Oktober 19, 2010

Pembedahan Alya ditangguhkan

20hb Oktober 2010, sepatutnya Alya dikehendaki memasuki Dewan Bedah di HSA. Namun, kita sebagai manusia hanya mampu merancang dan Allah jualah yang menentukan segala- galanya. Memang di dalam hati ini tidak merelakan pembedahan dijalankan lantaran aku belum bersedia untuk menerima kenyataan tersebut.

Semalam, pihak hospital menelefon dan tanpa diduga pembedahan Alya terpaksa dtangguhkan. Mungkin ada hikmah atas apa yang berlaku. Ditakdirkan juga semalam aku bertemu dengan Tok Mat yang katanya boleh membantu Alya secara tradisional. Ikhtiar selagi terdaya, mudah- mudahan diperkenankan Allah untuk sembuh.

Oktober 07, 2010

Bertemu doktor bius

Setelah hampir setahun, tarikh yang ditetapkan hampir tiba. Semalam, aku berjumpa doktor pakar bius di HSA. Dari malam lagi Alya seakan tahu aku akan membawanya ke hospital. Rajuknya semakin menjadi- jadi dari malam hari lagi. Hampir sejam dia menangis, mungkin mengigau sesuatu yang menakutkan. Namun, aku cuba kuatkan semangatnya dengan memujuk agar dia berani menghadapi semua kenyataan ini.

Doktor banyak memberi maklumat mengenai proses pembedahan yang akan dijalankan pada 20hb Oktober ini nanti. Doktor juga menasihati kami agar jangan bimbang kerana ini hanyalah pembedahan biasa. Pembedahan ini akan mengambil masa paling kurang sejam dan dilakukan oleh pakar. Insya Allah, lepas pembedahan ini Alya akan pulih seperti biasa.

Ya Allah, permudahkanlah jalanku untuk merawat anak yang sangat aku kasihi ini.

September 30, 2010

Kejayaan Danish

28hb September yang lalu, Danish telah menyertai pertandingan Block Puzle di Sek. Keb. Tasek peringkat Tadika Zon Bandar Johor Bahru. Semangat untuk menyokong Danish, aku nekad mengambil cuti hari tersebut. Tambahan pulak, banyak urusan yang aku perlu uruskan pada hari tersebut.

Danish dengan hadiah yang dimenanginya

Alhamdulillah, setelah berusaha mencipta beberapa objek dari Block Puzle tersebut, akhirnya Danish telah berjaya mendapat Naib Johan. Walaupun tak dapat Johan, yang penting Danish gembira dan berbangga. Dia juga sudah boleh menyesuaikan diri dan berkeyakinan dengan orang ramai. Tidak seperti selalu, dia sangat pemalu.

September 20, 2010

Allah Maha Besar

Allahuakbar! Allah maha besar.

Dia yang mencipta semua makhluk didunia ini dan Dia yang juga yang maha kuasa ke atas apa yang diciptakannya. Tiada kuasa lain yang boleh mengatasi.

Setelah 6 hari di dalam ICU, akhirnya Jamaliah di tempatkan di wad biasa. Selama itu jugalah, kami sekeluarga berikhtiar memohon keampunan dan berdoa kepada Allah agar mengasihani adikku itu. Emak dan abah juga berikhtiar cara alternatif dengan ustaz dan beberapa orang yang arif tentang selok belok santau.



Malam tadi, abah menelefon aku. Dia kata " Jamaliah dah boleh berjalan dan makan sendiri. Insya Allah 2 hari lagi dia boleh keluar dari hospital." Selepas ini, dia akan terus menjalani rawatan alternatif dengan seorang ustaz di Negeri Sembilan.

Syukur alhamdulillah ... doa mak abah siang malam tanpa jemu berbaloi juga akhirnya.


September 14, 2010

Raya yang mengamit hati



Raya tahun ni, kami cuti 2 hari lebih awal. Dalam kami bersiap- siap untuk pulang ke kampung, tiba- tiba Akak telefon dengan nada yang cemas. Dia kata, "Deris, ko dah tahu ke cerita?" "Tak tahu lagi", jawabku. "Adik kita, Jamaliah sakit tenat sekarang di ICU Hospital Kuala Pilah. Doktor mengatakan peluang dia untuk terus hidup hanya tinggal 40% sahaja." Allahuakbar...bagai tersentap rasa jantung ku ini.

Petang itu juga, semua keluarga termasuk ipar duai ke Hospital Kuala Pilah. Keadaan dia di saat itu cukup menyayat hati. Dia dalam keadaan tidak sedar seperti koma. Mulut dan hidungnya dimasukkan salur bagi membantu jantungnya terus berdenyut. Lehernya ditebok dan dimasukkan salur manakala kedua-dua tangan dan kakinya ada tiub yang dicucuk, mungkin untuk memasukkan air dan ubatan. Keadaannya, benar- benar kritikal.

Malangnya, Doktor sendiri tidak dapat memastikan apakah penyakit yang dialaminya. Apa yang boleh dikatakan Doktor, " Kami akan cuba membantu."

Malam itu, emak abah bermalam di Masjid Kuala Pilah. Tiba- tiba kami didatangi seorang ustaz, mungkin orang kuat masjid tersebut. Dia mengajak ke rumahnya di Seri Menanti. Dalam kami berkenalam, rupanya dia merupakan adik kepada Mufti Negeri Sembilan. Emak menceritakan masalah kepadanya dan dia sanggup membantu Jamaliah dan akhirnya kami mengetahui bahawa Jamaliah rupanya telah di santau angin. Racun tersebut memasuki badan melalui pernafasan dan terus ke paru- paru dan jantungnya menyebabkan kedua-dua organ tersebut luka dan sakit. Kini racun tersebut telah memasuki segenap salur darah dalam badannya.

Patutlah Jamaliah muntah darah ... Subahanallah, dalam zaman sekarang masih ada lagi manusia yang berhati busuk mengamalkan ilmu sihir sebegini. Tak takutkah kepada dosa-dosa dan balasan akibat perbuatan tersebut? Kalau turutkan hati, mahu sahaja aku membalasnya kembali kepada orang yang menghantar santau tersebut. Namun, aku masih mempunyai sekelumit iman yang menghalang aku meneruskan niat tersebut. Kata mak, biarlah Allah sahaja yang membalasnya kelak.


Raya tahun ni, tidak kami sambut seperti selalu. Mak dan abah tetap tidak mahu berganjak dari hospital dan mahu menunggu Jamaliah. Begitulah kasih mak dan abah kepada anaknya. Kini, Jamaliah telah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur. Masih lagi di ICU manakala mak dan abah masih setia menemani anaknya.


Namun, semalam ... mak dan abah menelefon aku dengan keadaan yang agak lega. Jamaliah kini stabil dan mulai sedar. Dia sudah mula mengenali ahli keluarga dan tiub yang dimasukkan ke dalam mulutnya untuk membantunya bernafas pun telah dikeluarkan. Kami akan terus membantunya. Sembahyang hajat akan terus kami lakukan kerana kami percaya hanya Allah yang maha kuasa, lebih berkuasa dari ilmu syaitan yang dihantar oleh manusia durjana.

September 06, 2010

Dah kurus ...

Sabtu lepas, kami ke Tesco Tebrau membeli kelengkapan dapur. Dalam perjalanan masuk, terpandang pulak mesin timbang di tepi pintu. Timbang punya timbang, berat aku kini hanya tinggal 59 kg dari 63kg.

Wahh...betul- betul ada kemajuan. Perut pun kurang sikit gendut dan seluar lama yang bersaiz 32 tu dah boleh pakai semula. Syukur,  mudah- mudahan aku diberikan kesihatan yang baik dan badan pun terus maintain tak terlalu gemok dan tak juga terlalu kurus.

Ogos 26, 2010

Berbuka di Senibong

10 Ramadhan yang lalu, ayang belanja kami anak beranak makan seafood. Balik kerja terus sahaja kami menuju ke Senibong. Senibong ni merupakan tempat makan makanan laut yang istimewa di Johor Bahru. Ditemani angin bayu, ditambah panorama indah ditepi laut (boleh nampak Singapore), ikan pun segar bugar menjadikan tempat ni terlalu istimewa.


Ikan masak stim, sedap ...



Lobster kegemaran Danish
Tetapi, tempat ni sesekali boleh pergi, kalau selalu ...parah jugak. Mahal ...

Menu utama kami pada hari itu, sesuai sangat untuk orang yang begitu lapar macam aku ni. Aku memilih ikan masak stim dan udang goreng tepung, ayang memilih kerang bakar dan sayur chapcai, Danish pulak memilih udang Lobster dan otak- otak.

Dalam diam-diam, habis licin semua makanan kami sapu. Subhanallah ...