Entry ini ku titipkan khas buat emak, Sapiah Binti Haji Mohd Salleh dimana hari ini genaplah 41 hari emak meninggalkan kami semua buat selama-lamanya. Al- Fatihah
Emak mula menderita penyakit jantung bengkak sejak bulan Julai 2012 dan semenjak itu emak sering berulang alik ke hospital. Batuknya agak teruk tak henti- henti kesan dari kegagalan jantungnya untuk mengepam air dari paru- paru. Hari ke hari kesihatannya semakin merosot sehinggalah 16 September 2012 kali terakhir emak ditahan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Ketika itu, keadaannya stabil tetapi dari raut wajahnya terdetik dihatiku bahawa kali ini emak akan pergi buat selama-lamanya. Tanda-tandanya telah jelas terlihat diwajahnya.
Keputusan ujian Echo |
"Abah, hidung emak dah jatuh sebelah." bisikku kepada abah. "Tak delah...hidung mak ko memang macam tu." Abah berkata dan aku mengerti. Kenyataannya itu sebenarnya untuk memujuk hatinya yang lara.
19 September 2012, aku tekad ingin mengambil cuti dan menemani emak di hospital. Nurse dan doktor tidak pernah menghalang aku keluar masuk sesuka hatiku. Mungkin mereka arif benar dan mengerti apa yang bakal berlaku. Hari itu, hajat emak ingin makan buah pelam potong, goreng pisang sempat juga aku tunaikan. Tak banyak yang dimakan, hanya sekadar merasa sahaja.
Tidak seperti biasa, hari itu 2 kali emak membuang air besar. Banyak sekali jumlahnya tidak seperti biasa.
"Tak payahlah ko tolong emak, biar abah ko je yang bersihkan emak."
Aku hormati permintaannya dan mengerti dia malu aku melihatnya berkeadaan begitu. Jam 4.50 petang, aku meminta izin emak untuk beransur pulang mengambil ayang dan anak- anak. Tika itu emak nampak stabil.
"Baliklah, uruskan anak bini ko pulak." bisik emak.
Rupanya selesai menyalin lampin, emak cuba mengesot membetulkan kedudukannya sambil menarik nafas dan menyebut kalimah Allah...di saat itu juga, rupanya malaikut maut telah menjemputnya. Jantungnya telah berhenti berdenyut.
Hampir 2 jam doktor cuba memberi bantuan pernafasan dan ternyata Allah lebih menyayangi emak. Emak sudah tiada lagi. Inalillah...
Hilanglah insan yang aku sayangi dan hilanglah jua insan yang selalu mendoakan kesejahteraan aku buat selama-lamanya.