dilakukan oleh pakar. Insya Allah, lepas pembedahan ini Alya akan pulih seperti biasa.

Ya Allah, permudahkanlah jalanku untuk merawat anak yang sangat aku kasihi ini.

September 30, 2010

Kejayaan Danish

28hb September yang lalu, Danish telah menyertai pertandingan Block Puzle di Sek. Keb. Tasek peringkat Tadika Zon Bandar Johor Bahru. Semangat untuk menyokong Danish, aku nekad mengambil cuti hari tersebut. Tambahan pulak, banyak urusan yang aku perlu uruskan pada hari tersebut.

Danish dengan hadiah yang dimenanginya

Alhamdulillah, setelah berusaha mencipta beberapa objek dari Block Puzle tersebut, akhirnya Danish telah berjaya mendapat Naib Johan. Walaupun tak dapat Johan, yang penting Danish gembira dan berbangga. Dia juga sudah boleh menyesuaikan diri dan berkeyakinan dengan orang ramai. Tidak seperti selalu, dia sangat pemalu.

September 20, 2010

Allah Maha Besar

Allahuakbar! Allah maha besar.

Dia yang mencipta semua makhluk didunia ini dan Dia yang juga yang maha kuasa ke atas apa yang diciptakannya. Tiada kuasa lain yang boleh mengatasi.

Setelah 6 hari di dalam ICU, akhirnya Jamaliah di tempatkan di wad biasa. Selama itu jugalah, kami sekeluarga berikhtiar memohon keampunan dan berdoa kepada Allah agar mengasihani adikku itu. Emak dan abah juga berikhtiar cara alternatif dengan ustaz dan beberapa orang yang arif tentang selok belok santau.



Malam tadi, abah menelefon aku. Dia kata " Jamaliah dah boleh berjalan dan makan sendiri. Insya Allah 2 hari lagi dia boleh keluar dari hospital." Selepas ini, dia akan terus menjalani rawatan alternatif dengan seorang ustaz di Negeri Sembilan.

Syukur alhamdulillah ... doa mak abah siang malam tanpa jemu berbaloi juga akhirnya.


September 14, 2010

Raya yang mengamit hati



Raya tahun ni, kami cuti 2 hari lebih awal. Dalam kami bersiap- siap untuk pulang ke kampung, tiba- tiba Akak telefon dengan nada yang cemas. Dia kata, "Deris, ko dah tahu ke cerita?" "Tak tahu lagi", jawabku. "Adik kita, Jamaliah sakit tenat sekarang di ICU Hospital Kuala Pilah. Doktor mengatakan peluang dia untuk terus hidup hanya tinggal 40% sahaja." Allahuakbar...bagai tersentap rasa jantung ku ini.

Petang itu juga, semua keluarga termasuk ipar duai ke Hospital Kuala Pilah. Keadaan dia di saat itu cukup menyayat hati. Dia dalam keadaan tidak sedar seperti koma. Mulut dan hidungnya dimasukkan salur bagi membantu jantungnya terus berdenyut. Lehernya ditebok dan dimasukkan salur manakala kedua-dua tangan dan kakinya ada tiub yang dicucuk, mungkin untuk memasukkan air dan ubatan. Keadaannya, benar- benar kritikal.

Malangnya, Doktor sendiri tidak dapat memastikan apakah penyakit yang dialaminya. Apa yang boleh dikatakan Doktor, " Kami akan cuba membantu."

Malam itu, emak abah bermalam di Masjid Kuala Pilah. Tiba- tiba kami didatangi seorang ustaz, mungkin orang kuat masjid tersebut. Dia mengajak ke rumahnya di Seri Menanti. Dalam kami berkenalam, rupanya dia merupakan adik kepada Mufti Negeri Sembilan. Emak menceritakan masalah kepadanya dan dia sanggup membantu Jamaliah dan akhirnya kami mengetahui bahawa Jamaliah rupanya telah di santau angin. Racun tersebut memasuki badan melalui pernafasan dan terus ke paru- paru dan jantungnya menyebabkan kedua-dua organ tersebut luka dan sakit. Kini racun tersebut telah memasuki segenap salur darah dalam badannya.

Patutlah Jamaliah muntah darah ... Subahanallah, dalam zaman sekarang masih ada lagi manusia yang berhati busuk mengamalkan ilmu sihir sebegini. Tak takutkah kepada dosa-dosa dan balasan akibat perbuatan tersebut? Kalau turutkan hati, mahu sahaja aku membalasnya kembali kepada orang yang menghantar santau tersebut. Namun, aku masih mempunyai sekelumit iman yang menghalang aku meneruskan niat tersebut. Kata mak, biarlah Allah sahaja yang membalasnya kelak.


Raya tahun ni, tidak kami sambut seperti selalu. Mak dan abah tetap tidak mahu berganjak dari hospital dan mahu menunggu Jamaliah. Begitulah kasih mak dan abah kepada anaknya. Kini, Jamaliah telah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur. Masih lagi di ICU manakala mak dan abah masih setia menemani anaknya.


Namun, semalam ... mak dan abah menelefon aku dengan keadaan yang agak lega. Jamaliah kini stabil dan mulai sedar. Dia sudah mula mengenali ahli keluarga dan tiub yang dimasukkan ke dalam mulutnya untuk membantunya bernafas pun telah dikeluarkan. Kami akan terus membantunya. Sembahyang hajat akan terus kami lakukan kerana kami percaya hanya Allah yang maha kuasa, lebih berkuasa dari ilmu syaitan yang dihantar oleh manusia durjana.

September 06, 2010

Dah kurus ...

Sabtu lepas, kami ke Tesco Tebrau membeli kelengkapan dapur. Dalam perjalanan masuk, terpandang pulak mesin timbang di tepi pintu. Timbang punya timbang, berat aku kini hanya tinggal 59 kg dari 63kg.

Wahh...betul- betul ada kemajuan. Perut pun kurang sikit gendut dan seluar lama yang bersaiz 32 tu dah boleh pakai semula. Syukur,  mudah- mudahan aku diberikan kesihatan yang baik dan badan pun terus maintain tak terlalu gemok dan tak juga terlalu kurus.

Ogos 26, 2010

Berbuka di Senibong

10 Ramadhan yang lalu, ayang belanja kami anak beranak makan seafood. Balik kerja terus sahaja kami menuju ke Senibong. Senibong ni merupakan tempat makan makanan laut yang istimewa di Johor Bahru. Ditemani angin bayu, ditambah panorama indah ditepi laut (boleh nampak Singapore), ikan pun segar bugar menjadikan tempat ni terlalu istimewa.


Ikan masak stim, sedap ...



Lobster kegemaran Danish
Tetapi, tempat ni sesekali boleh pergi, kalau selalu ...parah jugak. Mahal ...

Menu utama kami pada hari itu, sesuai sangat untuk orang yang begitu lapar macam aku ni. Aku memilih ikan masak stim dan udang goreng tepung, ayang memilih kerang bakar dan sayur chapcai, Danish pulak memilih udang Lobster dan otak- otak.

Dalam diam-diam, habis licin semua makanan kami sapu. Subhanallah ...

Ogos 17, 2010

Meniti awal ramadhan

Ramadhan kali ini, aku jalani ibadah dengan penuh kesyukuran.

Hari pertama berpuasa, kami sekeluarga sepakat untuk berbuka di rumah pak mertua. Meriah...ramai ipar duai yang balik. Mak mertua punya gembira, macam- macam yang dia masak. Balik tu singgah sekejap di rumah abah. Mak kata, "Tak de siapa yang balik, mak buka nasi ambeng je..."

Kesian juga melihat dia, keletihan. Maklumlah, seperti hari kebiasaannya mak dan abah bisnes kuih muih di kampung. Kuih mak dan abah agak popular kat kampung aku terutamanya kuih epok- epok. Setiap hari, ada sahaja orang yang tempah. Kat kampung kuih murah je. Mak jual 4 singgit. Bulan puasa ni, mudah- mudahan rezeki mak dan abah bertambah dan melimpah ruah.

Mak terlelap kepenatan

Bulan Ramadhan juga, kami di UiTM ni kena mengaji Al- Quran. Lama tak mengaji, hingga keras lidah nak membaca Al- Quran. Hari pertama mengaji, Dr Mat menguji kami semua. Aduh, gabra habis aku...maklumlah yang menguji ni bukan calang- calang orang. Aku gagahkan juga membaca walaupun terangkak- rangkak. Malu bukan kepalang ...

