Raya tahun ni, kami cuti 2 hari lebih awal. Dalam kami bersiap- siap untuk pulang ke kampung, tiba- tiba Akak telefon dengan nada yang cemas. Dia kata, "Deris, ko dah tahu ke cerita?" "Tak tahu lagi", jawabku. "Adik kita, Jamaliah sakit tenat sekarang di ICU Hospital Kuala Pilah. Doktor mengatakan peluang dia untuk terus hidup hanya tinggal 40% sahaja." Allahuakbar...bagai tersentap rasa jantung ku ini.
Petang itu juga, semua keluarga termasuk ipar duai ke Hospital Kuala Pilah. Keadaan dia di saat itu cukup menyayat hati. Dia dalam keadaan tidak sedar seperti koma. Mulut dan hidungnya dimasukkan salur bagi membantu jantungnya terus berdenyut. Lehernya ditebok dan dimasukkan salur manakala kedua-dua tangan dan kakinya ada tiub yang dicucuk, mungkin untuk memasukkan air dan ubatan. Keadaannya, benar- benar kritikal.
Malangnya, Doktor sendiri tidak dapat memastikan apakah penyakit yang dialaminya. Apa yang boleh dikatakan Doktor, " Kami akan cuba membantu."
Malam itu, emak abah bermalam di Masjid Kuala Pilah. Tiba- tiba kami didatangi seorang ustaz, mungkin orang kuat masjid tersebut. Dia mengajak ke rumahnya di Seri Menanti. Dalam kami berkenalam, rupanya dia merupakan adik kepada Mufti Negeri Sembilan. Emak menceritakan masalah kepadanya dan dia sanggup membantu Jamaliah dan akhirnya kami mengetahui bahawa Jamaliah rupanya telah di santau angin. Racun tersebut memasuki badan melalui pernafasan dan terus ke paru- paru dan jantungnya menyebabkan kedua-dua organ tersebut luka dan sakit. Kini racun tersebut telah memasuki segenap salur darah dalam badannya.
Patutlah Jamaliah muntah darah ... Subahanallah, dalam zaman sekarang masih ada lagi manusia yang berhati busuk mengamalkan ilmu sihir sebegini. Tak takutkah kepada dosa-dosa dan balasan akibat perbuatan tersebut? Kalau turutkan hati, mahu sahaja aku membalasnya kembali kepada orang yang menghantar santau tersebut. Namun, aku masih mempunyai sekelumit iman yang menghalang aku meneruskan niat tersebut. Kata mak, biarlah Allah sahaja yang membalasnya kelak.
Raya tahun ni, tidak kami sambut seperti selalu. Mak dan abah tetap tidak mahu berganjak dari hospital dan mahu menunggu Jamaliah. Begitulah kasih mak dan abah kepada anaknya. Kini, Jamaliah telah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur. Masih lagi di ICU manakala mak dan abah masih setia menemani anaknya.
Namun, semalam ... mak dan abah menelefon aku dengan keadaan yang agak lega. Jamaliah kini stabil dan mulai sedar. Dia sudah mula mengenali ahli keluarga dan tiub yang dimasukkan ke dalam mulutnya untuk membantunya bernafas pun telah dikeluarkan. Kami akan terus membantunya. Sembahyang hajat akan terus kami lakukan kerana kami percaya hanya Allah yang maha kuasa, lebih berkuasa dari ilmu syaitan yang dihantar oleh manusia durjana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan