September 29, 2011

Ketumbit



Ketumbit merupakan jangkitan pada pinggir kelopak mata yang mengakibatkan bisul kecil yang berkembang pada bahagian tersebut. Ketumbit boleh dibahagikan kepada ketumbit luaran, iaitu apabila jangkitan berlaku pada folikel-folikel yang terdapat pada bulu mata, atau ketumbit dalaman, iaitu apabila jangkitan berlaku pada kelenjar minyak yang terdapat pada kelopak mata.
Ketumbit kebiasaannya terjadi pada kanak-kanak. Walau bagaimanapun, orang dewasa juga berkemungkinan untuk mendapat ketumbit, bergantung kepada tahap penjagaan mata mereka.
Penyebab :
Ketumbit adalah disebabkan oleh kelenjar minyak yang terletak berhampiran dengan kelopak mata menjadi tersumbat. Kelenjar minyak yang telah tersumbat ini kebiasaannya akan dijangkiti oleh bakteria seperti bakteria Staphylococcus aureus. Penghasilan atau pengumpulan minyak yang berlebihan menyediakan keadaan yang sesuai untuk pembiakan bakteria. Antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan kelenjar minyak tersumbat ialah :
* Tekanan
* Pertukaran hormon
* Mengguna peralatan solek yang sama buat satu jangka masa yang lama atau yang telah dijangkiti oleh bacteria
* Diabetis
* Kandungan lemak yang tinggi dalam badan
* Kekurangan vitamin dalam badan
Patogenesis :
Kelenjar minyak yang terletak berhampiran dengan kelopak mata tersumbat dan mengakibatkan minyak yang dihasilkan oleh kelenjar berkenaan berkumpul dan mengalir keluar daripada dinding kelenjar tersebut membentuk seperti gumpalan kecil (bisul) di pinggir kelopak mata. Bisul tersebut kebiasaannya amat sakit, berwarna merah dan bernodul. Kebiasaannya, kelenjar minyak yang tersumbat amat mudah dijangkiti oleh bakteria dan ini menyebabkan pesakit mengalami kesakitan yang teruk dan kawasan di sekitar kelopak mata yang terlibat menjadi kemerahan.
Ketumbit kebiasaannya kelihatan putih atau kekuningan seperti jerawat. Ketumbit boleh berlaku pada bahagian sebelah mata sahaja atau kadangkala ia boleh melibatkan kedua-dua belah mata dalam satu masa, secara serentak.
Bisul yang terhasil pada kebiasaannya akan surut dengan sendirinya apabila bahan yang menutup lubang kelenjar minyak tersebut dialihkan. Jangkitan oleh bakteria juga akan pulih apabila nanah dikeluarkan dan bahagian kelenjar tersebut dibersihkan.
Simptom-simptom :
* Bisul di bahagian atas atau bawah kelopak mata
* Bengkak di sekeliling kelopak mata
* Sakit
* Kelopak mata menjadi merah
* Kelopak mata terasa sakit apabila disentuh
* Mata menjadi pedih
* Mata berair
* Gatal-gatal di kawasan bisul
* Pesakit berasa tidak selesa semasa mengelipkan mata
* Sensitif kepada cahaya yang cerah
Nyatalah ketumbit ni takda kena mengena dengan mengintai anak dara orang tgh mandi ke hape ke…

Sumber : Wikipedia

September 28, 2011

Lulus

Permohonan pinjaman perumahan bagi rumah di Mutiara Desaru telah diluluskan oleh Perbendaharaan Malaysia pada 23 September yang lalu. Syukur alhamdulillah...rumah ini berharga RM 215,000.00 dan pinjaman bersama isteri. Kira aku 50% dan ayang 50%. 

Antara impian dan angan-angan aku adalah untuk membeli sebanyak 3 buah rumah, mudah- mudahan dipermudahkan Allah dan tercapai. Biar nanti kesemua anak- anak aku mewarisi seorang satu rumah apabila aku tiada kelak. Insya Allah...


September 13, 2011

Syawal datang lagi

Pulang beraya di kampung menjadi kelaziman aku sekeluarga. Kami beraya di Kota Tinggi, bermula dengan rumah Atok Abah dan kemudian ke rumah Atok Seman. Jaraknya dekat sahaja, jadi kami boleh berulang alik bila- bila masa sahaja.

Malam raya dikampung sungguh indah. Sekitar halaman rumah di terangi lampu pelita dihiasi pula dengan bintang yang berkedipan di langit. Sungguh indah...Di masa ini, anak- anak yang paling gembira bermain bunga api bersama sepupu mereka. Layankan saja...

Pagi Syawal, buat pertama kalinya aku membawa Irfan dan Danish untuk menunaikan Solat Sunat Aidilfitri. Malangnya, kami hanya dapat berada di luar masjid sahaja. Jumlahnya luar biasa menunjukkan begitu ramai anak Felda yang pulang ke kampung halaman. 

Pagi itu, cukup syahdu. Ketika bersalaman dengan mak dan abah...ucapan berikut cukup menyentuh hati. "Mak dan abah maafkan segala dosa dan halalkan makan minum anak mak dan abah." Bergenang air mata. 

"Terima kasih..." dan aku memeluk emak erat.