Ogos 10, 2010

Salam Ramadhan 1431H



Syukur kepada Allah, tahun ini aku diberi peluang menikmati bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. 32 tahun yang lalu, aku juga telah lahir kedunia yang fana ini pada 10 Ramadhan di Kg Telok Rimba, Muar.

Mak kata, masa tu bulan terang dan hampir penuh.

Tahun ini aku berazam seperti tahun- tahun yang lepas untuk berpuasa penuh. Insya Allah...semoga aku diberikan kekuatan untuk menempuh segala dugaan sepanjang menjalani ibadah puasa. Tahun- tahun yang lepas, ada jugak kena gastrik tetapi tetap berpuasa penuh juga.

Selamat berpuasa, semoga kita dapat menjalani ibadah puasa ini dengan hati yang bersih dan mudah-mudahan segala ibadah kita diterima oleh Allah swt.

Julai 28, 2010

Dugaan Alya pada 27 Julai 2010

Malam semalam, Alya tidur tidak nyenyak. Sekejap dia merengek ... menangis. Rupa- rupanya, Alya mengalami kesukaran bernafas. Awal pagi aku ke Klinik Penawar 24 jam dan doktor mengarahkan aku ke hospital mendapatkan rawatan kecemasan dengan segera.

Si comel ni tengah tido
Hospital terdekat Hospital Sultan Ismail. Sungguh aku bangga dengan perkhidmatan yang diberikan. Cepat, dan efisyen. Turun sahaja dari kereta, Alya terus diberikan oksigen. Suspen, resah, gelisah semuanya ada dalam kepala lantaran aku tidak dibenarkan melihat keadaan dia. Hanya ayang yang dibenarkan menemankan Alya. Dalam hati tak putus- putus berdoa kepada Allah agar menyelamatkan Alya.

Keluar sahaja dari hospital, dia bertanya ... "Ayah ke mana tadi tak temankan Alya." Aku ketawa tetapi tetap bersyukur. Dalam kesakitan yang dialami, aku adalah antara insan yang dicari- carinya.

Syukur, setelah mendapatkan rawatan... Alya ok dan selamat.

Julai 26, 2010

Pertemuan dan perpisahan

Pertemuan dan perpisahan lumrah kehidupan. Itulah hakikat yang ditentukan Allah. Kita sebagai manusia biasa hanya mampu merancang tetapi Allah jualah yang menentukan segalanya.

Semenjak 3 tahun UiTM ini dibuka, sudah 2 orang staf aku telah berhenti kerja. Tahun ini, 2 orang lagi akan berhenti menjadikan kesemuanya 4 orang dalam masa 3 tahun. Huda berhenti setelah berkahwin dan mendapat kerja di Bukit Aman, Syasha naik pangkat kepada Juruteknik Komputer, Jun berkahwin dan mendapat tawaran bekerja di Putrajaya manakala Paan berpindah ke PTAR, Shah Alam.

Apapun, aku percaya kepada Qada dan Qadar yang Allah tentukan dan Insya Allah rezeki itu berada dimana- mana. Patah tumbuh, hilang berganti.

Selamat menjalankan tugas ditempat baru.

Julai 16, 2010

Pengertian



Pengertian amat penting dalam hubungan sesama manusia. Pengertian dari segi hati, fikiran, fizikal dan apa sahaja. Pokoknya, apa sahaja yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia harus ada pengertian.

Namun, bagaimana harus aku mengerti apa yang tersirat di dalam hati sedangkan aku bukanlah manusia sempurna yang boleh mengetahui sanubari. Ku cekalkan hati, untuk cuba memahami situasi yang dialami lantaran aku yang tidak mengerti.

Bagaimana juga harus aku luahkan agar orang lain juga memahami hati, kekuatan serta kudrat yang ada.

Hakikatnya, aku bukan sempurna. Ibarat kapal tua menyusuri lautan luas, mana nak sama seperti kapal yang baru... Sabarlah dan terimalah aku seadanya.

Julai 13, 2010

Ujian

Kata orang, kehidupan ini ibarat roda. Senang, susah, sakit, sihat saling berganti. Lumrah dan asam garam kehidupan. Umpama disiang hari, jangan diduga cerah hingga ke petang. Adakalanya, hujan turun ditengah hari.

Lusa, aku akan diuji sekali lagi. Aku cuba mempersiapkan diri menghadapi ujian ini. Tahun lepas, aku gagal lantaran kealpaan aku sendiri. Insya Allah, tahun ini aku berjanji akan cuba sedaya upaya dan bekerja keras lagi.

Tak dapat 3, dapat 4 pun jadilah.

Julai 09, 2010

Sayang

"Kenapa ayah cakap adik sayang?" Soalan tu keluar dari mulut Alya malam tadi. Entah kenapa dia bertanya begitu pada ku. "Sebab ayah memang sayangkan adik." ringkas sahaja jawabku. "Ohhh..." jawabnya tanda dia mengerti.

"Adik pun sayangkan ayah." lalu dikucupnya pipiku. Tersentap rasa jantung dan terharu sungguh bagaikan tidak percaya.

Malam itu, Alya tidur dengan mudah. Sebelum tidur sempat juga dia hadiahkan dodoian kegemarannya kepadaku, selawat kepada Nabi Muhammad. Hairannya, bacaan selawat ini tak pernah aku ajar kepadanya. Terang hatinya mungkin kerna tiada dosa lagi tercatat untuknya. 



Julai 08, 2010

Kesabaran

"Jalanlah ayah, cepat la sikit..." rungutan tu selalu keluar dari mulut Danish setiap kali kami menghadapi kesesakan lalu lintas di Johor Bahru, terutamanya di waktu puncak dimana semua orang berpusu- pusu untuk pergi bekerja, pergi sekolah. Danish selalu hilang kesabaran lantaran kereta yang dipandu tidak bergerak atau bergerak dalam kadar perlahan.

" Sabarlah ...jalan jem ni. Perlahan- lahan, insya Allah sekejap lagi sampai. Danish sabar ye." Dalam kepayahan, aku cuba mengajar anak supaya bersabar sedangkan adakalanya aku juga hilang sabar. Maklumlah, aku juga manusia biasa, bukan dari golongan Ulul-Azmi yang mempunyai ketabahan dan kesabaran yang tinggi.

Dalam hati aku selalu berdoa, Ya Allah, permudahkanlah jalan ku.Sabar dan tabahkanlah hatiku dalam segala urusan.

Julai 07, 2010

Kerjasama

Kali ini,  pengambilan pelajar agak ramai. Jadi, taklimat kali ini terpaksa kami rombak sedikit hasil daripada penelitian terhadap taklimat yang lepas. Bukan senang nak kekalkan rangking 4.00 setiap semester.

Namun, team kami tetap mantap dari segi kerjasama dan penglibatan. Semua staf ada peranan masing- masing dan bersungguh- sunguh menjalankan tugasan yang diamanahkan.

Benarlah kata wonder pets, " Apa yang penting, kerjasama." Terima kasih semua.





  

Julai 06, 2010

4 Genetik Bos

Bos oh bos ... Ada macam- macam bos yang kita akan hadapi selagi kita belum lagi jadi bos. Antaranya:

1. Garang dan penuh ghairah.

Mereka merupakan penggerak syarikat. Bos begini tahu apa yang dimahukan dan mahu perkara dilakukan mengikut caranya. Kamu pasti memaafkan kesalahannya kerana dia berpersonaliti menarik dan cukup pemurah.


2. Intelektual dan banyak cakap.

Bos begini merupakan seorang yang pandai berkomunikasi dengan idea-idea bijak yang disalurkan pada kumpulannya dengan mudah dan penuh yakin. Mungkin ada masanya dia senyap sahaja terutamanya bila dia sedang berfikir mengenai isu-isu syarikat. Dia mungkin kelihatan tidak begitu yakin apabila dia sedang meminta pendapat orang lain. Namun begitu, dia seorang yang adil dan bertimbang rasa.

3. Stabil, senyap dan praktikal.

Dia seperti dinding yang kukuh. Dia tahu apa yang dimahukan dan bekerja keras untuk kekal di atas. Bos begini mugkin kadang-kadang agak degil. Kamu mungkin tak tahu sama ada dia sukakan kamu atau tidak kerana dia seorang yang penyabar.

4. Ada angin dan sukar dijangka.

Bos begini tidak mengikut peraturan. Dia agak luar biasa dan mungkin berperangai gila-gila. Kadang-kadang dia menjerit, bermain gitar di pejabat dan kerap masuk mensyuarat lewat.

Julai 05, 2010

Umrah

"Insya Allah kalau ada rezeki abah, mak teringin ke tanah suci lagi. Kalau tak dapat menunaikan haji, umrah pun jadiklah." kata pak mertua aku 2 tahun yang lepas sekembalinya dari menunaikan haji.

Alhamdulillah, memang rezeki mereka murah dan agaknya doa mereka yang betul- betul ikhlas dan suci dimakmulkan Allah. Apa tidaknya, ibadat umrah mereka kali ini disponsor penuh oleh Abang Lan yang juga abang iparku. Riak gembira dan kesyukuran terpancar diwajah kedua mereka memang sukar untuk aku terjemahkan. Mungkin aku yang belum ada rezeki untuk ke sana belum memahami nikmat beribadah di depan Kaabah.

Dalam hati kecil aku tetap berkata, " Insya Allah, sebelum umur 45 tahun aku akan bawa anak dan isteri menunaikan haji. Amin..."

Oleh- oleh untuk kami anak beranak memang tak pernah dilupakan. Air zam - zam, kacang, kurma dan minyak wangi arab.

Terima kasih abah ...

Julai 01, 2010

Lawatan ke BSLN dan PNM, KL

Tahun ini, kami mengadakan lawatan benchmarking ke BSLN dan PNM, Kuala Lumpur. Seronok berjumpa kenalan lama yang telah agak lama tak jumpa.

Di BSLN, Kuala Lumpur


Makan malam di restoran Tupai- Tupai, Kuala Lumpur. Belakang sekali, huda yang semakin chubby.

Bersama Helmi, dulu rakan sekelas di UiTM yang kini telah menjadi Pen. Pengarah Korporat PNM

Sekalung penghargaan sejambak kenangan


Gambar di atas telah kami (warga PTDIJB) hadiahkan kepada mantan bos kami, Prof. Madya Dr. Hj. Ahmad Che Yaacob sebagai kenangan. Tempoh 2 tahun rasanya sangat pantas berlalu. Sesungguhnya, banyak jasa dan kenangan indah yang kami lalui dibawah pengurusan beliau yang sangat sporting.

Terima kasih Bos!

Hari Keluarga UiTM Johor Bahru


Kenangan bersama warga UiTM Johor Bahru di UNIMAP, Perlis






My Big Bos sporting habis ...

Brother Noin bersungguh meniup belon



Danish juga meniup belon

Selamat Pengantin Baru Adah & Amy

Selamat pengantin baru buat adikku Adah dan suaminya Amy. Semoga kekal bahagia hingga ke syurga.








Amy ni sebenarnya merupakan senior aku sewaktu di Tingkatan 6, Sekolah Tun Habab Kota Tinggi dan kami juga sekampung. Majlis kahwin diadakan mengikut tradisi kami, orang kampung. Jadi semangat bergotong- royong masih kuat diamalkan dari seminggu sebelum majlis sehinggalah selesai mengemas rumah pengantin.

Teringat zaman muda-muda dulu dimana aku dan kawan- kawanlah yang mengerakkan team kendarat. Dari mengangkat khemah, kerusi, meja, pingan mangkuk hinggalah melayan tetamu tuan rumah yang datang. Upah untuk kami semua cukup lumayan, RM 300.00 untuk sebuah rumah. Apa yang penting, semua kerja beres dan tuan rumah puas hati. Sekarang, team kendarat masih lagi wujud cuma digerakkan oleh kawan- kawan yang masih tinggal dikampung.

Januari 28, 2010

Surat Pencen

Dalam diam, 1 Disember 2009 genaplah 3 tahun aku berkhidmat dengan UiTM. Pagi semalam, aku terima satu surat dari UiTM Malaysia. Seperti yang dijangka, surat tersebut merupakan surat Pemberian Taraf Berpencen dari JPA. Syukur...penantian aku selama 3 tahun dah pun berhasil.

Ini bermakna, mulai bulan Februari 2010 aku tidak akan menyumbang lagi kepada KWSP. Gaji bersih pun naiklah sikit dan paling syok sekali, aku boleh kuorkan duit dari KWSP. So syok!

Bila memikirkan duit yang ada ni, macam-macam aku terfikirkan. Nak buat itu, nak beli ini ... macam- macam angan bermain dalam kepala. Apapun paling utama adalah aku akan cuba setlekan hutang piutang yang wajib dahulu. Takut nanti, kalau aku mati tak sempat nak langsaikan hutang.