Julai 28, 2010

Dugaan Alya pada 27 Julai 2010

Malam semalam, Alya tidur tidak nyenyak. Sekejap dia merengek ... menangis. Rupa- rupanya, Alya mengalami kesukaran bernafas. Awal pagi aku ke Klinik Penawar 24 jam dan doktor mengarahkan aku ke hospital mendapatkan rawatan kecemasan dengan segera.

Si comel ni tengah tido
Hospital terdekat Hospital Sultan Ismail. Sungguh aku bangga dengan perkhidmatan yang diberikan. Cepat, dan efisyen. Turun sahaja dari kereta, Alya terus diberikan oksigen. Suspen, resah, gelisah semuanya ada dalam kepala lantaran aku tidak dibenarkan melihat keadaan dia. Hanya ayang yang dibenarkan menemankan Alya. Dalam hati tak putus- putus berdoa kepada Allah agar menyelamatkan Alya.

Keluar sahaja dari hospital, dia bertanya ... "Ayah ke mana tadi tak temankan Alya." Aku ketawa tetapi tetap bersyukur. Dalam kesakitan yang dialami, aku adalah antara insan yang dicari- carinya.

Syukur, setelah mendapatkan rawatan... Alya ok dan selamat.

Julai 26, 2010

Pertemuan dan perpisahan

Pertemuan dan perpisahan lumrah kehidupan. Itulah hakikat yang ditentukan Allah. Kita sebagai manusia biasa hanya mampu merancang tetapi Allah jualah yang menentukan segalanya.

Semenjak 3 tahun UiTM ini dibuka, sudah 2 orang staf aku telah berhenti kerja. Tahun ini, 2 orang lagi akan berhenti menjadikan kesemuanya 4 orang dalam masa 3 tahun. Huda berhenti setelah berkahwin dan mendapat kerja di Bukit Aman, Syasha naik pangkat kepada Juruteknik Komputer, Jun berkahwin dan mendapat tawaran bekerja di Putrajaya manakala Paan berpindah ke PTAR, Shah Alam.

Apapun, aku percaya kepada Qada dan Qadar yang Allah tentukan dan Insya Allah rezeki itu berada dimana- mana. Patah tumbuh, hilang berganti.

Selamat menjalankan tugas ditempat baru.

Julai 16, 2010

Pengertian



Pengertian amat penting dalam hubungan sesama manusia. Pengertian dari segi hati, fikiran, fizikal dan apa sahaja. Pokoknya, apa sahaja yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia harus ada pengertian.

Namun, bagaimana harus aku mengerti apa yang tersirat di dalam hati sedangkan aku bukanlah manusia sempurna yang boleh mengetahui sanubari. Ku cekalkan hati, untuk cuba memahami situasi yang dialami lantaran aku yang tidak mengerti.

Bagaimana juga harus aku luahkan agar orang lain juga memahami hati, kekuatan serta kudrat yang ada.

Hakikatnya, aku bukan sempurna. Ibarat kapal tua menyusuri lautan luas, mana nak sama seperti kapal yang baru... Sabarlah dan terimalah aku seadanya.

Julai 13, 2010

Ujian

Kata orang, kehidupan ini ibarat roda. Senang, susah, sakit, sihat saling berganti. Lumrah dan asam garam kehidupan. Umpama disiang hari, jangan diduga cerah hingga ke petang. Adakalanya, hujan turun ditengah hari.

Lusa, aku akan diuji sekali lagi. Aku cuba mempersiapkan diri menghadapi ujian ini. Tahun lepas, aku gagal lantaran kealpaan aku sendiri. Insya Allah, tahun ini aku berjanji akan cuba sedaya upaya dan bekerja keras lagi.

Tak dapat 3, dapat 4 pun jadilah.

Julai 09, 2010

Sayang

"Kenapa ayah cakap adik sayang?" Soalan tu keluar dari mulut Alya malam tadi. Entah kenapa dia bertanya begitu pada ku. "Sebab ayah memang sayangkan adik." ringkas sahaja jawabku. "Ohhh..." jawabnya tanda dia mengerti.

"Adik pun sayangkan ayah." lalu dikucupnya pipiku. Tersentap rasa jantung dan terharu sungguh bagaikan tidak percaya.

Malam itu, Alya tidur dengan mudah. Sebelum tidur sempat juga dia hadiahkan dodoian kegemarannya kepadaku, selawat kepada Nabi Muhammad. Hairannya, bacaan selawat ini tak pernah aku ajar kepadanya. Terang hatinya mungkin kerna tiada dosa lagi tercatat untuknya. 



Julai 08, 2010

Kesabaran

"Jalanlah ayah, cepat la sikit..." rungutan tu selalu keluar dari mulut Danish setiap kali kami menghadapi kesesakan lalu lintas di Johor Bahru, terutamanya di waktu puncak dimana semua orang berpusu- pusu untuk pergi bekerja, pergi sekolah. Danish selalu hilang kesabaran lantaran kereta yang dipandu tidak bergerak atau bergerak dalam kadar perlahan.

" Sabarlah ...jalan jem ni. Perlahan- lahan, insya Allah sekejap lagi sampai. Danish sabar ye." Dalam kepayahan, aku cuba mengajar anak supaya bersabar sedangkan adakalanya aku juga hilang sabar. Maklumlah, aku juga manusia biasa, bukan dari golongan Ulul-Azmi yang mempunyai ketabahan dan kesabaran yang tinggi.

Dalam hati aku selalu berdoa, Ya Allah, permudahkanlah jalan ku.Sabar dan tabahkanlah hatiku dalam segala urusan.

Julai 07, 2010

Kerjasama

Kali ini,  pengambilan pelajar agak ramai. Jadi, taklimat kali ini terpaksa kami rombak sedikit hasil daripada penelitian terhadap taklimat yang lepas. Bukan senang nak kekalkan rangking 4.00 setiap semester.

Namun, team kami tetap mantap dari segi kerjasama dan penglibatan. Semua staf ada peranan masing- masing dan bersungguh- sunguh menjalankan tugasan yang diamanahkan.

Benarlah kata wonder pets, " Apa yang penting, kerjasama." Terima kasih semua.