Jun 04, 2013

Ketawa

Dari Abu Hurairah radiallahu anhu, dia berkata ; Rasululullah saw bersabda :

" Janganlah kalian banyakkan ketawa, sesungguhnya membanyakkan ketawa akan mematikan hati." ( Hadis Riwayat At-Tarmizi dan Ibn-Majah dinilai sahih oleh Al-Abani.)

Dari Aishah isteri Nabi saw bahawa dia berkata, " Saya tidak pernah melihat Nabi saw ketawa terbahak-bahak hingga kelihatan tenggorok baginda, baginda biasanya hanya tersenyum" (Imam Al-Bukhrai dan Muslim).

Berdusta, membuat lawak bodoh, menghina orang lain, berkata lucah, mencarut dan seumpamanya supaya orang lain gelak dan ketaw dilarang oleh Islam. Malah diancam dan dilarang keras oleh Rasulullah saw dalam hadis ;

" Celakalah orang yang berbicara lalu dia berdusta kerana mahu orang ramai ketawa, celakalah baginya." (Abu Daud, Tirmizi, bertaraf hasan)

Oleh yang demikian, kita diharuskan bergurau dan melawak dalam batasan yang dibenarkan. Kita juga hendaklah menghindari ketawa yang berlebihan dan berusaha menjauhi bergurau yang boleh mengundang dosa.
Saidina Umar al-Khatab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah. Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa di isi dengan sesuatu yang bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.

Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan, pangkat dan kegembiraan yang lebih hanya bersifat sementara. Justeru itu, muhasabah diri adalah jalan terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia ini.

Semoga Allah swt membimbing kita ke jalan yang diredhainya. Wallahualam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan