Ogos 24, 2011

Senyum

"Tak perlu kata apa- apa...senyum." 

Bait lagu ni jika difikirkan cukup bermakna dan memberi kesan mendalam bagi merawat hati dan perasaan. Maklumlah hati yang gundah gulana, ditambah lagi dengan kepenatan setelah seharian bekerja akan terubat jika melihat senyuman. 

Dahulu, aku juga terpikat dengan ayang kerana senyumannya yang manis, menampakkan baris giginya yang rapi. hehehe...seawal umur 18 tahun aku sudah mula bercinta dengannya. Ketika itu, aku bersekolah di Tingkatan 6 Bawah di Sekolah Tun Habab. Aduhai... manisnya saat itu. Hari- hari hati ini bagaikan digeletek.

Aku pula jenis sebaliknya. Aku jarang tersenyum, dan berat mulut. Begitulah jodoh. Jika pasangan suka tersenyum, pasangannya pula sebaliknya. 

Senyumlah...tak perlu kata apa-apa. 

Ogos 23, 2011

Terima kasih

Bulan ramadhan ni, ayang bangun seawal jam 4.00 pagi. Paling lewat pun jam 4.05 pagi. Aku antara sedar dan tidak, memeluk bantal dan meneruskan lelap. Ayang akan terus bangun untuk menunaikan tanggungjawabnya bagi menyiapkan juadah bersahur. Biasanya, aku akan 'order" dahulu apa yang nak dimakan. Biasalah, orang lelaki.  

Pernah suatu hari, permintaan aku cukup mudah. "Masakkan abang sardin dengan telor dadar je." Nampak enteng tetapi sebaliknya!

Pagi itu, terdengar ayang mengetuk tin didapur, barangkali dia cuba membuka tin sardin agaknya. Hampir 15 minit dia mencuba untuk memuka tin sardin sahaja. 

Rupanya, ayang memang langsung tak pandai membuka tin sardin. Dah 9 tahun berkahwin , baru kali ini rahsia terbongkar. Tetiba perasaan kasihan menerpa, aku bingkas bangun dan membantu. " Nahhh...siap."  

Ayang diam dan terus memasak menu permintaan aku...tak pernah dia merungut. Walaupun ayang "cuti", dia akan terus memasak. 

Begitulah... Adat memberi mengharap dibalas, namun sebaik-baik pemberi ialah orang yang tidak harap dibalas atau diucap terima kasih. 

Insya Allah, Allah akan beri ganjaran pahala kepada ayang kerana tak jemu-jemu menyediakan juadah bersahur untuk aku. "Terima kasih, ayang..."  

Ogos 15, 2011

2011 + 1 lagi

2011...bertambah lagi satu angka menjadikan umur aku 33 tahun. Mak melahirkan aku di Kg Telok Rimba, Muar, Johor pada 10 Ramadhan jam 10.00 pagi. Nenek Bik yang menyambut kelahiran aku dirumah Atok.

Mak kata, dulu aku ni seperti tak sabar- sabar nak keluar. Belum cukup bulan dah mengeras dan rasa seperti nak bersalin. Bila dah keluar, pusat pulak tak tanggal- tanggal hampir sebulan. Susah nak jaga...tapi proses membesar begitu pantas. Apa tidaknya, baru 10 bulan aku dah boleh berjalan. Umur setahun dah merayap mengikut mak ke kebun kelapa sawit abah. 

Pagi tadi...bila buka FB, email dan sms...ramai yang mengucapkan selamat. Terima kasih semua kerana mendoakan aku. Dalam umur awal 30-an begini, ramai yang beranggapan sudah  tua, tetapi ramai juga yang mengungkapkan.."life just begin..." hehehe...


Big Boss wish melalui email...terharu sungguh!

Ogos 12, 2011

Berbuka @ Sayam

" Bulan puasa ni kita nak buka bersama di mana?" saja aku membuka cerita kepada rakan setugas.

Dari situ bermulalah perancangan untuk berbuka bersama rakan setugas. Tanggungjawab ini aku sandarkan kepada Iza dan Fatihah untuk menguruskannya. "Cari tempat yang sesuai, selesa, sedap dan berdekatan dengan surau atau masjid. Bajet, Insya Allah ada." Itu pesanku kepada mereka berdua. Pelbagai cadangan tempat disyorkan mereka dan akhirnya suara ramai bersetuju untuk berbuka puasa di Sayam, Stulang Laut.


Menu berbuka puasa memang mengoda. Ikan siakap masak stim, tomyam, sotong goreng tepung, butter prawn, kailan ikan masin, sayur cendawan, telor bistik dan kerang bakar. Bab menu, aku memang tak kisah, asalkan boleh makan dan sedap.

Kami berbuka agak lewat sedikit hari itu, mungkin lewat 5 minit. Di restoran itu, semua orang memerhatikan sesama sendiri. "Eh..dah buka ke?" Aku dengan selamba, memulakan berbuka puasa. "Dah buka ni...aku menyakinkan semua." hehehe...

Jam sudah menunjukkan 7.50 malam. Perut pun dah kenyang, laparpun hilang. "Jom kita ke surau depan tu..." Malangnya, masih ramai manusia yang belum berganjak dari meja makan masing- masing. Melayani hawa perut yang lapar. 


Ogos 09, 2011

Tersenyum

Malam tadi tak sempat nak mendengar buletin utama. Rancangan rutin setiap malam. Selesai sahaja solat maghrib, anak- anak bersungguh- sunguh mengajak bermain bunga api dan mercun "pop-pop" yang Danish beli di bazar Ramadhan petang semalam.

"Cepatlah ayah, adik dah tak sabar ni nak main bunga api." rengek Alya. Sayangkan anak aku turutkan sahaja.

Jam 9.30 malam, abah telefon. Dalam hati berdebar- debar, ingatkan ada kecemasan ke atau berita Adah dah bersalin. "Ko ada dengar berita tadi?" tanya abah. "Tak sempat, melayan budak- budak ini." jawab aku selamba. Orang gomen dapat bonus nak raya ni, setengah bulan gaji. hehehe...

Syukur alhamdulillah...tapi dalam hati masih tak percaya. Maklumlah, dah beberapa tahun ni, tak de bonus langsung. Sebenarnya, sejak beberapa bulan lepas aku telah bersedia dan redha sekiranya tahun ini tiada bonus. Jadi, kami membeli serba sedikit persiapan raya untuk anak- anak lebih awal. Baju, seluar hingga ke kasut...semua dah siap sebelum puasa lagi. Ada bajet lebih ni, bolehlah kami raya dengan berlapang dada sedikit. Namun, pasti kami tidak lupa. Rezeki ini pastinya harus dibahagikan seadil-adilnya.

Semalam sampai office, semua staf senyum meleret. Suka, gembira...barangkali seperti aku juga. Terima kasih gomen kerana membuat hampir 1.27 juta penjawat awam tersenyum sokmo.




Ogos 08, 2011

Songkok baru

Semalam kami berbuka puasa di rumah Atok Seman. Dalam perjalanan Irfan bertanya,"Ayah, boleh kita pergi Kota Tinggi?" Kebetulan semalam hujan dari pagi hingga ke petang. Jadi terpaksalah aku menghampakan permintaan Irfan. 

"Malam nanti, kalau tak hujan kita singgah ke kota sekejap ye..." pujuk ku. Dia diam tak berkata apa- apa, merajuk barangkali. 

Lepas berbuka, aku bersiap- siap berkemas untuk balik ke Johor Bahru. Sekali lagi Irfan bertanya, " Ayah...boleh kita pergi ke kota? " 

Dalam hati aku tiada lain, mesti Irfan nak cari mainan. "Baiklah, kita ke Pasar Ramadhan ditepi sungai Johor." Beli satu sahaja yang Irfan nak, lebih tak boleh. Irfan angguk tanda setuju.

Ramai sungguh orang malam tu, rata- rata orang Melayu. Nampak gaya, ramai juga orang yang tak solat terawih. Dalam kami meronda- ronda, hanya satu kedai sahaja menjadi pilihan Irfan. Dia berhenti dan berkata ..."Irfan nak songkok baru, songkok raya." 

Malam tadi, Irfan tidur bertemankan songkok raya. Seronok barangkali ...

Ramadhan 1432H

Ramadhan datang lagi. Selamat menyambut bulan Ramadhan 1432H, bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Anak- anak sibuk bertanya tentang puasa dan sememangnya mereka belum memahaminya. Apa yang mereka tahu selepas puasa, mereka akan beraya. 

Hari pertama berpuasa, kami berbuka di rumah emak. Awal- awal lagi telah aku sms kepada adik beradik agar balik sama, bagi yang berkesempatan. Teringin makan sama- sama adik beradik seperti dahulu. Maklumlah adik beradik ramai...memang riuh dan meriah.

Awal ramadhan kali ini, kesihatan ku di uji. Rasa seperti nak demam. Kemudian sakit perut, mual, pening dan rasa seperti nak muntah. Hampir tewas tambahan pula Doktor Wan memberikan aku 1 hari MC untuk berehat. Namun, dengan semangat yang ada aku gagahkan juga dan syukur aku mampu meneruskan juga untuk berpuasa. Seharian aku bertemankan sebotol minyak Yuyi Cap Limau. hehehe...ngalahkan orang mengandung.



Doktor Wan kata aku mungkin keracunan makanan. Nasihatnya, teruskan puasa. Insya Allah puasa juga salah satu rawatan untuk orang yang sakit perut. Natijahnya, jangan main beli sahaja apa yang dijual di bazar Ramadhan. Lihat dan teliti dahulu makanan yang dijual...sebab apa yang dijual belum tentu tahap kebersihannya.

Hari ini, hari ke lapan berpuasa dan azamku...aku akan terus berpuasa. " Ya Allah berikanlah aku kesihatan yang baik dan berikanlah aku kekuatan untuk terus berpuasa, beribadat kepadamu Ya Allah."