September 29, 2011

Ketumbit



Ketumbit merupakan jangkitan pada pinggir kelopak mata yang mengakibatkan bisul kecil yang berkembang pada bahagian tersebut. Ketumbit boleh dibahagikan kepada ketumbit luaran, iaitu apabila jangkitan berlaku pada folikel-folikel yang terdapat pada bulu mata, atau ketumbit dalaman, iaitu apabila jangkitan berlaku pada kelenjar minyak yang terdapat pada kelopak mata.
Ketumbit kebiasaannya terjadi pada kanak-kanak. Walau bagaimanapun, orang dewasa juga berkemungkinan untuk mendapat ketumbit, bergantung kepada tahap penjagaan mata mereka.
Penyebab :
Ketumbit adalah disebabkan oleh kelenjar minyak yang terletak berhampiran dengan kelopak mata menjadi tersumbat. Kelenjar minyak yang telah tersumbat ini kebiasaannya akan dijangkiti oleh bakteria seperti bakteria Staphylococcus aureus. Penghasilan atau pengumpulan minyak yang berlebihan menyediakan keadaan yang sesuai untuk pembiakan bakteria. Antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan kelenjar minyak tersumbat ialah :
* Tekanan
* Pertukaran hormon
* Mengguna peralatan solek yang sama buat satu jangka masa yang lama atau yang telah dijangkiti oleh bacteria
* Diabetis
* Kandungan lemak yang tinggi dalam badan
* Kekurangan vitamin dalam badan
Patogenesis :
Kelenjar minyak yang terletak berhampiran dengan kelopak mata tersumbat dan mengakibatkan minyak yang dihasilkan oleh kelenjar berkenaan berkumpul dan mengalir keluar daripada dinding kelenjar tersebut membentuk seperti gumpalan kecil (bisul) di pinggir kelopak mata. Bisul tersebut kebiasaannya amat sakit, berwarna merah dan bernodul. Kebiasaannya, kelenjar minyak yang tersumbat amat mudah dijangkiti oleh bakteria dan ini menyebabkan pesakit mengalami kesakitan yang teruk dan kawasan di sekitar kelopak mata yang terlibat menjadi kemerahan.
Ketumbit kebiasaannya kelihatan putih atau kekuningan seperti jerawat. Ketumbit boleh berlaku pada bahagian sebelah mata sahaja atau kadangkala ia boleh melibatkan kedua-dua belah mata dalam satu masa, secara serentak.
Bisul yang terhasil pada kebiasaannya akan surut dengan sendirinya apabila bahan yang menutup lubang kelenjar minyak tersebut dialihkan. Jangkitan oleh bakteria juga akan pulih apabila nanah dikeluarkan dan bahagian kelenjar tersebut dibersihkan.
Simptom-simptom :
* Bisul di bahagian atas atau bawah kelopak mata
* Bengkak di sekeliling kelopak mata
* Sakit
* Kelopak mata menjadi merah
* Kelopak mata terasa sakit apabila disentuh
* Mata menjadi pedih
* Mata berair
* Gatal-gatal di kawasan bisul
* Pesakit berasa tidak selesa semasa mengelipkan mata
* Sensitif kepada cahaya yang cerah
Nyatalah ketumbit ni takda kena mengena dengan mengintai anak dara orang tgh mandi ke hape ke…

Sumber : Wikipedia

September 28, 2011

Lulus

Permohonan pinjaman perumahan bagi rumah di Mutiara Desaru telah diluluskan oleh Perbendaharaan Malaysia pada 23 September yang lalu. Syukur alhamdulillah...rumah ini berharga RM 215,000.00 dan pinjaman bersama isteri. Kira aku 50% dan ayang 50%. 

Antara impian dan angan-angan aku adalah untuk membeli sebanyak 3 buah rumah, mudah- mudahan dipermudahkan Allah dan tercapai. Biar nanti kesemua anak- anak aku mewarisi seorang satu rumah apabila aku tiada kelak. Insya Allah...


September 13, 2011

Syawal datang lagi

Pulang beraya di kampung menjadi kelaziman aku sekeluarga. Kami beraya di Kota Tinggi, bermula dengan rumah Atok Abah dan kemudian ke rumah Atok Seman. Jaraknya dekat sahaja, jadi kami boleh berulang alik bila- bila masa sahaja.

Malam raya dikampung sungguh indah. Sekitar halaman rumah di terangi lampu pelita dihiasi pula dengan bintang yang berkedipan di langit. Sungguh indah...Di masa ini, anak- anak yang paling gembira bermain bunga api bersama sepupu mereka. Layankan saja...

Pagi Syawal, buat pertama kalinya aku membawa Irfan dan Danish untuk menunaikan Solat Sunat Aidilfitri. Malangnya, kami hanya dapat berada di luar masjid sahaja. Jumlahnya luar biasa menunjukkan begitu ramai anak Felda yang pulang ke kampung halaman. 

Pagi itu, cukup syahdu. Ketika bersalaman dengan mak dan abah...ucapan berikut cukup menyentuh hati. "Mak dan abah maafkan segala dosa dan halalkan makan minum anak mak dan abah." Bergenang air mata. 

"Terima kasih..." dan aku memeluk emak erat.




Ogos 24, 2011

Senyum

"Tak perlu kata apa- apa...senyum." 

Bait lagu ni jika difikirkan cukup bermakna dan memberi kesan mendalam bagi merawat hati dan perasaan. Maklumlah hati yang gundah gulana, ditambah lagi dengan kepenatan setelah seharian bekerja akan terubat jika melihat senyuman. 

Dahulu, aku juga terpikat dengan ayang kerana senyumannya yang manis, menampakkan baris giginya yang rapi. hehehe...seawal umur 18 tahun aku sudah mula bercinta dengannya. Ketika itu, aku bersekolah di Tingkatan 6 Bawah di Sekolah Tun Habab. Aduhai... manisnya saat itu. Hari- hari hati ini bagaikan digeletek.

Aku pula jenis sebaliknya. Aku jarang tersenyum, dan berat mulut. Begitulah jodoh. Jika pasangan suka tersenyum, pasangannya pula sebaliknya. 

Senyumlah...tak perlu kata apa-apa. 

Ogos 23, 2011

Terima kasih

Bulan ramadhan ni, ayang bangun seawal jam 4.00 pagi. Paling lewat pun jam 4.05 pagi. Aku antara sedar dan tidak, memeluk bantal dan meneruskan lelap. Ayang akan terus bangun untuk menunaikan tanggungjawabnya bagi menyiapkan juadah bersahur. Biasanya, aku akan 'order" dahulu apa yang nak dimakan. Biasalah, orang lelaki.  

Pernah suatu hari, permintaan aku cukup mudah. "Masakkan abang sardin dengan telor dadar je." Nampak enteng tetapi sebaliknya!

Pagi itu, terdengar ayang mengetuk tin didapur, barangkali dia cuba membuka tin sardin agaknya. Hampir 15 minit dia mencuba untuk memuka tin sardin sahaja. 

Rupanya, ayang memang langsung tak pandai membuka tin sardin. Dah 9 tahun berkahwin , baru kali ini rahsia terbongkar. Tetiba perasaan kasihan menerpa, aku bingkas bangun dan membantu. " Nahhh...siap."  

Ayang diam dan terus memasak menu permintaan aku...tak pernah dia merungut. Walaupun ayang "cuti", dia akan terus memasak. 

Begitulah... Adat memberi mengharap dibalas, namun sebaik-baik pemberi ialah orang yang tidak harap dibalas atau diucap terima kasih. 

Insya Allah, Allah akan beri ganjaran pahala kepada ayang kerana tak jemu-jemu menyediakan juadah bersahur untuk aku. "Terima kasih, ayang..."  

Ogos 15, 2011

2011 + 1 lagi

2011...bertambah lagi satu angka menjadikan umur aku 33 tahun. Mak melahirkan aku di Kg Telok Rimba, Muar, Johor pada 10 Ramadhan jam 10.00 pagi. Nenek Bik yang menyambut kelahiran aku dirumah Atok.

Mak kata, dulu aku ni seperti tak sabar- sabar nak keluar. Belum cukup bulan dah mengeras dan rasa seperti nak bersalin. Bila dah keluar, pusat pulak tak tanggal- tanggal hampir sebulan. Susah nak jaga...tapi proses membesar begitu pantas. Apa tidaknya, baru 10 bulan aku dah boleh berjalan. Umur setahun dah merayap mengikut mak ke kebun kelapa sawit abah. 

Pagi tadi...bila buka FB, email dan sms...ramai yang mengucapkan selamat. Terima kasih semua kerana mendoakan aku. Dalam umur awal 30-an begini, ramai yang beranggapan sudah  tua, tetapi ramai juga yang mengungkapkan.."life just begin..." hehehe...


Big Boss wish melalui email...terharu sungguh!

Ogos 12, 2011

Berbuka @ Sayam

" Bulan puasa ni kita nak buka bersama di mana?" saja aku membuka cerita kepada rakan setugas.

Dari situ bermulalah perancangan untuk berbuka bersama rakan setugas. Tanggungjawab ini aku sandarkan kepada Iza dan Fatihah untuk menguruskannya. "Cari tempat yang sesuai, selesa, sedap dan berdekatan dengan surau atau masjid. Bajet, Insya Allah ada." Itu pesanku kepada mereka berdua. Pelbagai cadangan tempat disyorkan mereka dan akhirnya suara ramai bersetuju untuk berbuka puasa di Sayam, Stulang Laut.


Menu berbuka puasa memang mengoda. Ikan siakap masak stim, tomyam, sotong goreng tepung, butter prawn, kailan ikan masin, sayur cendawan, telor bistik dan kerang bakar. Bab menu, aku memang tak kisah, asalkan boleh makan dan sedap.

Kami berbuka agak lewat sedikit hari itu, mungkin lewat 5 minit. Di restoran itu, semua orang memerhatikan sesama sendiri. "Eh..dah buka ke?" Aku dengan selamba, memulakan berbuka puasa. "Dah buka ni...aku menyakinkan semua." hehehe...

Jam sudah menunjukkan 7.50 malam. Perut pun dah kenyang, laparpun hilang. "Jom kita ke surau depan tu..." Malangnya, masih ramai manusia yang belum berganjak dari meja makan masing- masing. Melayani hawa perut yang lapar. 


Ogos 09, 2011

Tersenyum

Malam tadi tak sempat nak mendengar buletin utama. Rancangan rutin setiap malam. Selesai sahaja solat maghrib, anak- anak bersungguh- sunguh mengajak bermain bunga api dan mercun "pop-pop" yang Danish beli di bazar Ramadhan petang semalam.

"Cepatlah ayah, adik dah tak sabar ni nak main bunga api." rengek Alya. Sayangkan anak aku turutkan sahaja.

Jam 9.30 malam, abah telefon. Dalam hati berdebar- debar, ingatkan ada kecemasan ke atau berita Adah dah bersalin. "Ko ada dengar berita tadi?" tanya abah. "Tak sempat, melayan budak- budak ini." jawab aku selamba. Orang gomen dapat bonus nak raya ni, setengah bulan gaji. hehehe...

Syukur alhamdulillah...tapi dalam hati masih tak percaya. Maklumlah, dah beberapa tahun ni, tak de bonus langsung. Sebenarnya, sejak beberapa bulan lepas aku telah bersedia dan redha sekiranya tahun ini tiada bonus. Jadi, kami membeli serba sedikit persiapan raya untuk anak- anak lebih awal. Baju, seluar hingga ke kasut...semua dah siap sebelum puasa lagi. Ada bajet lebih ni, bolehlah kami raya dengan berlapang dada sedikit. Namun, pasti kami tidak lupa. Rezeki ini pastinya harus dibahagikan seadil-adilnya.

Semalam sampai office, semua staf senyum meleret. Suka, gembira...barangkali seperti aku juga. Terima kasih gomen kerana membuat hampir 1.27 juta penjawat awam tersenyum sokmo.




Ogos 08, 2011

Songkok baru

Semalam kami berbuka puasa di rumah Atok Seman. Dalam perjalanan Irfan bertanya,"Ayah, boleh kita pergi Kota Tinggi?" Kebetulan semalam hujan dari pagi hingga ke petang. Jadi terpaksalah aku menghampakan permintaan Irfan. 

"Malam nanti, kalau tak hujan kita singgah ke kota sekejap ye..." pujuk ku. Dia diam tak berkata apa- apa, merajuk barangkali. 

Lepas berbuka, aku bersiap- siap berkemas untuk balik ke Johor Bahru. Sekali lagi Irfan bertanya, " Ayah...boleh kita pergi ke kota? " 

Dalam hati aku tiada lain, mesti Irfan nak cari mainan. "Baiklah, kita ke Pasar Ramadhan ditepi sungai Johor." Beli satu sahaja yang Irfan nak, lebih tak boleh. Irfan angguk tanda setuju.

Ramai sungguh orang malam tu, rata- rata orang Melayu. Nampak gaya, ramai juga orang yang tak solat terawih. Dalam kami meronda- ronda, hanya satu kedai sahaja menjadi pilihan Irfan. Dia berhenti dan berkata ..."Irfan nak songkok baru, songkok raya." 

Malam tadi, Irfan tidur bertemankan songkok raya. Seronok barangkali ...

Ramadhan 1432H

Ramadhan datang lagi. Selamat menyambut bulan Ramadhan 1432H, bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Anak- anak sibuk bertanya tentang puasa dan sememangnya mereka belum memahaminya. Apa yang mereka tahu selepas puasa, mereka akan beraya. 

Hari pertama berpuasa, kami berbuka di rumah emak. Awal- awal lagi telah aku sms kepada adik beradik agar balik sama, bagi yang berkesempatan. Teringin makan sama- sama adik beradik seperti dahulu. Maklumlah adik beradik ramai...memang riuh dan meriah.

Awal ramadhan kali ini, kesihatan ku di uji. Rasa seperti nak demam. Kemudian sakit perut, mual, pening dan rasa seperti nak muntah. Hampir tewas tambahan pula Doktor Wan memberikan aku 1 hari MC untuk berehat. Namun, dengan semangat yang ada aku gagahkan juga dan syukur aku mampu meneruskan juga untuk berpuasa. Seharian aku bertemankan sebotol minyak Yuyi Cap Limau. hehehe...ngalahkan orang mengandung.



Doktor Wan kata aku mungkin keracunan makanan. Nasihatnya, teruskan puasa. Insya Allah puasa juga salah satu rawatan untuk orang yang sakit perut. Natijahnya, jangan main beli sahaja apa yang dijual di bazar Ramadhan. Lihat dan teliti dahulu makanan yang dijual...sebab apa yang dijual belum tentu tahap kebersihannya.

Hari ini, hari ke lapan berpuasa dan azamku...aku akan terus berpuasa. " Ya Allah berikanlah aku kesihatan yang baik dan berikanlah aku kekuatan untuk terus berpuasa, beribadat kepadamu Ya Allah."

Jun 30, 2011

Kawan lama

Sudah 13 tahun masa berlalu. Begitu pantas!

Mengenang kembali tahun 1998 ketika itu aku mengaji di UiTM Shah Alam. Masih aku ingat pada awal perkenalan kami di Kolej Delima, UiTM Shah Alam. Oleh kerana kami sekelas dan berjiran bilik, jadi dia menjadi antara kawan baik aku sehinggalah ke semester 5. Entah dimana silapnya. Mungkin tanpa disengaja aku telah menguris hati dan perasaannya. Namun hingga kini aku masih tidak mengerti, masih menjadi teka teki.

Kisahnya bermula apabila permohonan rayuan aku untuk memasuki kolej diterima oleh pihak Kolej Jati. Tanpa diduga, katil yang aku isi itu rupanya tempat kawan baik ku yang mendapat tempat dikolej yang sama, cuma entah atas alasan apa dia tidak mendaftar terima tawaran yang diberikan. 

Maafkan aku, tetapi itu bukan salahku. Pihak pengurusan kolej yang memberikan ruang itu untuk aku, atas dasar pelajar tersebut tidak menerima tawaran kolej yang diperuntukkan untuknya.

Semalam, aku mendapat satu mesej dari FB. "sahabatku sudah lama saya mencari idris, nie baru jumpa, bulan lepas saya pergi kenduri d simpang renggam, kalau ada no handphone sememangnya saya ingin menghubungi idris, nie no hp saya..." 





Terkedu, terharu seketika...lantas aku menghubunginya. Lama kami berbual bertanya khabar berita dan menceritakan perkembangan keluarga masing- masing. Kami sama- sama berasal dari kampung, aku nun jauh dari selatan dia pula dari utara. Namun, kami mempunyai matlamat yang sama, ingin mengubah nasib diri kearah yang lebih baik.

Syukur, kini dia menjadi insan berjaya. Dia kini bukan calang orangnya, tauke besar di firma guaman terkenal di Kuala Lumpur. Aku doakan semoga sahabatku ini sihat sejahtera, bahagia dan dirahmati Allah sentiasa. Amin... 



Jun 28, 2011

Hari Keluarga UiTM Johor Bahru 2011

Hari keluarga UiTM Johor Bahru kali ini diadakan di Desaru, Kota Tinggi pada 11-12 Jun 2011. Tak ramai yang join. Apapun kami layan jer...


Makan malam

Bersama staf PTDI

No.2 Game dukong bini

Jun 21, 2011

Antara mimpi, angan- angan dan impian

Sejak kebelakangan ini aku dan ayang banyak bermimpi dan berangan-angan. Sebenarnya, mimpi dan angan- angan yang sedang asyik difikiran ini merupakan impian kami dari dahulu lagi.

Impian tersebut merupakan sebuah kediaman yang mempunyai tanah disekitarnya. Aku impikan juga halaman yang subur dengan rumput kehijauan, lanskap ringkas tetapi menarik. Anak- anak bebas bermain dan meneroka, tidak terkongkong oleh batu-batu konkrit. Ada satu pergola untuk kami sekeluarga bersantai sambil minum petang. Ditambah lagi dengan desiran angin laut dari pantai Desaru. Wahhh...memang menyeronokkan.



Masjid Bandar Penawar juga tersergam indah di atas bukit berhampiran, kira- kira 5 minit sahaja dari lokasi impianku ini. Mudah- mudahan langkahku dipermudahkan untuk beribadat di sana kelak.

Semoga Allah memperkenankan jalan ku ini. Amin...

Mei 31, 2011

Alya bertudung?






Anak ayah ni sudah mula berjinak- jinak dengan tudung. "Comelkan adik pakai tudung..." kata Alya.

Bila Alya bertemu Auni

Cuti sekolah sudah bermula. Rumah orang tua diserbu anak- anak yang dok jauh. Kami yang selalu balik ni pun balik gak untuk merasai kemeriahan seperti suasana hari raya. Paling dinanti- nantikan Alya ialah bertemu Auni, sepupu sebayanya.





Mei 26, 2011

Lawatan Penandaarasan ke Perpustakaan UiTM Selayang

Projek lawatan tahun 2011, kami sepakat mahu melihat Perpustakaan UiTM Fakulti Perubatan Selayang. Ramai kenalan pustakawan berkata, inilah perpustakaan yang paling cantik antara semua perpustakaan UiTM yang ada. Menurut Pn. Atika, beliau Pustakawan di sana ... ini adalah konsep "Perpustakaan Butik".

Tak tahu nak terangkan konsep Perpustakaan Butik, jadi biarlah gambar yang menerangkan maksud sebenar.



Dihadapan Perpustakaan UiTM Selayang

Deretan kerusi stool nampak menarik


Bagai dilobi hotel

Ruang bacaan




Mei 25, 2011

Dari papirus ke paperless

Antara tugasan aku minggu ini adalah menyiapkan artikel ilmiah dalam bidang kepustakawanan untuk dimuatkan dalam Buletin PTDI keluaran 2011. Aku berikan judulnya " Dari papirus ke paperless..."

Begini ceritanya ...

Apakah yang dikatakan sebuah buku?

Daripada fizikalnya buku dilihat sebagai lembaran-lembaran kertas yang disusun rapi, dilindungi helaian kertas tersebut dengan kertas yang lebih tebal didepan dan dibelakangnya, seterusnya dijilid agar menjadi tahan lasak. Dalam konteks sains perpustakaan, buku dikenali sebagai monograf tujuannya adalah untuk membezakannya dengan terbitan bersiri yang lain seperti majalah dan akhbar. Pada lazimnya, buku hanya merujuk kepada buku yang diterbit dan bukan sebarang helaian kertas yang diikat.

Sebelum kemunculan buku, manusia di zaman dahulu menggunakan batu, papan dan daun untuk menulis. Contoh paling mudah boleh dilihat sehingga kini adalah seperti lukisan kuno yang boleh dilihat di dinding gua. Medium tulisan awal ini adalah dalam bentuk proto bagi konteks sebuah buku.

Buku dikatakan muncul dalam sejarah umat manusia, apabila masyarakat Mesir telah mencipta kertas papirus pada tahun sekitar 2400 SM. Kertas papirus yang diturunkan tulisan ini digulung untuk menjadi skrol, dan diyakini ini adalah bentuk buku yang paling awal dalam sejarah buku.

Selain itu, buku juga muncul di tamadun yang lain dengan bentuk berbeza- beza. Contohnya, di Kemboja, Sami Budha di situ membaca buku yang dibuat daripada daun dan amalan ini masih dikekalkan sehingga hari ini. Manakala di negeri Cina, sebelum terciptanya kertas, para cendekiawan di situ menurunkan tulisan mereka di atas lidi buluh dan mengikat lidi ini menjadi buku. Amalan menulis di atas lidi telah mempengaruhi sistem tulisan Cina sehinggakan orang Cina mengamalkan tulisan menegak sehingga pada awal zaman era kemodenan negeri Cina.

Buku memasuki satu era yang baru apabila industri kertas menjadi mantap. Kertas dipercayai muncul di negeri Cina seawal-awalnya pada 200 SM, selepas itu teknologi ini dibawa oleh pedagang muslim ke Eropah sebelum abad ke-11. Dengan adanya kertas, penulisan menjadi lebih mudah kerana kertas mempunyai ciri-ciri mudah disimpan dan juga bertahan lama.

Kini, zaman telah berubah. Kemajuan dalam teknologi perkomputeran telah mengubah industri penerbitan buku dari konsep fizikal kepada maya sehinggalah terciptanya e-buku. Segala- galanya berada dihujung jari dan boleh diakses tanpa sepadan, tanpa mengira masa dan ruang selagi mempunyai hubungan dalam talian internet.

e-buku atau buku elektronik adalah sejenis medium penyampaian maklumat yang merujuk kepada penggunaan data elektronik sebagai buku yang mengandungi pelbagai maklumat. Lazimnya, e-buku ini didatangi dalam bentuk fail .pdf atau seumpamanya untuk kemudahan setiap individu untuk membacanya di komputer atau peranti khas seperti i-pad.

Namun demikian, e-buku boleh dikategorikan seperti buku teks. Ini kerana, e-bukumengandungi penulisan merangkumi pelbagai bidang seperti bidang pendidikan, teknologi, agama, politik, alam sekitar, kehidupan, masakan dan sebagainya. Trend penggunaan e-buku akan menjadi salah satu media pembelajaran pada masa kini dan masa akan datang kelak. Terdapat banyak organisasi atau individu yang menulis atau mengalihkan sumber cetakan mereka kepada e-buku untuk memudahkan pembaca dan pemasaran secara terus di internet.

 
E-buku mempunyai banyak kelebihannnya. Pembaca boleh mengakses di merata tempat tanpa perlu memikirkan untuk membawa buku yang berat. Disebabkan ia adalah data elektronik, saiz dan berat e-buku ini adalah jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan buku-buku cetakan. Bayangkan, sekiranya sebuah e-buku mempunyai saiz 7 MB, 100 buku hanya memerlukan pembaca membawa satu CD sahaja.

Teks dalam e-buku juga boleh dicari dengan mudah, atau dirujuk silang menggunakan hyperlink. Ini menjadikan e-book format yang menarik untuk kamus, buku rujukan dan sesetengah buku teks.

E-book merupakan salah satu penyelesaian kepada perpustakaan tradisi yang kerap kali dibatasi ruang yang terhad. Konsep perpustakaan ini dinamakan sebagai perpustakaan digital dan mempunyai kekuatan untuk menyimpan lebih banyak maklumat. Jika diperkirakan, kos mengekalkan perpustakaan digital adalah jauh lebih rendah berbanding perpustakaan tradisi. Perpustakaan tradisi perlu mengeluarkan kos yang tinggi bagi membayar gaji dan elaun staf, menyelenggara buku, sewa dan penyelengaraan bangunan, serta pembelian buku. Perpustakaan digital tidak memerlukan kesemua ini.

 Berikut merupakan antara kelebihan penggunaan e-book.

• Tiada sempadan fizikal. Pengguna e-book tidak perlu pergi ke perpustakaan, orang seluruh dunia boleh mencapai maklumat yang sama, selagi sambungan internet tersedia.

• Tersedia sepanjang masa. Kelebihan e-book adalah pembaca diseluruh dunia boleh mencapai maklumat sepanjang masa, selagi sambungan internet tersedia.

• Capaian yang banyak. Sumber yang sama boleh digunakan pada masa yang sama oleh sejumlah pengguna.

• Pendekatan berstruktur. E-book memberikan capaian kepada kandungan yang lebih kaya dalam bentuk yang lebih berstruktur, contohnya. kita boleh beralih daripada bab tertentu dan ke muka surat yang lain dengan hanya satu klik sahaja.

• Pengekalan dan penyimpanan. Salinan tepat dengan sumber asal boleh dihasilkan tanpa had tanpa mengurangkan mutu.




Mei 24, 2011

Jalan- jalan cari makan di Kg Baru, KL

Tahun ni, aku menang dalam undian menentukan tempat makan yang best di Kuala Lumpur. Tahun lepas ada aku cadangkan, tetapi majoriti menolak cadangan tersebut.

Menu istimewa di kedai ini adalah bubur nasi berlauk. Kedai ni diperkenalkan oleh Cik Normah dan Pn Azizah ketika pemilihan buku tahun 2009 yang lalu. Fuhhh...macam- macam ada. Kedai ini memang agak ramai pelanggannya sampaikan meja pun kena cop dulu baru dapat duduk.

Kebetulan hari itu adalah hari jadi Malek, jadi kami pakat ramai meraikan best day dia di situ. Alhamdulillah, kami satu team memang sepakat.  Bak kata Noin, " staf library memang sekongkol."


Sharir suka, jaga- jaga awak tengah berpantang...

Makanan penuh di meja

Aku makan bubur berlauk burung puyuh dan sayur

Birthday Malek, tinggal kek je lom habis di makan

Noin, sekongkol habiskan makanan.


Melawat ke rumah Huda

Huda, merupakan salah seorang bekas staf aku. Dia merupakan staf pertama aku di JB ni selain Paan dan Malek. Selepas dia berkahwin, dia berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut suaminya. Baru- baru ini, dia telah selamat melahirkan seorang anak lelaki. Dalam perjalanan ke KL tempoh hari, rakan- rakan sekerja mengajak singgah sekejap melawat Huda dan anaknya di rumah keluarga mereka di Taman Pulai Indah. Apapun, kami ucapkan Tahniah kepada Huda...


Anak Huda

Berbual sama Noin Palal

Rakan wanita, bakal ibu ...

Aku orang pertama menjamah nasi goreng

Mei 10, 2011

Musim panas

Sejak beberapa hari ini, cuaca agak panas. Beberapa hari ini tak de hujan yang turun menjadikan kawasan perumahan JP Perdana yang dikelilingi tanah gersang kian mengeluarkan debu. Kereta Alza yang aku parking di rumah baru sahaja aku gilap ahad lepas, diseliputi debu.

"Malam ini kita tidur sahaja di ruang tamu." Aku memujuk anak- anak. Adakalanya Danish berseloroh, tetapi menyindir "tulah Irfan, asyik paw ayah je, kan dah tak dapat beli aircond." Selalunya aku akan memujuk, " kita kena banyak bersyukur, rumah kita ada kipas." Sebenarnya, anak- anak selalu minta belikan air cond, tetapi tidak aku tunaikan.

Bukan apa, aku bimbang nanti jika anak- anak balik ke kampung, mereka juga akan meminta air cond sedangkan rumah atok hanya ada kipas sahaja. Biar mereka terbiasa hidup sederhana, bukan pura- pura.

Pagi tadi, ketika aku bersarapan bersama ayang tetiba guruh berbunyi. " Syukur alhamdulillah." bisik ayang antara dengar dengan tidak. Nampak gayanya hujan akan turun pagi ini di Johor Bahru membasahi bumi yang penuh rahmat.

Mei 06, 2011

Kelam kabut

" Bangun pagi, gosok gigi, mandi dan terus bersiap." Kita dah tak de masa lagi, nanti Danish terlewat ke sekolah. Biasanya Danish bingkas bangun dan buat sendiri persiapan ke sekolah.

Selalunya paling lewat jam 6.45 kami akan bertolak dari rumah. Jika lewat lagi, aku terpaksa menjadi mat rempit mencelok kiri kanan jika ada kesempatan. Banyak kali Irfan bising, " Lampu merah tu kenapa ayah jalan... ayah ni laju sangatlah, Irfan takut dah ni." Si Danish pulak selalu bercakap, " Danish dah lambat ke sekolah ni..."

Aku hanya bertawakal, dan falsafah biar lambat asal selamat aku dah ketepikan jauh- jauh. Dalam fikiran aku ni, 7.20 pagi mesti sampai di depan pagar sekolah dan 7.30 dah sampai ke pejabat. Falsafah baru ayang, " Biar cepat dan selamat."

Namun dalam hati kecil ni tetap berkata, " Ya Allah, selamatkanlah perjalanan kami ini."

Mei 04, 2011

Cucu cucu atok

Gambar ni aku terjumpa dalam facebook Zahed. Tak pernah aku lihat sebelum ini. Gelagat cucu- cucu atok Seman, Pak Mertua aku. Lokasi gambar, rumah mak long. hehehe...



Macam-
macam aksi anak ayah

Bercuti di Felda Residence, Tg Leman

Cuti 1 Mei kali ni, aku sekeluarga bercuti di Felda Residence Tanjung Leman. Sekarang tengah promosi hingga hujung tahun. Al-maklumlah, hotel baru ... dan disebabkan aku ni anak jati Felda, resort ni memberikan diskaun kepada kami dengan syarat ada nombor ahli KPF.

Secara peribadi, hotel ni boleh aku berikan 4 bintang. Pemandangannya dari lobi sungguh cantik, dari jauh kelihatan lautan yang berwarna biru kehijauan. Kolam renang besar dan selesa untuk dewasa dan kanak- kanak, bilik juga yang bersih dan nampak moden. Bayangkan, Alya pun pandai bercakap..." Selesa sungguh duduk kat sini."


Kat tepi pantai, on the way nak p mandi kolam

Wahh...mama santai tepi kolam

Alya, seronok mandi kolam hingga tak mahu naik

Antara berani dan takut...lama-lama tak mahu naik

Layan anak- anak ...

Seksi, mandi kat luar ...

Kat depan lobi hotel

Ni masa petang, nak makan malam kat tepi jeti Tg Leman

Sarapan di hotel