Ogos 08, 2011

Songkok baru

Semalam kami berbuka puasa di rumah Atok Seman. Dalam perjalanan Irfan bertanya,"Ayah, boleh kita pergi Kota Tinggi?" Kebetulan semalam hujan dari pagi hingga ke petang. Jadi terpaksalah aku menghampakan permintaan Irfan. 

"Malam nanti, kalau tak hujan kita singgah ke kota sekejap ye..." pujuk ku. Dia diam tak berkata apa- apa, merajuk barangkali. 

Lepas berbuka, aku bersiap- siap berkemas untuk balik ke Johor Bahru. Sekali lagi Irfan bertanya, " Ayah...boleh kita pergi ke kota? " 

Dalam hati aku tiada lain, mesti Irfan nak cari mainan. "Baiklah, kita ke Pasar Ramadhan ditepi sungai Johor." Beli satu sahaja yang Irfan nak, lebih tak boleh. Irfan angguk tanda setuju.

Ramai sungguh orang malam tu, rata- rata orang Melayu. Nampak gaya, ramai juga orang yang tak solat terawih. Dalam kami meronda- ronda, hanya satu kedai sahaja menjadi pilihan Irfan. Dia berhenti dan berkata ..."Irfan nak songkok baru, songkok raya." 

Malam tadi, Irfan tidur bertemankan songkok raya. Seronok barangkali ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan