Disember 14, 2010

Indahnya Perkahwinan

Dalam diam, 12 Disember 2010 tiba lagi dan ini bermakna sudah 8 tahun aku berkahwin dengan ayang. Ayang ni sebenarnya kekasih hati aku yang paling setia dan kami bercinta sejak tahun 1996 lagi iaitu sewaktu aku bersekolah di tingkatan 6 Rendah di Sekolah Tun Habab, Kota Tinggi. Dari sekolah hingga ke universiti kami bercinta dan akhirnya pada 12 Disember 2002 kami sepakat untuk berkahwin.

Pagi itu, habis satu rumah aku berkemas mencari album kahwin yang dah agak lama tak kelihatan. Maklumlah, semenjak pindah rumah baru ni tak semua barang dalam kotak yang kami kemaskan. Hampir sejam aku mengemas stor dan akhirnya aku temui juga album tersebut di dalam sebuah kotak. Agak uzur albumnya, maklumlah dah lapan tahun. Insya Allah akan aku gantikan dengan album yang baru kelak.
 
Ku belek satu persatu sambil ku tunjukkan kepada anak- anak kisah 12 Disember 2002. Pada mulanya mereka hairan, kenapa tiada gambar Alya, Irfan dan Danish dalam gambar tersebut.
 
Selamba je Irfan berkata, " Masa ni, Irfan, danish dan alya ada dalam perut mama."
 
 
 
 

Disember 10, 2010

Jom ke Mersing

Cuti minggu yang lepas, aku bercuti agak panjang mengambil kesempatan dari cuti Awal Muharam yang jatuh pada hari Selasa.

Pada asalnya, kami merancang untuk ke Summerset di Rompin tetapi memandangkan lokasi yang agak jauh kami batalkan sahaja niat ke sana. Memandangkan hari pun dah agak lewat, akhirnya aku membuat keputusan untuk menginap sahaja di Hotel Seri Malaysia Mersing. Agak ramai pengunjung berkeluarga yang bercuti disitu selain kami anak beranak. Hotel bajet la katakan ...


Petang itu, aku membawa anak- anak ke taman permainan di tepi pantai. Seronok melayan anak bermain buaian dan permainan. Lewat petang, aku membawa anak ke tempat memproses keropok dan membeli sedikit sata untuk 'mentong' petang di tepi laut.

Keesokkannya, aku berikan satu pengalaman baru kepada Alya dan abang-abangnya. Kalau dulu, memang aku tak bagi mereka mandi kolam. Sekarang, inilah kesempatan mereka untuk berendam. Alya yang memang suka main air, kelihatan sangat suka. "Ayah, besttt sangat mandi kolam ni." Terkedu aku mendengar Alya berkata begitu. Hampir sejam berendam dan semua pun dah mengigil kesejukan. "Baik naik, nanti semput pulak Alya." Bisik hatiku.

Sebelum meninggalkan hotel, Irfan berkata... "Cuti nanti kita pergi Mersing lagi ye Ayah." Insya Allah, tetapi bukan di Hotel Seri Malaysia tetapi di hotel lain yang juga mempunyai kolam seperti ini. Mudah- mudahan ada rezeki lebih di lain hari.

Itu tekadku. Biar anak gembira sekali sekala bercuti makan angin.

Awal Muharram

Awal Muharram atau juga dikenali sebagai Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam.

Ini adalah kerana ia memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Ia berlaku pada 1 Muharam dimana ia merupakan hari pertama Takwim Hijrah.

2 Muharram juga merupakan ulangtahun kelahiran Danish mengikut kalendar islam.



Disember 01, 2010

Sport Masage

Hari ini, aku rasa sungguh bertuah. Satu ilmu baru tentang teknik urutan yang mudah dan tidak menyakitkan melalui Sports Massage. Teknik urutan ini digunakan atlet sebelum dan selepas pertandingan dijalankan.



Urutannya nampak mudah, kerana ada 4 langkah sahaja yang perlu dilakukan secara berulang- ulang. Tujuannya, adalah untuk meredekan stress dan menghilangkan ketegangan pada otot- otot yang penat bekerja.

November 18, 2010

Aidil Adha

Hari Raya Haji atau Hari Raya AidilAdha merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Tahun ini kami sekeluarga menyambut Aidiladha dengan kesederhanaan namun penuh kesyukuran. Tidak seperti Aidilfitri yang lalu, dan kini episod duka Aidilfitri telah berlalu. Kami adik beradik berkumpul bersama- sama dan beruntung sekali dapat makan masakan emak yang sedap. Hanya kari ayam mak saja yang kurang power tahun ni, mungkin akibat campur tangan resipi masakan adah dan akak.  Dayah dan Jamaliah tidak balik, mungkin kerna mereka jauh nun di Kuala Lumpur. Cuti pula hanya sehari.



 

November 09, 2010

Berakhirnya Pra Sekolah

"Ayah, tahun depan Danish ke sekolah baru kat Tasek Utara. Danish dah besar." Itulah seloroh Danish setalah tamat pengajian di Pra Sekolah. 2 tahun Danish di Pra Sekolah, banyak perkembangan yang boleh dilihat. Teringat hari pertama Danish menjejakkan kaki ke sekolah, dia terjatuh terhantuk meja. Lesung pipit di pipi kiri dia tu bukan original tapi kesan hentakan meja itulah.

Minggu pertama, agak sukar untuk Danish menerima alam persekolahan. Dari bab bangun pagi, nak mandi hinggalah nak pakai baju, memang cukup liat. Sampai sekolah Danish akan menyorok di belakang pintu, menangis sepuas hati.

Minggu kedua, hatinya mula lembut dan sudah menerima alam persekolahan. Dia mula bergaul dan tidak menangis lagi. Syukur alhamdulillah ...

Dua tahun Danish di Pra Sekolah dan hari ini Danish konvokesyen. Majlisnya ringkas tapi ala-ala konvokesyen di universiti. Beruntung budak sekarang. Zaman aku kecik dulu mana ada.


Danish duduk kiri sekali

Danish duduk kanan sekali
Pagi tadi sambil memandu, aku menasihati Danish. "Anak ayah ni tahun depan dah besar. Kena ubah sikap dan yang penting dah kena mula sembahyang." Danish diam, mungkin dia antara faham dan tidak. Insya Allah, bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya.

November 03, 2010

Alya dah besar

31hb Oktober, kami menyambut ulangtahun kelahiran Alya yang ke 3 tahun. Anak ayah ni semakin besar tetapi manjanya masih belum hilang malah semakin manja hingga tidak boleh dimarah. Jika ditegur, dia cepat merajuk dan biasalah ... berdondang sayanglah kami dengan pekikannya. Namun, inilah buah hati yang selalu juga membuat kami terhibur.

Birthday Girl- Alya 3 Tahun