Mei 31, 2013

UiTM Pasir Gudang update


Gambar ini diperolehi hasil lawatan tapak awal bulan Mei 2013 yang lalu. 

Perkembangan terkini amat mengujakan terutamanya diriku sendiri yang bakal dipindahkan ke sana pada bulan Januari 2014 kelak. Bukan semua orang boleh masuk ke tapak pembinaan ni. Hanya yang berkenaan sahaja yang dibenarkan masuk. Aku pun  hanya 2 kali sahaja dibenarkan masuk ke sana. Jadi, gambar ni kira panas di pasaran jugaklah...kui kui kui!

Depan medan selera

Laluan utama ke fakulti

Fakulti

My new office @ Library

Pintu masuk library

Bangunan Pentadbiran / HEA / HEP / Bendahari

Pintu masuk. Kat depan UiTM ni nanti akan naik kampus swasta katanya...
Gambar ini untuk rujukan aku sahaja. Kalau korang tertengok tu, pandai-pandailahlah simpan. Aku hanya berkongsi yang baik-baik sahaja. Tak de niat apapun...

Mei 16, 2013

Hari Guru dan Cerita Tentang Ex-Guru-guru ku

Setiap tahun, tarikh 16 Mei adalah seperti tarikh keramat yang diraikan setiap warga Malaysia yang bergelar guru sejak tahun 1972. Namun, pastinya masih ramai yang belum mengetahui mengapa 16 Mei di pilih sebagai Hari Guru.

Mengikut Falsafah Pendidikan Negara, tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari bulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita.

Bercerita pulak tentang Ex-guru favourite yang aku kenang sampai sekarang. Panjang ceritanya, tetapi dipendekkan cerita. Al kisah...Guru kelas aku masa darjah 1 dulu namanya Cikgu Habibah. Masa sekolah rendah dulu, aku paling ngeri dengan Cikgu Bibah, sebab rambut dia kerinting mengerbang, badan boleh tahan sasa, garang pulak tu. Eiii...seram!

"Hahaha, biasalah alasan budak- budak tak mahu kesekolah."


Ada seorang cikgu yang paling aku suka, paling baik semasa di sekolah rendah dulu. Namanya Cikgu Nurul Huda. Kecil molek, kulit putih sampaikan urat halus boleh dilihat di pipinya. Dia ni selalu mintak aku beli roti prata (sekarang orang sebut roti kosong) kat Warung Mat Joden. Warung ni terletak di depan sekolah aku, SK Muzaffar Syah. Dia ngidam agaknya sampaikan hari-hari nak makan roti prata Mat Joden. Dulu 1 keping harganya baru 0.30 sen je. Kebiasaannya dia bagi duit Seringgit, dia suruh beli 3 keping. 2 keping dia makan, 1 keping lagi dia sedekah kat aku makan. Hari-hari begitu. Baki 0.10 sen biasanya upah untuk aku le buat beli gula-gula. Apapun cikgu ni memang baik. Mungkin niatnya murni nak bagi makan orang susah macam aku ni agaknya.

Masa kat sekolah menengah, aku paling kecut perut ngan Cikgu Gaban. Apa tidaknya, ke hulu ke hilir dengan rotan. Aku pernah beberapa kali kena rotan antara sebab paling badas yang paling enteng ialah tak hadir latihan sukan. Lokasi paling selalu jadi sasaran, biasanya di bontot le. Ayoyo! Tapi, biasanya aku cerdik sikit. Sebelum sampai turn aku, aku dah standby sikat kecil di poket belakang. Bila Cikgu Gaban hayun tu, kurang la sedikit impak maksima nyer tu. hehehe!

Cikgu paling baik pulak adalah Cikgu Wohnen. Nama sebenarnya adalah Cikgu Mahani. Kami gelar Wohnen sebab dulu dia ranggi lagi gedebom. Masa tu dia baru kerja, anak dara lagi. Free hair lagi...memang glamourlah. Dia ni selalu puji aku, "Inilah student saya yang paling baik." Sampai sekarang, kalau jumpa pun dia akan kata begitu. Tahun lepas kami terserempak di Giant Plentong. Masih seperti dulu, masih memuji anak muridnya ini. 

"Jangan jealous uuuu..."

Apapun guru-guru ku semua. Tahniah! Kalian telah menjadikan IDRIS MUHAMMAD orang dan bukannya hantu. Walaupun tak kaya mana, tapi bolehlah dikatakan berjaya. Syukur alhamdulillah...


"Happy teacher days, semoga kalian sihat sejahtera, bahagia, berjaya di dunia dan diakhirat hendaknya."

Mei 10, 2013

Puasa di bulan Rejab


Bulan Rejab adalah bulan ketujuh dalam kiraan taqwim Hijriyyah. Bulan ini termasuk salah satu di antara bulan suci dan dinamakan sebagai bulan Allah. Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda bermaksud:"Bulan Rejab bulan Allah, bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku."

Bulan Rejab juga dianggap bulan istimewa kerana pada bulan ini berlaku peristiwa Isra' dan Mikraj Nabi Muhammad Sallallahu `alaihi wasallam.

Di antara amalan yang baik diamalkan di bulan Rejab ialah puasa dan bersedekah. Banyak hadis-hadis Nabi Sallallahu `alaihi wasallam menyebutkan tentang kelebihan puasa di bulan Rejab. 

Antaranya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabarani daripada Sa`id bin Abu Rashid bermaksud : ("Barangsiapa berpuasa sehari daripada bulan Rejab maka ia seperti berpuasa setahun, dan barangsiapa berpuasa daripadanya (bulan Rejab) tujuh hari, ditutup daripadanya pintu-pintu Jahannam (neraka), dan barangsiapa berpuasa daripadanya lapan hari, dibukakan baginya lapan pintu syurga, dan barangsiapa berpuasa daripadanya sepuluh hari, tidak meminta dia kepada Allah melainkan diberikannya, dan barangsiapa berpuasa daripadanya lima belas hari, menyeru orang yang menyeru dari langit : " Sesungguhnya diampunkan bagimu dosa-dosa yang lalu maka mulakanlah amal", dan barangsiapa menambah (hari puasa), Allah menambahnya (kelebihan).")

Dalam hadis yang lain telah dikeluarkan oleh al-Khallal, daripada Abu Sa`id (secara marfu') bermaksud: ("Bulan Rejab adalah di antara bulan-bulan haram, hari-hari di dalamnya ada tertulis di pintu-pintu langit yang keenam, maka apabila seseorang berpuasa sehari daripadanya (bulan Rejab) dan menyempurnakan puasanya dengan penuh ketaqwaan kepada Allah, bercakaplah pintu dan hari tersebut seraya berkata:      "Tuhan ampunkan baginya (dosanya)" dan jika dia tidak menyempurnakan puasanya dengan ketaqwaan kepada Allah, maka pintu dan hari itu tidak akan memohonkan ampun baginya, dan dikatakan padanya: "Kau telah ditipu oleh dirimu.")

Niat puasa bulan Rejab ialah :
"Sahaja aku puasa sunat bulan Rejab kerana Allah Ta'ala".
Demikianlah satu amalan yang baik untuk diamalkan di bulan Rejab, bulan terbukanya pintu langit dan terbukanya pintu syurga. Sama-samalah kita merebut peluang ini dan semoga amalan kita akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Saudaraku sekalian, mohon ampunkan segala salah silapku, halalkan makan minumku. Marilah kita kembali ke jalan yang benar. Selamat beramal...

Mei 07, 2013

KTM

Suatu hari, sahabatku yang aku gelar Syeikh menghulurkan satu borang SPR kepada aku. "Eh, jomlah kita join jadi petugas mengundi. Boleh buat duit lebih ni."

"Buat duit? Apa salahnya, jomlah..." aku pun tak buang masa lagi teruslah isi borang tu tanpa kaji selidik apa nama koje yang aku kena buat ni.

Lebih kurang sebulan, dapat satu surat lantikan dari SPR mengatakan aku akan bertugas sebagai Ketua Temat Mengundi (KTM). Sudah, apa benda KTM ni. Satu haram pun tak tahu. Ekeke! Kursus demi kursus, taklimat demi taklimat kena hadir. Baca buku nota, tengok video pilihanraya, barulah aku faham apa itu KTM.

Akhirnya, aku termenung. Terjebak sudah. Aku mengambil keputusan untuk jalan terus, tak boleh nak tarik balik. Alang-alang dah menyeluk pekasam, biar selesai koje nya tu. hehehe...

4 hb Mei 2013, sehari sebelum mengundi aku dah mula sibuk. Seharian mendengar amanat dari Pengurus SPR. Lepas tu terus bergegas ke sekolah untuk mengemas tempat mengundi yang akan dijalankan esok. 

Esoknya, jam 4.30 pagi aku dah bangun. Jam 5.15 pagi dah terpacak di depan Dewan Jubli Intan bersama sahabat senasib untuk mengambil peti undi dan barang-barang keperluan. Penuh satu bonet nak punggah barang-barang. Perjalanan aku ke tempat mengundi diiringgi seorang anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil. Tuah namanya. 

6.15 pagi, aku dah siap-siap check in di tempat pengundian dan buat persiapan tempat sehingga jam 7.30 pagi. Break 5 minit je untuk solat Subuh. Masa sangat suntuk, rasa tak cukup masa. Jam 7.45 pagi, aku membuka peti undi yang telah dimeterai di depan ejen parti. Jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, bermulalah episod mengundi. Macam- macam ragam pengundi aku jumpa. Ada yang sihat laju je memangkah, ada juga yang dah uzur, kena papah, kena angkat la jawabnya...

Tepat jam 5.00 petang, pintu ditutup rapat. Masa mengundi telahpun tamat. Bermulalah kerja- kerja mengira undi. Kami sangat berhati-hati dalam membuat pengiraan bagi memastikan pengiraan adalah telus dan tepat. Setiap helaian kertas undi akan di tunjukkan kepada ejen parti sebagai saksi pilihan rakyat. 2 kali kiraan dibuat oleh Kerani Pengundian, di semak oleh KTM dan ejen parti. Doaku terus menerus dalam hati agar dipermudahkan urusanku kali ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Tiada bantahan dari ejen parti. Kami mengira dengan tepat sekali. 

Selesai mengira, kerja-kerja dokumentasi kena diselesaikan. Sampul 1, sampul 6 dalam peti undi manakala sampul 4 dan 7 harus sentiasa berada pada KTM. Dua sampul inilah yang sangat penting sekarang kerana di dalamnya terdapat keputusan pengundian.

Jam 7.45 malam kami solat Maghrib berjemaah. Ringkas sahaja surah yang dibacakan sahabatku Asrul. Maklumlah, masa sudah suntuk. Jam 8.00 malam, kami bergegas ke tempat Pengumpulan Undi di Dewan Jubli Intan. Jalan sudah mula sesak. Kelihatan ramai wakil parti, pemberita dan polis lengkap bersenjata di luar dewan. Kami harus keluarkan barang-barang betul- betul di depan lobi dewan sambil diawasi anggota polis. Ketat sungguh kawalan keselamatan di tempat itu.

Jam 8.30 malam, selesai menghantar kesemua peti undi. Paling penting sampul 4 dan 7 telah pun aku serahkan kepada Ketua Pengurus SPR. Tiada kesalahan pada borang pengiraan undi. Maksudnya, pengiraan aku memang tepat. Alhamdulillah...

Begitulah serba sedikit yang boleh aku ceritakan. Lain-lainnya adalah rahsia yang tak boleh aku ceritakan hatta kepada isteriku sekalipun. Aku dah sain sumpah menyimpan RAHSIA.

Apapun Tahniah kepada BN yang berjaya mengekalkan pemerintahannya dengan 133 kerusi Parlimen dimenangi walaupun telah dilanggar Tsunami Politik Cina. DAP telah menang 38 kerusi berbanding 28 kerusi Parlimen pada PRU 12. Johor sahaja 12 kawasan berpenduduk Cina telah dikuasai DAP. 

Awas, orang Melayu...