Januari 10, 2011

Tolong ingatkan aku

Malam tadi aku gagahkan juga mata menonton Juara lagu ke 25 walaupun mata agak layu setelah kepenatan melayan anak- anak sepanjang hari. Maklumlah cuti hujung minggu...dan sebenarnya setiap tahun aku memang tak pernah ketinggalan menonton juara lagu. Nak menonton rancangan Muzik- Muzik setiap minggu tak berkesempatan, jadi tengok sahajalah kemuncaknya sudah cukup.

Mengikut jangkaan, mungkin Faizal Tahir tetapi jangkaan ternyata meleset sama sekali. Siapa sangka penyanyi Ana Raffali yang menang. Ni, aku kongsikan senikata Juara Lagu ke 25. Memang best ...


Jangan disusun kata-kata penamat
jangan disebut baris ayat keramat
biar lenyap diserap sunyi
biar senyap yang tak menyepi
tolong ingatkan aku
kisah kau tersedar
dengan saku penyeluk masa


Mari patahkan papan markah lama
mari padamkan buku tiga lima
biar luka sembuh sendiri
biar lupa dimakan hari


tolong ingatkan aku
kisah kau tersedar
dengan saku penyeluk masa
kau dampingi aku
setiap detik jantungku berdetak
setiap nota jiwaku berlagu-lagu


bila marah merasuk minda
kecewa menyelubungi jiwa
aku lupa


tolong ingatkan aku
kisah ku tersedar
dengan kasih memeluk rasa
ku teringatkanmu
setiap detik jantungku berdetak
setiap nota jiwaku berlagu-lagu


tolong ingatkan aku kisah kita
tolong ingatkan aku
kisah ku tersedar
dengan kasih memeluk rasa


tolong ingatkan aku
kisah kita

Januari 07, 2011

Bila selesema menganggu

Selesema biasanya juga dikenali sebagai flu. Biasanya selesema akan diikuti oleh sakit tekak, demam, sakit kepala, rasa tak sedap badan, hidung berhingus dan boleh juga menyebbkan batuk.

Dalam kes yang lebih teruk, influenza juga boleh menyebabkan pneumonia, yang boleh menyebabkan maut terutamanya terhadap kanak-kanak dan orang tua. Walaupun kadang-kadang ia dikelirukan dengan selsema biasa, influenza adalah lebih terus dan disebabkan oleh virus yang berbeza.(Sumber Wikipedia)


Virus Selesema

Namun, semua jenis penyakit adalah penghapus kepada dosa- dosa lalu yang telah kita lakukan. Mungkin juga berupa balasan kepada hambanya? Wallahualam... Sebagai manusia, ujian ini harus diterima dengan redha dan kita mesti berusaha untuk mengubati penyakit tersebut.

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu kelelahan, atau penyakit, atau kehawatiran, atau kesedihan, atau gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya karenanya.” (HR. Al-Bukhari no. 5642 dan Muslim no. 2573)

“Sepertinya anda sedang merasakan rasa sakit yang amat berat, oleh karena itukah anda mendapatkan pahala dua kali lipat.” Beliau menjawab, “Benar, tidaklah seorang muslim yang terkena gangguan melainkan Allah akan menggugurkan kesalahan-kesalahannya sebagaimana gugurnya daun-daun di pepohonan.” (HR. Al-Bukhari no. 5647 dan Muslim no. 2571)

Januari 04, 2011

Dunia baru

3 Januari 2011, bermulanya episod baru dalam hidup Danish dan Irfan. Bangun seawal jam 6.00 pagi, gosok gigi, mandi air suam-suam panas, pakai baju dan terus sarapan. Selewat- lewat jam 6.40 pagi kami harus bergerak ke sekolah sebab 7.20 pagi kami perlu berada di sekolah.

Kami sampai sekolah seperti dijadualkan. Danish memulakan sekolah tahun 1 manakala Irfan sekolah Tadika. Selesai membayar yuran, aku skodeng Danish di kelas. Ishhh...boleh tahan, aktif dan tak menangis. Syukur alhamdulillah...Danish kini belajar menjadi lelaki sejati. Aku mengajarnya lelaki sejati mesti kuat, tahan lasak dan tidak sekali- kali menangis.

Irfan pula agak cerdik dan lebih berani berbanding Danish. Dia memang tak sabar- sabar menjadi besar dan bersekolah. Jadi, sesi persekolahan hari tu lancar tanpa tangisan anak manja. Heehehe...lega.

Alya, kasihan dan sayu melihat air mukanya. Dalam kerelaan membiarkan abang bersekolah, aku faham ada sekelumit kesedihan di hatinya. Makumlah, hampir sebulan lebih berteman dan berkawan dengan abang- abangnya. Kini, tinggal dia seorang sahaja di rumah Mak Long.

Balik ke rumah petang semalam, Alya membisu tanpa berkata apa. Mungkin dia cuba memahami situasi atau merajuk melayan perasaannya ditinggalkan abang-abangnya yang kesekolah.

Disember 30, 2010

Nasi goreng udang

Semalam balik dari office kami singgah di Pasar Smart Pandan, teringin lak nak makan nasi goreng udang. Selain tomyam, kari ayam, nasi goreng udang memang salah satu makanan kegemaran aku. "Abang beli udang ni, masakkan abang nasi goreng udang." Ayang diam je, mungkin dia faham.

Pagi tadi, agak awal ayang bangun. Dari atas aku terdengar kelentang kelentung bunyi lesung batu. Sah la tu, mesti masak nasi goreng udang. Beruntung la aku, dah lama benar tak makan nasi goreng udang.



 
Biasanya, hari- hari aku makan di kedai je hingga jemu dengan menu yang ada. Port biasa, kedai Mansur depan UiTM pekena roti bom @ roti telor, jauh sikit ke kedai Assalammualaikum...gitulah hari- hari.

Terima kasih ayang, sesungguhnya besar ganjaran Allah beri kepada isteri yang menyediakan makanan untuk suami dan anak- anak ni.

Disember 29, 2010

Hijrah : percaya dan berjaya

Istimewa sungguh hari ini, dapat bertemu dan mendengar ceramah dari Prof. Kamil bertajuk Hijrah: Percaya dan Berjaya. Maklumlah, bukan senang nak jumpa dan mendengar secara langsung begini.

Di awal ceramah beliau bertanya siapa yang boleh membaca surah "Alamnasrah ..." tergamam juga aku, sebab surah tu dulu aku hafal tetapi sekarang sebab tidak diamalkan, aku menjadi lupa dan akhirnya aku membisu tanpa bicara. Nasib baik Kak Hajar menjadi penyelamat dan membacakan surah tersebut.

Menurut Prof, anggaran hidup kita ini hanyalah 74 tahun sahaja. Mungkin ajal datang lebih cepat dan mungkin juga lewat. Wallahualam... Namun, sejauh mana kita bersedia untuk menempuh kehidupan diakhirat kelak? Selama ini manusia hanya bergembira dengan kehidupan di dunia yang hanya sementara tanpa membuat persediaan untuk kehidupan diakhirat yang kekal selamanya.

Diakhir pertemuan, dapat juga aku bersalaman dengan beliau. "Terima kasih Prof."

Disember 28, 2010

Rendang arnab vs sup ayam hutan

Sabtu lepas, kami adik beradik berkumpul di rumah abah. Kali ni hampir semua ada kecuali Dayah je yang tak balik, tak dapat cuti.

Istimewa sungguh cuti kali ni sebab dapat makan makanan yang enak dan lazat. Ayang masak arnab rendang, adah pulak masak sup ayam hutan. Pehhh..memang lazat. Daging arnab sedap kerana dagingnya agak manis dan lembut, ayam hutan pulak agak keras dan liat tetapi sedap.

Arnab ni mak dan abah bela sendiri kat kampung. Buat hiburan cucu- cucunya bila balik kampung terutamanya anak- anak aku yang membesar dibandar ni. Danish dan Alya tidak makan daging arnab, mungkin dia terbayang arnab yang comel tu agaknya.

Ayam hutan ni lagi special, asli tiada sebarang ubatan yang diberi kepada ayam ni.

Disember 22, 2010

Bicara hati

Hari ini, Ustaz Azri menziarah sambil memberi tazkirah ringkas mengenai hati. Menurut ustaz, manusia mempunyai seketul daging dalam badan yang unik iaitu hati dan hati inilah yang akan menentukan sama ada manusia itu baik atau buruk. Jika baik hatinya, maka baiklah keseluruhan badannya dan jika buruk hatinya maka buruklah juga badannya.

Setiap dosa-dosa yang dilakukan akan dititik dengan setitik warna hitam dihatinya. Jika dosa berterusan dilakukan maka dari setitik hitam akan merubah menjadi setompok hitam hinggalah akhirnya menyebabkan hati berkarat.

Bagaimana untuk mengubati hati yang berkarat? "Beristigfarlah dan bertaubatlah..." ujar ustaz. Nampak mudah tetapi adakah semudah yang kita lafazkan untuk mengilap semula hati agar menjadi bersih, putih?

Ustaz juga berpesan agar sentiasa mengecas hati seperti juga handphone yang perlu dicas setiap masa. Bagaimana nak mengecas hati tu ustaz? "Berzikirlah kepada Allah", ujar ustaz.