Disember 30, 2010

Nasi goreng udang

Semalam balik dari office kami singgah di Pasar Smart Pandan, teringin lak nak makan nasi goreng udang. Selain tomyam, kari ayam, nasi goreng udang memang salah satu makanan kegemaran aku. "Abang beli udang ni, masakkan abang nasi goreng udang." Ayang diam je, mungkin dia faham.

Pagi tadi, agak awal ayang bangun. Dari atas aku terdengar kelentang kelentung bunyi lesung batu. Sah la tu, mesti masak nasi goreng udang. Beruntung la aku, dah lama benar tak makan nasi goreng udang.



 
Biasanya, hari- hari aku makan di kedai je hingga jemu dengan menu yang ada. Port biasa, kedai Mansur depan UiTM pekena roti bom @ roti telor, jauh sikit ke kedai Assalammualaikum...gitulah hari- hari.

Terima kasih ayang, sesungguhnya besar ganjaran Allah beri kepada isteri yang menyediakan makanan untuk suami dan anak- anak ni.

Disember 29, 2010

Hijrah : percaya dan berjaya

Istimewa sungguh hari ini, dapat bertemu dan mendengar ceramah dari Prof. Kamil bertajuk Hijrah: Percaya dan Berjaya. Maklumlah, bukan senang nak jumpa dan mendengar secara langsung begini.

Di awal ceramah beliau bertanya siapa yang boleh membaca surah "Alamnasrah ..." tergamam juga aku, sebab surah tu dulu aku hafal tetapi sekarang sebab tidak diamalkan, aku menjadi lupa dan akhirnya aku membisu tanpa bicara. Nasib baik Kak Hajar menjadi penyelamat dan membacakan surah tersebut.

Menurut Prof, anggaran hidup kita ini hanyalah 74 tahun sahaja. Mungkin ajal datang lebih cepat dan mungkin juga lewat. Wallahualam... Namun, sejauh mana kita bersedia untuk menempuh kehidupan diakhirat kelak? Selama ini manusia hanya bergembira dengan kehidupan di dunia yang hanya sementara tanpa membuat persediaan untuk kehidupan diakhirat yang kekal selamanya.

Diakhir pertemuan, dapat juga aku bersalaman dengan beliau. "Terima kasih Prof."

Disember 28, 2010

Rendang arnab vs sup ayam hutan

Sabtu lepas, kami adik beradik berkumpul di rumah abah. Kali ni hampir semua ada kecuali Dayah je yang tak balik, tak dapat cuti.

Istimewa sungguh cuti kali ni sebab dapat makan makanan yang enak dan lazat. Ayang masak arnab rendang, adah pulak masak sup ayam hutan. Pehhh..memang lazat. Daging arnab sedap kerana dagingnya agak manis dan lembut, ayam hutan pulak agak keras dan liat tetapi sedap.

Arnab ni mak dan abah bela sendiri kat kampung. Buat hiburan cucu- cucunya bila balik kampung terutamanya anak- anak aku yang membesar dibandar ni. Danish dan Alya tidak makan daging arnab, mungkin dia terbayang arnab yang comel tu agaknya.

Ayam hutan ni lagi special, asli tiada sebarang ubatan yang diberi kepada ayam ni.

Disember 22, 2010

Bicara hati

Hari ini, Ustaz Azri menziarah sambil memberi tazkirah ringkas mengenai hati. Menurut ustaz, manusia mempunyai seketul daging dalam badan yang unik iaitu hati dan hati inilah yang akan menentukan sama ada manusia itu baik atau buruk. Jika baik hatinya, maka baiklah keseluruhan badannya dan jika buruk hatinya maka buruklah juga badannya.

Setiap dosa-dosa yang dilakukan akan dititik dengan setitik warna hitam dihatinya. Jika dosa berterusan dilakukan maka dari setitik hitam akan merubah menjadi setompok hitam hinggalah akhirnya menyebabkan hati berkarat.

Bagaimana untuk mengubati hati yang berkarat? "Beristigfarlah dan bertaubatlah..." ujar ustaz. Nampak mudah tetapi adakah semudah yang kita lafazkan untuk mengilap semula hati agar menjadi bersih, putih?

Ustaz juga berpesan agar sentiasa mengecas hati seperti juga handphone yang perlu dicas setiap masa. Bagaimana nak mengecas hati tu ustaz? "Berzikirlah kepada Allah", ujar ustaz.

Disember 21, 2010

Belanja sekolah anak- anak

Tahun depan, Danish akan memasuki Darjah 1 manakala Irfan akan melangkah ke alam Pra Sekolah. Minggu lepas, ketika kami adik beradik berkumpul di rumah akak, mak ada bertanya ..." Dah siap persiapan sekolah anak ko Deris? " Belum mak. " Jawab ku selamba. Saja dia mengingatkan aku agaknya.

Jadi lepas makan tengah hari tu, kami bergegas ke bandar Kota Tinggi. Shoping baju sekolah, kasut, beg untuk Danish dan Irfan. Semua seorang 2 pasang. Janji semua puas hati.

" Semua sekali RM 350.00 je." Kata cashier. Siap beli beg sekolah dan aksesori lainnya, hampir 500 hinggit habis petang tu saja.
 
Ayang tersenyum sinis melihat aku, mungkin dia faham apa dalam hati aku agaknya. Tiba- tiba teringat kata- kata mak tadi. " Dulu mak 8 orang anak sekolah serentak. Ko bayangkan betapa susahnya mak nak sekolahkan ko dulu hingga menjadi orang."

Sedih mengenangkan kesusahan mak dan abah dulu. Pernah 2 tahun aku tak membayar yuran sekolah. Sekali ketika darjah 5 dan sekali ketika aku di tingkatan 2. Ketika itu aku tidak faham erti kesusahan. Aku hanya pandai meminta tanpa berusaha. Namun, kini aku faham. Terima kasih mak dan abah yang telah menyekolahkan aku sehingga ke menara gading.

Lihatlah wahai anak- anak ayah yang tersayang..sungguh besar nikmat yang Allah berikan kepada kita, hatta kita banyak kelemahannya. Banyak yang tak sempurna. Bersyukurlah wahai anak-anakku.. Rezeki dan nikmat kita melimpah ruah.

Siapa staf baru?

Sejak UiTM membuka jawatan kosong Pembantu Perpustakaan, kerusi Pustakawan yang tidak glamour dan tidak dipandang ini mula menjadi panas dikejar orang sana sini. Apa tidaknya, ramai yang meminta tolong agar sedara mara mereka dipilih untuk menyandang jawatan tersebut.

Jawatan hanya satu, tetapi yang memohon terlalu banyak. Ramai pula yang menggunakan kabel dari sekecil- kecil kabel sehinggalah sebesar kabel. Pening juga mahu memilihnya. Aku tetap berpegang kepada prinsip, telus dalam pemilihan. Tiada istilah kabel dalam kamus hidup aku kerna aku percaya rezeki itu Allah yang tentukan. Rezeki bukan aku yang tentukan, sebaliknya aku hanya menjalankan amanah yang diberikan.

Percayalah, calon yang terpilih adalah antara yang terbaik dan setiap rezeki mereka telah dijanjikan Allah.

Disember 16, 2010

PTK 1

Sejak kebelakangan ini, apabila aku buka sahaja i-staf portal UiTM perkara pertama yang aku lihat adalah keputusan PTK. Hampir sebulan aku menanti dan akhirnya hari ini penantian aku berakhir.


Syukur alhamdulillah, aku lulus walaupun tak dapat cemerlang. Mudah- mudahan ada peluang untuk naik S44 di masa akan datang. Insya Allah..

Disember 14, 2010

Indahnya Perkahwinan

Dalam diam, 12 Disember 2010 tiba lagi dan ini bermakna sudah 8 tahun aku berkahwin dengan ayang. Ayang ni sebenarnya kekasih hati aku yang paling setia dan kami bercinta sejak tahun 1996 lagi iaitu sewaktu aku bersekolah di tingkatan 6 Rendah di Sekolah Tun Habab, Kota Tinggi. Dari sekolah hingga ke universiti kami bercinta dan akhirnya pada 12 Disember 2002 kami sepakat untuk berkahwin.

Pagi itu, habis satu rumah aku berkemas mencari album kahwin yang dah agak lama tak kelihatan. Maklumlah, semenjak pindah rumah baru ni tak semua barang dalam kotak yang kami kemaskan. Hampir sejam aku mengemas stor dan akhirnya aku temui juga album tersebut di dalam sebuah kotak. Agak uzur albumnya, maklumlah dah lapan tahun. Insya Allah akan aku gantikan dengan album yang baru kelak.
 
Ku belek satu persatu sambil ku tunjukkan kepada anak- anak kisah 12 Disember 2002. Pada mulanya mereka hairan, kenapa tiada gambar Alya, Irfan dan Danish dalam gambar tersebut.
 
Selamba je Irfan berkata, " Masa ni, Irfan, danish dan alya ada dalam perut mama."
 
 
 
 

Disember 10, 2010

Jom ke Mersing

Cuti minggu yang lepas, aku bercuti agak panjang mengambil kesempatan dari cuti Awal Muharam yang jatuh pada hari Selasa.

Pada asalnya, kami merancang untuk ke Summerset di Rompin tetapi memandangkan lokasi yang agak jauh kami batalkan sahaja niat ke sana. Memandangkan hari pun dah agak lewat, akhirnya aku membuat keputusan untuk menginap sahaja di Hotel Seri Malaysia Mersing. Agak ramai pengunjung berkeluarga yang bercuti disitu selain kami anak beranak. Hotel bajet la katakan ...


Petang itu, aku membawa anak- anak ke taman permainan di tepi pantai. Seronok melayan anak bermain buaian dan permainan. Lewat petang, aku membawa anak ke tempat memproses keropok dan membeli sedikit sata untuk 'mentong' petang di tepi laut.

Keesokkannya, aku berikan satu pengalaman baru kepada Alya dan abang-abangnya. Kalau dulu, memang aku tak bagi mereka mandi kolam. Sekarang, inilah kesempatan mereka untuk berendam. Alya yang memang suka main air, kelihatan sangat suka. "Ayah, besttt sangat mandi kolam ni." Terkedu aku mendengar Alya berkata begitu. Hampir sejam berendam dan semua pun dah mengigil kesejukan. "Baik naik, nanti semput pulak Alya." Bisik hatiku.

Sebelum meninggalkan hotel, Irfan berkata... "Cuti nanti kita pergi Mersing lagi ye Ayah." Insya Allah, tetapi bukan di Hotel Seri Malaysia tetapi di hotel lain yang juga mempunyai kolam seperti ini. Mudah- mudahan ada rezeki lebih di lain hari.

Itu tekadku. Biar anak gembira sekali sekala bercuti makan angin.

Awal Muharram

Awal Muharram atau juga dikenali sebagai Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam.

Ini adalah kerana ia memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Ia berlaku pada 1 Muharam dimana ia merupakan hari pertama Takwim Hijrah.

2 Muharram juga merupakan ulangtahun kelahiran Danish mengikut kalendar islam.



Disember 01, 2010

Sport Masage

Hari ini, aku rasa sungguh bertuah. Satu ilmu baru tentang teknik urutan yang mudah dan tidak menyakitkan melalui Sports Massage. Teknik urutan ini digunakan atlet sebelum dan selepas pertandingan dijalankan.



Urutannya nampak mudah, kerana ada 4 langkah sahaja yang perlu dilakukan secara berulang- ulang. Tujuannya, adalah untuk meredekan stress dan menghilangkan ketegangan pada otot- otot yang penat bekerja.