Mei 10, 2013

Puasa di bulan Rejab


Bulan Rejab adalah bulan ketujuh dalam kiraan taqwim Hijriyyah. Bulan ini termasuk salah satu di antara bulan suci dan dinamakan sebagai bulan Allah. Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda bermaksud:"Bulan Rejab bulan Allah, bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku."

Bulan Rejab juga dianggap bulan istimewa kerana pada bulan ini berlaku peristiwa Isra' dan Mikraj Nabi Muhammad Sallallahu `alaihi wasallam.

Di antara amalan yang baik diamalkan di bulan Rejab ialah puasa dan bersedekah. Banyak hadis-hadis Nabi Sallallahu `alaihi wasallam menyebutkan tentang kelebihan puasa di bulan Rejab. 

Antaranya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabarani daripada Sa`id bin Abu Rashid bermaksud : ("Barangsiapa berpuasa sehari daripada bulan Rejab maka ia seperti berpuasa setahun, dan barangsiapa berpuasa daripadanya (bulan Rejab) tujuh hari, ditutup daripadanya pintu-pintu Jahannam (neraka), dan barangsiapa berpuasa daripadanya lapan hari, dibukakan baginya lapan pintu syurga, dan barangsiapa berpuasa daripadanya sepuluh hari, tidak meminta dia kepada Allah melainkan diberikannya, dan barangsiapa berpuasa daripadanya lima belas hari, menyeru orang yang menyeru dari langit : " Sesungguhnya diampunkan bagimu dosa-dosa yang lalu maka mulakanlah amal", dan barangsiapa menambah (hari puasa), Allah menambahnya (kelebihan).")

Dalam hadis yang lain telah dikeluarkan oleh al-Khallal, daripada Abu Sa`id (secara marfu') bermaksud: ("Bulan Rejab adalah di antara bulan-bulan haram, hari-hari di dalamnya ada tertulis di pintu-pintu langit yang keenam, maka apabila seseorang berpuasa sehari daripadanya (bulan Rejab) dan menyempurnakan puasanya dengan penuh ketaqwaan kepada Allah, bercakaplah pintu dan hari tersebut seraya berkata:      "Tuhan ampunkan baginya (dosanya)" dan jika dia tidak menyempurnakan puasanya dengan ketaqwaan kepada Allah, maka pintu dan hari itu tidak akan memohonkan ampun baginya, dan dikatakan padanya: "Kau telah ditipu oleh dirimu.")

Niat puasa bulan Rejab ialah :
"Sahaja aku puasa sunat bulan Rejab kerana Allah Ta'ala".
Demikianlah satu amalan yang baik untuk diamalkan di bulan Rejab, bulan terbukanya pintu langit dan terbukanya pintu syurga. Sama-samalah kita merebut peluang ini dan semoga amalan kita akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Saudaraku sekalian, mohon ampunkan segala salah silapku, halalkan makan minumku. Marilah kita kembali ke jalan yang benar. Selamat beramal...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan