Antara tugasan aku minggu ini adalah menyiapkan artikel ilmiah dalam bidang kepustakawanan untuk dimuatkan dalam Buletin PTDI keluaran 2011. Aku berikan judulnya " Dari papirus ke paperless..."
Begini ceritanya ...
Apakah yang dikatakan sebuah buku?
Daripada fizikalnya buku dilihat sebagai lembaran-lembaran kertas yang disusun rapi, dilindungi helaian kertas tersebut dengan kertas yang lebih tebal didepan dan dibelakangnya, seterusnya dijilid agar menjadi tahan lasak. Dalam konteks sains perpustakaan, buku dikenali sebagai monograf tujuannya adalah untuk membezakannya dengan terbitan bersiri yang lain seperti majalah dan akhbar. Pada lazimnya, buku hanya merujuk kepada buku yang diterbit dan bukan sebarang helaian kertas yang diikat.
Sebelum kemunculan buku, manusia di zaman dahulu menggunakan batu, papan dan daun untuk menulis. Contoh paling mudah boleh dilihat sehingga kini adalah seperti lukisan kuno yang boleh dilihat di dinding gua. Medium tulisan awal ini adalah dalam bentuk proto bagi konteks sebuah buku.
Buku dikatakan muncul dalam sejarah umat manusia, apabila masyarakat Mesir telah mencipta kertas papirus pada tahun sekitar 2400 SM. Kertas papirus yang diturunkan tulisan ini digulung untuk menjadi skrol, dan diyakini ini adalah bentuk buku yang paling awal dalam sejarah buku.
Selain itu, buku juga muncul di tamadun yang lain dengan bentuk berbeza- beza. Contohnya, di Kemboja, Sami Budha di situ membaca buku yang dibuat daripada daun dan amalan ini masih dikekalkan sehingga hari ini. Manakala di negeri Cina, sebelum terciptanya kertas, para cendekiawan di situ menurunkan tulisan mereka di atas lidi buluh dan mengikat lidi ini menjadi buku. Amalan menulis di atas lidi telah mempengaruhi sistem tulisan Cina sehinggakan orang Cina mengamalkan tulisan menegak sehingga pada awal zaman era kemodenan negeri Cina.
Buku memasuki satu era yang baru apabila industri kertas menjadi mantap. Kertas dipercayai muncul di negeri Cina seawal-awalnya pada 200 SM, selepas itu teknologi ini dibawa oleh pedagang muslim ke Eropah sebelum abad ke-11. Dengan adanya kertas, penulisan menjadi lebih mudah kerana kertas mempunyai ciri-ciri mudah disimpan dan juga bertahan lama.
Kini, zaman telah berubah. Kemajuan dalam teknologi perkomputeran telah mengubah industri penerbitan buku dari konsep fizikal kepada maya sehinggalah terciptanya e-buku. Segala- galanya berada dihujung jari dan boleh diakses tanpa sepadan, tanpa mengira masa dan ruang selagi mempunyai hubungan dalam talian internet.
e-buku atau buku elektronik adalah sejenis medium penyampaian maklumat yang merujuk kepada penggunaan data elektronik sebagai buku yang mengandungi pelbagai maklumat. Lazimnya, e-buku ini didatangi dalam bentuk fail .pdf atau seumpamanya untuk kemudahan setiap individu untuk membacanya di komputer atau peranti khas seperti i-pad.
Namun demikian, e-buku boleh dikategorikan seperti buku teks. Ini kerana, e-bukumengandungi penulisan merangkumi pelbagai bidang seperti bidang pendidikan, teknologi, agama, politik, alam sekitar, kehidupan, masakan dan sebagainya. Trend penggunaan e-buku akan menjadi salah satu media pembelajaran pada masa kini dan masa akan datang kelak. Terdapat banyak organisasi atau individu yang menulis atau mengalihkan sumber cetakan mereka kepada e-buku untuk memudahkan pembaca dan pemasaran secara terus di internet.
E-buku mempunyai banyak kelebihannnya. Pembaca boleh mengakses di merata tempat tanpa perlu memikirkan untuk membawa buku yang berat. Disebabkan ia adalah data elektronik, saiz dan berat e-buku ini adalah jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan buku-buku cetakan. Bayangkan, sekiranya sebuah e-buku mempunyai saiz 7 MB, 100 buku hanya memerlukan pembaca membawa satu CD sahaja.
Teks dalam e-buku juga boleh dicari dengan mudah, atau dirujuk silang menggunakan hyperlink. Ini menjadikan e-book format yang menarik untuk kamus, buku rujukan dan sesetengah buku teks.
E-book merupakan salah satu penyelesaian kepada perpustakaan tradisi yang kerap kali dibatasi ruang yang terhad. Konsep perpustakaan ini dinamakan sebagai perpustakaan digital dan mempunyai kekuatan untuk menyimpan lebih banyak maklumat. Jika diperkirakan, kos mengekalkan perpustakaan digital adalah jauh lebih rendah berbanding perpustakaan tradisi. Perpustakaan tradisi perlu mengeluarkan kos yang tinggi bagi membayar gaji dan elaun staf, menyelenggara buku, sewa dan penyelengaraan bangunan, serta pembelian buku. Perpustakaan digital tidak memerlukan kesemua ini.
Berikut merupakan antara kelebihan penggunaan e-book.
• Tiada sempadan fizikal. Pengguna e-book tidak perlu pergi ke perpustakaan, orang seluruh dunia boleh mencapai maklumat yang sama, selagi sambungan internet tersedia.
• Tersedia sepanjang masa. Kelebihan e-book adalah pembaca diseluruh dunia boleh mencapai maklumat sepanjang masa, selagi sambungan internet tersedia.
• Capaian yang banyak. Sumber yang sama boleh digunakan pada masa yang sama oleh sejumlah pengguna.
• Pendekatan berstruktur. E-book memberikan capaian kepada kandungan yang lebih kaya dalam bentuk yang lebih berstruktur, contohnya. kita boleh beralih daripada bab tertentu dan ke muka surat yang lain dengan hanya satu klik sahaja.
• Pengekalan dan penyimpanan. Salinan tepat dengan sumber asal boleh dihasilkan tanpa had tanpa mengurangkan mutu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan