Kehidupan berumah tangga memang tidak lepas daripada konflik dan perselisihan faham. Bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Dalam sebuah perkahwinan, jika tidak pernah berlaku pertengkaran itu menandakan matinya emosi. Malah pertelingkahan juga ada 'manisnya'.
Namun bukan bermakna kita bersetuju pertengkaran itu sebagai tindakan yang bagus dalam perhubungan.
Tetapi pertelingkahan juga boleh memberi impak positif kepada hubungan suami isteri kerana mampu mengeratkan lagi hubungan tersebut. Apabila sesuatu konflik timbul pada pasangan ia biasanya akan diikuti dengan pertengkaran. Ini berlaku dengan harapan perkara yang tidak baik pada pasangan itu akan hilang.
Pertengkaran sebenarnya merupakan proses di mana menyatukan cita rasa, tujuan, keinginan dan cara hidup mengikut kehendak sendiri. Dalam proses tersebut, keengganan oleh satu pihak menyebabkan sebelah pihak lagi memendam perasaan, hal ini akan menyebabkan sebelah pihak lagi tidak puas hati lalu tercetus pertelingkahan.
Dalam proses tersebut, pasangan akan berbincang dan meluahkan isi hati masing-masing bagi meredakan permasalahan yang berlaku dalam hubungan mereka. Tidak dinafikan, ada yang enggan berbincang kerana bimbang akan berakhir dengan pertengkaran yang lebih teruk.
Mereka lebih rela memendam saja perasaan dan berharap segalanya akan berubah dengan sendiri dan menjadi baik suatu hari nanti. Dalam permasalahan ini, suami isteri seharusnya tidak menyalahkan antara satu sama lain kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan.
Jangan sesekali mencari atau mengungkit kelemahan pasangan, keadaan ini menjadi lebih parah apabila salah seorang mengungkit kelemahan diri.
Dalam pada itu, jangan sesekali menggunakan kata-kata kasar semasa 'bertikam lidah', sebaliknya teruskan gunakan nama yang sering digunakan. Jika sebelum bergaduh memanggil pasangan dengan panggilan 'sayang' teruskan gunakan panggilan tersebut.
Biar apa pun berlaku gelombang dalam rumah tangga kita, pastikan tidak di hadapan anak-anak. Hal ini penting kerana akan menjejaskan emosi mereka, malah keadaan ini akan menyebabkan anak-anak akan membuat persepsi yang negatif mengenai ibu bapa.
Untuk kekal bahagia, luahkan segala masalah yang dihadapi dan dan berbincang secara terbuka serta dewasa agar konflik dapat ditangani dengan cara yang paling baik.Selalunya segala perselisihan faham dapat diatasi dengan mudah, jika kedua-dua pihak berfikir secara rasional dan dapat memaafkan pihak yang melakukan kesalahan.
Kenang kembali saat-saat manis di awal perkahwinan dahulu dan renungkan wajah anak-anak yang tentunya masih mengharapkan belaian kedua ibu bapa mereka. Malah, jangan sesekali membenarkan orang ketiga masuk campur dalam pertengkaran anda, seperti ibu bapa, mertua ataupun adik beradik. Kehadiran mereka sebenarnya akan menyebabkan situasi semakin parah.
Oleh itu, jika dapat selesai masalah, berbincang dengan baik demi hubungan suci yang dibina.
Anggaplah pertelingkahan yang berlaku sebagai asam garam kehidupan yang boleh mematangkan diri masing-masing. Ingatlah, kita dan pasangan adalah dua insan yang berbeza. Pasangan kita telah dibesarkan mengikut caranya sejak dari kecil, manakala anda pula dibesarkan cara tersendiri. Anda bertemu dengannya setelah sama-sama dewasa, jadi jangan sesekali cuba menjadikan dirinya sama seperti diri kita.
Cuba hormati dengan tindakan yang dilakukan jika tidak berkenan hati, luahkan dengan penuh diplomasi dan berikan contoh terbaik untuk dirinya berubah. Anggaplah pertengkaran sesuatu yang positif kerana membolehkan anda dan pasangan semakin mesra.
Sebenarnya, suami isteri masing-masing mempunyai peranan di dalam kehidupan berumahtangga. Oleh itu, masing-masing perlu tahu dan faham makna sebenar perkahwinan dan berbincang dari hati ke hati apabila wujud sebarang masalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan